Tuesday 26 March 2013

Tony Fernandes: Donald Trump versi Asia

Oleh: Siti Munawira Mustapha via Yahoo Entertainment

Malaysia's aviation tycoon, Tony Fernandes (middle). Photo: Yahoo Entertainment


Kejayaan serta karisma yang dimiliki beliau sudah tentu membuatkan Tony Fernandes pilihan paling tepat sebagai mentor dan pengacara bagi rancangan realiti "The Apprentice Asia" yang bakal disiarkan pada Mei ini.

Untuk "The Apprentice" versi Asia ini, Fernandes bersama Kathleen Tan, selaku Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Expedia serta Mark Lancaster yang merupakan Ketua Pegawai Eksekutif Tune Hotels Group bakal membimbing dan menilai 12 orang finalis.

Dari kalangan 12 orang itu, hanya seorang sahaja yang akan bergelar juara yang mana beliau berpeluang bekerja di salah sebuah syarikat Fernandes selama setahun dengan gaji berjumlah AS $100,000 (RM309,249) dalam tempoh tersebut.

"Saya tidak pasti sejauh mana kemampuan untuk mengendalikan program ini walaupun rakamannya sudah berlangsung separuh jalan tetapi ia adalah pengalaman yang istimewa kerana saya tidak pernah mempunyai pelatih sebelum ini," kata beliau seperti yang dipetik dari laporan Harian Metro.

"Tambahan pula, segala gerak-geri dan aktiviti 12 pelatih ini dirakam dalam program televisyen. Tentu tekanannya berbeza dengan latihan yang diberikan tanpa dirakam. Namun, saya percaya program ini adalah peluang hebat untuk anak muda ini belajar banyak perkara baru."

Ditanyakan sama ada beliau akan mengamalkan gaya Donald Trump yang memecat pelatihnya dengan cara kasar menerusi "The Apprentice" versi Amerika Syarikat, tokoh ahli perniagaan ternama itu mengakui bahawa beliau berasa kurang selesa dengan elemen drama yang perlu dimasukkan memandangkan beliau lebih gemar mengamalkan kaedah perbincangan dan toleransi terhadap pekerja yang melakukan kesalahan.

Akan tetapi, beliau akan bertolak ansur dengan hal itu memandangkan ianya merupakan sesuatu yang tidak boleh diasingkan dari sesebuah program realiti demi menarik perhatian penonton.

"Walaupun saya berasa kurang selesa tetapi saya perlu bertolak ansur dengan perkara itu kerana ia menjadikan program lebih menarik, lebih percaya pada kaedah perbincangan dan toleransi jika pekerja melakukan kesalahan atau gagal menepati kehendak syarikat."

Tambah pengarah kepada AirAsia Berhad itu, para peserta rancangan "The Apprentice Asia" yang berasal dari sekitar negara Asia dan berusia dalam lingkungan 21 tahun ke atas haruslah memiliki kriteria seperti kebolehan berfikir dan melakukan kerja dengan pantas demi menepati budaya perniagaan beliau.



2 comments:

  1. kagum dgn dia ni. dari bawah sampai la ke atas dia berusaha.

    ReplyDelete
  2. Role model for entrepreneurs! Salute him.

    ReplyDelete