Thursday 21 November 2013

Wanita Vietnam hadapi hukuman mati

Wanita hadapi hukuman mati
Tertuduh dibawa keluar untuk dihantar ke penjara sementara menunggu sebutan semula.


KOTA BHARU - Seorang wanita warga Vietnam berdepan hukuman mati selepas dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, semalam atas tuduhan mengedar 5.4 kilogram syabu, 8 November lalu.

Tuduhan terhadap Nguyen Hang Nga, 48, dibuat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.Dia didakwa mengedar dadah tersebut di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP) Pengkalan Chepa di sini, pada jam 12.25 pagi, tarikh itu.

Pada prosiding semalam, tuduhan hanya sempat dibacakan separuh berikutan tertuduh mendakwa tidak fasih berbahasa Melayu ataupun Inggeris.

Kes terpaksa ditangguhkan pada 30 Disember ini bagi mendapatkan jurubahasa Vietnam.

Tertuduh sebelum ini ditahan sepasukan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan, dalam keadaan mencurigakan ketika mengambil bagasinya di lapangan terbang tersebut.

Pemeriksaan lanjut pihak berkuasa menjumpai sejumlah syabu yang disorokkan di dalam lipatan kertas keras bergulung renda pakaian di dalam beg itu.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Jalaluddin Abdul Rahman sebelum ini tidak menolak kemungkinan dadah itu untuk dipasarkan di negeri ini dan Terengganu.

Sinar Harian

No comments:

Post a Comment