Saturday 27 July 2013

4 finalis Miss Malaysia World beragama Islam akan dibenarkan bertanding?


4 finalis Miss Malaysia World beragama Islam akan dibenarkan bertanding?

KUALA LUMPUR:  Selepas 17 tahun sebuah fatwa yang mengharamkan penyertaan orang Islam dalam pertandingan ratu cantik diwartakan, masih ada yang mengharapkan larangan itu mungkin dapat dipertimbangkan semula.

Harapan paling tinggi datangnya daripada penganjur pertandingan ratu cantik Miss Malaysia World 2013, Datuk Anna Lim, selepas beliau mengadakan perbincangan dengan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) pada Khamis.

Anna memberitahu Astro Awani bahawa perbincangan tersebut berkisar tentang nasib empat finalis beragama Islam yang digugurkan daripada menyertai pertandingan ratu cantik Miss Malaysia World 2013 baru-baru ini.

Anna turut berkata beliau telah menyerahkan senarai aturcara untuk pertandingan itu yang bakal diadakan di Jakarta pada bulan September ini kepada Pengarah Jawi Datuk Che Mat Che Ali, semasa perbincangan tersebut.

“Saya telah memaklumkan Che Mat bahawa peserta-peserta pertandingan ratu cantik Miss World di Jakarta tidak dibenarkan memakai bikini.

“Saya telah menerangkan kepada beliau bahawa semasa pertandingan peragaan pakaian pantai, gadis-gadis yang bertanding akan menggantikan bikini dengan pakaian yang lebih sesuai dan mengenakan kain sarung untuk menutup bahagian badan mereka.

“Che Mat kemudian bertanya kepada saya bilakah hari penamaan Miss Malaysia dan adakah ia terlalu lewat untuk membuat sebarang ‘keputusan’?

“Saya menjelaskan bahawa pusingan akhir Miss Malaysia akan diadakan pada 2 Ogos. Che Mat berkata beliau akan membincangkan perkara ini dengan Jawi dan akan memberikan jawapan kepada saya samada keempat-empat peserta Islam tersebut masih boleh bertanding dalam Miss Malaysia World 2013,” katanya.

Sebuah akhbar tempatan pada Jumaat melaporkan bahawa Che Mat akan mengumumkan keputusan kepada umum minggu hadapan.

Pada Jun tahun ini, penganjur Miss World memaklumkan bahawa peserta ratu cantik dunia tidak akan mengenakan bikini dalam acara itu bagi mengelak tentangan masyarakat Islam di Indonesia.

137 peserta wanita yang mengambil bahagian dalam acara itu akan menggantikan bikini dengan pakaian yang lebih sesuai seperti mengenakan kain sarung sewaktu peragaan pakaian pantai.

--Astro Awani 

No comments:

Post a Comment