Thursday 14 November 2013

Kawal kemasukan PATI, kadar penyakit berjangkit meningkat

Kawal kemasukan PATI, kadar penyakit berjangkit menambah

KOTA KINABALU:  Pihak berkuasa diminta supaya mengawal kemasukan pendatang tanpa izin (PATI) berikutan pertambahan kadar penyakit berjangkit yang direkodkan berpunca dari kalangan mereka di negara ini.

Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Hilmi Yahaya berkata, peningkatan penyakit seperti malaria dan batuk kering atau tibi kini menunjukkan peningkatan ketara yang dikhuatiri akan menular kepada rakyat tempatan sekiranya tidak dibendung.

"Apa yang membimbangkan seperti contoh, ketika pemeriksaan saringan yang dijalankan ke atas pekerja asing kira-kira 30,000 PATI, namun hanya satu per tiga lulus ujian dan selebihnya tidak sihat dan perlu dihantar balik. Tetapi kita tidak tahu kedudukan mereka itu yang kebanyakan mereka berpenyakit berjangkit seperti tibi dan malaria.

"Sehubungan itu, pihak keselamatan harus menangani perkara itu bagi memastikan PATI itu keluar dari negara ini," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Kolokium Kesihatan Awam Sabah ke-8 dan Persidangan Kesihatan Awam Serantau 2013 di sini, hari Rabu.

Dr Hilmi berkata dalam sesetengah kes, kerajaan terpaksa menerima kedatangan pendatang asing terutama ketika kecemasan seperti melahirkan anak selain menangung subsidi perubatan bagi mereka yang bekerja di negara ini.

Sebelum ini, Bernama melaporkan Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr S. Subramaniam dipetik sebagai berkata kebanjiran pekerja asing adalah antara punca peningkatan penyakit batuk kering dikesan di negara ini.

"Terdapat 58 kes untuk populasi 100,000 pada 1995 dan meningkat kepada 63 kes untuk populasi yang sama pada 2008 iaitu 16,000 kes setahun. Ia juga telah meningkat kepada 18,000 kes pada 2010.

"Pada 2011, sebanyak 20,000 kes telah dilaporkan berlaku dan telah menyebabkan sebanyak 1,600 kematian," kata Dr Subramaniam.

Dalam pada itu, Dr Hilmi berkata kolokium dan persidangan itu merupakan platoform terbaik untuk para doktor dan paramedik membentangkan hasil kajian mereka yang boleh digunakan sebagai rujukan kepada pihak berkaitan termasuk negara serantau seperti Filipina dan Myanmar.

Beliau mengalu-alukan penganjuran kolokium dan persidangan itu yang membuka peluang kepada peserta dari negara luar berkongsi idea yang boleh memanfaatkan lebih 500 juta penduduk rantau ini.

Seramai 360 peserta menyertai kolokium dan persidangan selama dua hari yang berakhir esok anjuran Jabatan Kesihatan Negeri Sabah dengan kerjasama pejabat Kesihatan Penampang.

Turut hadir Pengarah Kesihatan Negeri Sabah Dr Christina Rundi.

BERNAMA

No comments:

Post a Comment