Monday 2 December 2013

Jangan spekulasi kes bunuh tiga beradik - Mukhriz

Usah spekulasi kes bunuh tiga beradik - Mukhriz

Menteri Besar Kedah Datuk Mukhriz Mahathir menasihatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kejadian bunuh yang membabitkan tiga beradik dari Kampung Alor Semela, Jalan Datuk Kumbar, Alor Setar pada Jumaat lalu.

Sebaliknya, beliau mahu polis menjalankan siasatan terperinci bagi memberkas penjenayah yang bertanggungjawab membunuh tiga beradik berkenaan.

Jelas Mukhriz, kejadian malang ini begitu mengejutkan semua pihak  kerana dalam usaha kerajaan negeri untuk mewujudkan keadaan aman dan harmoni kini digemparkan dengan kejadian memilukan ini.

“Ini sesuatu yang sangat mengejutkan dan menyayat hati kerana dalam usaha kita untuk menonjolkan sebuah negeri yang aman makmur,” katanya.

“Kadang-kadang perkara seperti ini boleh berlaku dan saya yakin pihak polis akan cepat dan menyeluruh dalam siasatan dan kita serahkan sepenuhnya kepada PDRM untuk lakukan apa yang patut untuk memberkas penjenayah ini dan dibawa ke muka pengadilan,” tambah beliau.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan lawatan dan bertemu bapa mangsa, Rusdi Rani dan keluarga mangsa di Kampung Alor Semela, Alor Setar.

Pada pertemuan itu Mukhriz menyampaikan sumbangan peribadi beliau bagi meringankan beban keluarga.

Jumaat lalu tiga beradik ini dikatakan telah keluar rumah untuk bertemu kawan mereka di Kampung Gelam yang terletak berdekatan rumah.

Bagaimanapun mereka yang berusia tiga, 12 dan 14 tahun ditemui mati di kawasan berasingan.

Mayat Nor Syafikah Nadia Rusdi, 14, ditemui tertiarap dalam keadaan separuh bogel di tepi sawah Alor Senibong  pukul 3.45 petang Sabtu selepas keluar dari rumah bersama dua adiknya, Puteri Nurul Akma, 3, dan Nur Izzati Husna,12, kira-kira pukul 7.30 malam Jumaat.

Lebih menyayat hati, mayat Puteri Nurul Akma dan Nur Izzati Husna pula ditemui kira-kira pukul 4.50 petang Ahad di dalam terusan MADA Kampung Padang Petani, Langgar iaitu kira-kira 3.5 kilometer dari mayat Nor Syafikah Nadia ditemui.


ASTRO Awani

No comments:

Post a Comment