Sunday 16 June 2013

Jerebu: 6 bandar catat IPU tidak sihat

Jerebu: 6 bandar catat IPU tidak sihat

KUALA LUMPUR: 6 bandar di Semenanjung Malaysia mencatatkan indeks pencemaran udara, IPU tidak sihat sehingga jam 11 pagi tadi.

Bandar terlibat ialah Bandaraya Melaka, Bukit Rambai, Port Dickson, Muar, Pelabuhan Klang dan Kemaman.

Bandaraya Melaka mencatat IPU paling tinggi iaitu,129, diikuti Bukit Rambai, 120, dan Port Dickson, 117.

Sementara Muar yang mencatat IPU paling tinggi pada Sabtu dengan bacaan 127, menurun kepada 110 pada pagi tadi, pelabuhan Klang, 104 dan Kemaman, 101.

Semalam, Jabatan Alam Sekitar (JAS) memaklumkan, peningkatan bacaan IPU di beberapa kawasan di selatan Semenanjung dipengaruhi pencemaran jerebu merentasi sempadan.

Paparan imej satelit NOAA-18 dikeluarkan pusat meteorologi khusus Asean hari ini menunjukkan terdapat empat titik panas di Semenanjung Malaysia dan tiga di Sarawak.

Negara kini mengalami musim monsun barat daya bermula bulan ini dan dijangka berterusan sehingga September.

Angin monsun bertiup dari kawasan titik panas di Sumatera Tengah, Indonesia membawa pencemaran asap jerebu ke kawasan selatan pantai barat Semenanjung.

Sementara itu, sebanyak 6 stesen berada pada tahap baik manakala 39 lagi mencatat kualiti udara tahap sederhana.

Di ibu negara, bacaan IPU yang dicatatkan di Cheras ialah 92.

Orang ramai juga dinasihat tidak melakukan pembakaran terbuka dan diminta bekerjasama memadam kebakaran kecil.


- ASTRO

No comments:

Post a Comment