Monday, 13 April 2015

PRK Permatang Pauh: Shahrizat dicabar jadi calon

ZURAIDA: PRK Permatang Pauh: Shahrizat dicabar jadi calon - Gambar fail

KUALA LUMPUR: Ketua Wanita UMNO Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil diminta untuk membuka mata dan mengakui sokongan padu pengundi kepada Pakatan Rakyat (PR) di Permatang Pauh menjelang Pilihan Raya Kecil (PRK) di sana 7 Mei depan.

Sehubungan itu, Ketua Wanita PKR, Zuraida Kamaruddin berkata, Shahrizat dicabar untuk menjadi calon Barisan Nasional (BN) pada PRK berkenaan dan membuktikan kebenaran setiap tuduhannya mengenai kemunduran Permatang Pauh.

"UMNO seolah-olah tidak sedar diri, mereka sendiri tahu pengundi di Permatang Pauh menyokong penuh PKR dan ia sudah dibuktikan sebelum ini.

"Jika Shahrizat cakap banyak lagi, saya cabar dia sendiri untuk jadi calon, lagipun dia memang berasal dari Pulau Pinang, jadi memang sesuailah," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Zuraida mengulas kenyataan Shahrizat yang menyifatkan Parlimen Permatang Pauh bukan sahaja berdepan isu 'sendirian berhad' tetapi juga soal pembangunan dan anggota Parlimen yang boleh membawa pembaharuan.

Jelas Shahrizat, maklum balas daripada peringkat akar umbi menyatakan pengundi di Permatang Pauh mengutamakan pembangunan dan sudah bosan dengan janji kosong pakatan pembangkang.

Kenyataan Shahrizat disokong Setiausaha Badan Perhubungan UMNO Pulau Pinang Datuk Musa Sheikh Fadzir yang mengharap pengundi memberi peluang kepada calon BN berkhidmat sekurang-kurangnya dua tahun setengah di kawasan itu sekali gus membawa pembaharuan sebelum membuat keputusan muktamad pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14.

Shahrizat dilahirkan di Pulau Pinang pada 15 Ogos 1953 dan mendapat pendidikan awal di Sekolah Perempuan Jalan Northam dan Madrasah Tarbiah Islamiah, Pulau Pinang.

Dalam pada itu kata Zuraida, tidak timbul isu tiada pembangunan di Permatang Pauh selain menyifatkan PKR sudah mendapat sokongan padu rakyat untuk terus berkhidmat di kawasan berkenaan.

"Saya percaya kita akan menang besar, ia sebenarnya medan menguji kekuatan Pakatan Rakyat dan menilai sokongan menjelang PRU kelak.

"Ia momentum baru yang menunjukkan luahan hati pengundi terhadap pelbagai isu panas akhir-akhir ini," jelasnya.

Presiden PKR, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail memenangi kerusi Permatang Pauh pada 2004 dan 2008 dengan majoriti 590 dan 13,398 undi mengalahkan calon BN.

Sementara pada PRU ke-13, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengalahkan calon BN, Mazlan Ismail dengan majoriti 11,721 undi.

- Sumber: Astro Awani 

No comments:

Post a Comment