Wednesday 8 July 2015

Jenain akui tidak sepatutnya tembak Aminulrasyid

Aminulrasyid Amzah

SHAH ALAM - Koperal Jenain Subi hari ini mengakui bahawa beliau tidak sepatutnya melepaskan tembakan ke arah kereta Iswara putih dipandu Aminulrasyid Amzah, remaja lelaki yang maut kena tembak kira-kira lima tahun lepas.

Anggota polis itu juga bersetuju dengan cadangan peguam N.Surendran yang mewakili keluarga Aminulrasyid dalam kes saman ke atas beliau (Jenain) dan empat yang lain di Mahkamah Tinggi di sini, bahawa tindakan lari daripada pemeriksaan polis bukan satu keadaan yang membolehkan beliau melepaskan tembakan ke arah kereta remaja itu.

Selain itu, Jenain yang merupakan defendan pertama turut bersetuju dengan cadangan Surendran bahawa fakta Aminulrasyid tidak mengendahkan bunyi siren daripada kereta peronda yang mengejarnya tidak mengizinkan anggota polis itu melepaskan tembakan.

"Ketika kamu melepaskan tembakan tidak ada apa-apa maklumat yang menunjukkan Aminulrasyid dan rakannya di dalam kereta Iswara BET 5023 adalah penjenayah," kata Surendran dan Jenain menjawab "setuju".

Ibu Aminulrasyid, Norsiah Mohammad, 66, dan kakak sulung Aminulrasyid, Nor Azura, 45, selaku plaintif menamakan Jenain, bekas Ketua Polis Selangor Tan Sri Khalid Abu Bakar (kini Ketua Polis Negara), Ketua Polis Daerah Shah Alam, Ketua Polis Negara dan kerajaan Malaysia selaku defendan.

Saman sivil itu difailkan bagi menuntut ganti rugi hampir RM50 juta atas dakwaan kematian Aminulrasyid, 15, akibat luka tembakan di kepala berpunca daripada kecuaian Jenain.

Pada November 2013, Mahkamah Rayuan mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi di sini yang melepas dan membebaskan Jenain daripada tuduhan menyebabkan kematian Aminulrasyid ketika mengejarnya di Jalan Tarian 11/2, Seksyen 11, di sini antara pukul 1.10 pagi dan 2 pagi pada 26 April 2010.

Jenain, 52, yang ketika kejadian bertugas di Unit Kereta Peronda, Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam berkata ketika melepaskan tembakan beliau menggunakan senjata api jenis sub-mesingan SK MP5 yang dilaraskan kepada mode auto.

"Kenapa guna mode auto bukan manual," soal Surendran.

"Semasa tekan picu mungkin saya tertekan ke mode auto jadi saya tembak terus keluar 21 das tembakan," jawab Jenain.

"Adakah anda tersalah set ke mode auto," soal Surendran dan Jenain menjawab "ya".

"Oleh kerana silap anda telah tertembak terlalu banyak peluru ke arah kereta dipandu Aminulrasyid," soal Surendan dan anggota polis itu menjawab "ya".

Dalam pernyataan saksinya, Jenain yang diwakili peguam Zulkifly Omar berkata ketika melepaskan tembakan beliau menganggap pemandu kereta Iswara itu adalah seorang penjenayah yang ingin melarikan diri walaupun telah diarah untuk berhenti dan dikejar oleh kereta peronda yang dinaiki beliau sejauh kira-kira dua kilometer.

Anggota polis itu berkata beliau telah melepaskan tembakan ke arah bahagian bawah kereta dipandu Aminulrasyid dengan tujuan untuk menghentikan kereta tersebut.

"Saya dan pemandu peronda SL 614 (kereta peronda dinaiki Jenain) dan sebuah lagi kereta peronda SL 589 telah berusaha cuba memintas kereta BET 5023 dengan siren yang sentiasa berbunyi tetapi pemandu BET 5023 tidak langsung mengendahkan semua ini," katanya.

Sementara itu ketika disoal balas Peguam Kanan Persekutuan Normastura Ayub yang mewakili empat defendan lain, Jenain berkata cara pemanduan Aminulrasyid ketika dikejar kereta peronda polis agak agresif berdasarkan kepada tindakan remaja itu memandu secara zig-zag ke kiri dan ke kanan untuk mengelak kereta peronda daripada memotong keretanya serta melanggar semua empat lampu isyarat di persimpangan Seksyen 9 dan di Bulatan Kayangan.

Beliau berkata dari cara pemanduan Aminulrasyid boleh dikatakan remaja itu berpengalaman dan cekap memandu kereta.

"Saya katakan apabila melihat cara pemanduan kereta Iswara BET 5023 di awal pagi dan bila polis minta berhenti tidak berhenti, yang ada dalam fikiran kamu orang yang ada dalam kereta itu telah lakukan kesalahan dan cuba elak diri dari ditangkap polis," kata Normastura dan Jenain menjawab "ya".

"Anda tidak pernah sangka yang pandu kereta itu ialah seorang budak remaja umur 15 tahun," kata Normastura dan Jenain menjawab "benar".

Turut memberi keterangan pada hari ini ialah saksi terakhir plaintif iaitu Ketua Biro New Straits Times Selangor, Tengku Mazlinda Tengku Mahmood.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim bersambung esok. 

- Sumber: Bernama

No comments:

Post a Comment