LOS ANGELES: Penjaga Zoo di California kini sedang menyiasat kejadian harimau jantan jenis Malaya yang membunuh harimau betina jenis yang sama berusia empat tahun ketika dua ekor haiwan itu dipertemukan untuk tujuan pembiakan.
Pada mulanya Connor, Harimau jantan yang dilahirkan di San Diego Zoo pada tahun 2011 itu dilihat menjalani rutin biasanya ketika pertama kali diperkenalkan dengan Tiga Tahun iaitu harimau betina tersebut.
"Malangnya kejadian berlaku begitu pantas dan penjaga zoo tidak sempat untuk memisahkan dua haiwan tersebut” kata jurucakap zoo Jennifer Mehlow yang menjelaskan bagaimana Connor secara tiba-tiba berkelakuan agresif.
Harimau betina itu mati akibat mengalami kecederaan di lehernya dan masalah pernafasan setelah diserang Connor.
Namun begitu, tiada pelawat yang menyaksikan kejadian tersebut kerana insiden itu berlaku sebelum waktu melawat.
"Kejadian ini adalah yang pertama seumpamanya, walaupun haiwan karnivor selalunya bersifat agresif ketika interaksi pengawanan berlaku dan kadangkala ia boleh membawa kepada kecederaan" kata Mehlow lagi.
Connor yang dilahirkan di Zoo Bronx di New York telah dibawa ke San Diego pada awal tahun ini untuk tujuan pembiakan dalam usaha untuk menyelamatkan spesis terancam itu.
Harimau biasanya tidak berkawan dan hanya bertemu pasangan ketika musim mengawan.
Menurut akhbar Los Angeles Times, Connor telah menjadi satu-satunya harimau jenis Malaya yang kini ada di zoo berkenaan.
Akhbar tersebut turut melaporkan, subspesis disenaraikan sebagai spesis terancam di Malaysia dan Thailand akibat dari aktiviti pemburuan haram dan kehilangan habitat.
Agensi
No comments:
Post a Comment