Friday 15 November 2013

Orang Melayu paling ramai ditahan dalam Op Cantas Khas

Wan Junaidi: Orang Melayu paling ramai ditahan dalam Op Cantas Khas

PUTRAJAYA:  Orang Melayu merupakan kaum yang paling ramai ditahan dalam Op Cantas Khas yang dijalankan di seluruh negara pada 17 Ogos hingga 13 November lepas, kata Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Wan Junaidi Tuanku Jaafar.

Wan Junaidi berkata sebanyak 807,016 pemeriksaan telah dilakukan dalam Op Cantas itu dan seramai 29,627 orang telah ditahan.

Katanya dari jumlah tersebut 12,645 merupakan orang Melayu manakala 6,770 orang India, 3,477 orang Cina dan lain-lain bangsa 6,735 orang.

Beliau berharap dengan pendedahan statistik tersebut, ia dapat menepis persepsi segelintir masyarakat bahawa Polis DiRaja Malaysia (PDRM) menjalankan Ops Cantas Khas berdasarkan warna kulit.

“Banyak yang kena tangkap adalah orang melayu. Jadi saya tidak setuju dengan ada yang mengatakan bahawa ini (Op Cantas Khas) ditarget kepada satu satu etnik, menteri color blind. Ia tidak pilih sesiapa.

“Polis bergerak mengikut  penglibatan kongsi gelap. Jadi ini menafikan apa sahaja tuduhan yang mengatakan ada kumpulan kongsi gelap diberi kemudahan, tidak diambil. Itu tidak betul,” katanya dalam satu temubual khas bersama Astro AWANI di pejabatnya disini, pada Khamis.

Sepanjang Op Cantas Khas itu juga PDRM telah berjaya merampas 874 jenis senjata api dan bahan letupan telah dirampas.

Peluru merupakan bahan letupan yang paling banyak dirampas iaitu 2,127 butir selain 45 laras senjata api, 32 senapang angin buatan sendiri, 6 laras senapang patah dan sebutir bom tangan.

Antara senjata berjadual yang paling banyak dirampas ialah pisau sebanyak 291 bilah dan parang 235 bilah.

Mengulas lanjut katanya, sejak Op Cantas Khas dijalankan, kadar jenayah menunjukkan penurunan mendadak bagi semua kes keganasan dan harta benda.

“Saya yakin dengan kerjasama serta peranan yang dimainkan semua pihak, kadar jenayah di Malaysia akan terus menurun,” katanya.

Astro Awani

No comments:

Post a Comment