Suriyani (kanan) menceritakan pengalaman hidupnya kepada salah seorang pegawai Majlis Agama Islam Selangor (Mais) pada Program Hari Kecemerlangan Baitul Ehsan.
SABAK BERNAM - “Bayangkan saya hamil sewaktu saya tingkatan tiga, macam mana saya nak rahsiakannya daripada ibu bapa sedangkan perut makin membesar,” kata Suriyani (bukan nama sebenar), 21.
Suriyani yang kini menuntut di sebuah Institusi Pengajian Tinggi (IPT) berkata, peristiwa lima tahun lalu itu masih segar di ingatan setelah disahkan hamil selepas dirogol seorang lelaki tidak dikenali di sebuah jirat Cina.
Menurutnya, kejadian itu menjadi titik hitam dalam hidupnya selepas dia bersama rakan-rakannya berhibur sambil meneguk minuman keras sebelum dia dipelawa seorang lelaki menaiki sebuah kereta.
“Saya tak sedar apa yang berlaku waktu tu kerana mabuk, sebaik sedar saya dah berada di kubur Cina. Ketika itu rasa dunia ini kelam selepas dirogol dan dibiarkan di kubur,” katanya kepada Sinar Harian.
Suriyani memberitahu, sebulan selepas kejadian itu, dia mula merasakan perubahan pada dirinya akibat sering kali ke tandas kerana mengalami muntah yang teruk terutama ketika sedang belajar di dalam kelas.
“Saya merahsiakan kehamilan ini hingga kandungan berusia sembilan bulan sebelum seorang guru kaunseling menegur saya dan meminta saya berdiri sambil menyuruh saya memegang perut.
“Saya hanya menangis dan memberitahu saya mengandung sembilan bulan sebelum dia membawa saya berjumpa dengan pengetua yang baru dua hari melapor diri di sekolah berkenaan,” katanya.
Menurut anak bongsu dari tujuh beradik itu, ibu bapanya hanya mengetahui dia hamil setelah dia dimasukkan ke sebuah hospital kerajaan pada 13 Mac 2010 dan selamat melahirkan seorang bayi lelaki dua hari selepas itu.
“Memang ibu bapa saya amat kecewa selepas mengetahui saya lahirkan anak luar nikah, tapi apa boleh buat, nasi dah jadi bubur, cuma mereka tak putus-putus beri perangsang kepada saya untuk teruskan hidup,” katanya.
Bagaimanapun, sikapnya yang suka berfoya-foya dengan rakan-rakan masih diteruskan selepas habis berpantang hinggalah dia terpaksa mengambil keputusan untuk berhenti sekolah dan pindah ke sebuah sekolah baharu.
“Saya mula pergi kelab malam dan minum arak sejak tingkatan satu lagi. Semuanya kerana pengaruh rakan-rakan. Saya rasa segala tekanan hilang setiap kali berjumpa dengan rakan-rakan,” katanya.
Menurutnya, dia hanya bersekolah selama dua minggu di sekolah baharu sebelum dia dibawa ibu bapanya menjalani rawatan pemulihan di Pusat Perlindungan Wanita Baitul Ehsan Sabak Bernam.
“Pada mulanya memang saya tak nak datang ke sini kerana tak bebas, tapi selepas tinggal beberapa minggu, saya rasa seronok dan jiwa semakin tenang selain tekad untuk berubah,” katanya.
Selepas keluar dari pusat perlindungan wanita itu, Suriyani kemudiannya belajar di sebuah sekolah aliran agama swasta dan menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) setahun lewat daripada rakan-rakan seusianya.
“Saya insaf dan bergaul dengan rakan-rakan yang baik di sekolah agama dan kemudiannya menyambung pengajian di sebuah IPT di Melaka dan berhenti sebelum menyambung pengajian peringkat asasi dan ijazah di kolej sekarang,” katanya.
Bagaimanapun, dia bersyukur kerana keluarganya dapat menerima dirinya, malah anak yang dilahirkannya itu yang kini berusia lima tahun dijaga baik kakak sulungnya.
“Saya berharap walaupun anak saya bukan anak sah taraf, dia boleh jadi pemimpin yang baik suatu hari nanti.
“Saya sebenarnya malu dengan diri sendiri bagaimana nak bagi tahu dia adalah anak saya, sedangkan dia menganggap saya makciknya, saya harap dia dapat memaafkan kesalahan yang saya lakukan,” katanya.
- Sumber: Sinar Harian