Monday 1 June 2015

Rozita Che Wan jawab isu di Instagram


ROZITA Che Wan tidak terkesan dengan kecaman beberapa orang pengikutnya di laman Instagram yang membuta tuli membuat andaian.

KUALA LUMPUR: Rozita Che Wan tidak terkesan dengan kecaman beberapa orang pengikutnya di laman Instagram yang membuta tuli membuat andaian yang dirinya seolah-olah memakai seluar atau skirt pendek ketika sedang bercuti di London.

Malah, usaha penulis menghantar mesej di aplikasi WhatsApp miliknya juga pantas diagak untuk bertanyakan hal berkenaan.

"Kamu belum tanya saya sudah jawab," demikian jawapan pertama yang ditulis Rozita diikuti komen mengenai perkara berbangkit itu.

Rozita menjelaskan kecaman itu tidak langsung mengganggu percutiannya bersama keluarga. Rozita bercuti bersama suami tersayang, Zain Saidin dan dua anaknya, Ammar Effendy dan Aaisyah Dhia Rana.

"Orang buta sahaja yang tak boleh bezakan seluar dengan peha. Kalau orang yang berakal tengok gambar ini mereka takkan komen yang saya tak pakai seluar atau memakai seluar pendek kerana secara jelas saya bertudung. Saya bukannya gila untuk buat seperti itu. Saya tahu batas bertudung. Hanya orang yang selalu fikir negatif sahaja akan pantas membuat kesimpulan yang negatif semata-mata.

"Yang kutuk itu hanya seorang dua dan selebihnya banyak memberi komen mempertahankan saya. Jadi biarlah apa orang nak cakap, saya cool sahaja," kata Rozita sambil memberitahu Aaisyah hari ini sudah tujuh bulan.

Rozita juga memanjat kesyukuran apabila ramai yang memuji kecomelan anaknya hasil perkongsian hidup dengan Zain.

"Apabila orang suka, saya yakin apa yang keluar dari mulut mereka semua doa yang baik-baik. Insya-Allah," katanya sambil menjelaskan sedang menikmati bekalan ketupat dari Malaysia dengan dicicah susu.

Tambah Rozita lagi, Aaisyah sudah ke London dan Paris selama dua kali dalam tempoh setahun.

"Dalam tempoh enam bulan, dia (Aaisyah) datang lagi ke London dan Paris. Kiranya sudah dua kali dia datang ke sini. Sebelum itu, dia pernah ke Taiwan, Singapura, Jepun dan Amsterdam," katanya yang bercuti selama 15 hari di Eropah.

- Sumber: BH Online 

1MDB : Hishamuddin setuju gesaan Najib tetapi dengan bersyarat

Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein hari ini bersetuju dengan gesaan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang meminta mana-mana anggota Kabinet letak jawatan jika tidak bersama pulihkan 1MDB. 

KUALA LUMPUR: Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein hari ini bersetuju dengan gesaan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang meminta mana-mana anggota Kabinet yang tidak bersama dengannya dalam usaha pemulihan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) supaya meletakkan jawatan.

Hishamuddin bagaimanapun dalam satu tweet berbalas kepada akaun Twitter Astro AWANI pada hari ini berkata, persetujuan kepada gesaan perletakan jawatan bagi ahli-ahli Kabinet itu adalah dengan bersyarat.

Antara syarat beliau adalah syarikat pelaburan milik Kementerian Kewangan perlu dirasionalisasikan dan perlu ada akauntabiliti jika terdapat apa-apa salah laku.

Selain itu, beliau juga berkata perlu ada ketelusan dalam proses rasionalisasi dan akauntabiliti syarikat 1MDB itu.

Sebelum ini dalam satu akhbar tempatan melaporkan Najib meminta mana-mana anggota Kabinet yang tidak bersama dengan beliau dalam isu 1MDB untuk meletakkan jawatan.

Menurut akhbar tersebut, kenyataan Najib itu dibuat semasa mesyuarat Kabinet Jumaat lalu selepas Menteri Kewangan II, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah selesai membentangkan pelan hala tuju 1MDB kepada semua anggota Kabinet.

Dalam pembentangan itu, Husni memaklumkan International Petroleum Investment Company (IPIC) akan memperuntukkan sebanyak AS$1 bilion (RM3.66 bilion) kepada 1MDB bagi tujuan melangsaikan hutang berjumlah AS$975 juta (RM3.57 bilion) kepada sindiket peminjam bank antarabangsa.

Menurut beliau, 1MDB memeterai satu perjanjian ikatan dengan IPIC dan anak syarikatnya, Aabar Investments di mana IPIC akan membuat bayaran tersebut kepada 1MDB pada atau sebelum 4 Jun 2015.

Terdahulu, Ahli veteran UMNO, Tengku Razaleigh Hamzah minggu lalu juga berpendapat seluruh anggota Kabinet seharusnya memikul tanggungjawab bersama dalam berhadapan isu 1MDB dan tidak membiarkan Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Razak menghadapinya secara berseorangan.

- Sumber: Astro Awani 

Lagi video bayi terkunci dalam kereta tersebar, ibu-bapa masih tidak sedar

Video orang ramai cuba menyelamatkan seorang bayi yang terperangkap dalam kereta sememangnya menjadi isu yang hangat diperkatakan oleh pengamal media sosial.

KUALA LUMPUR: Video orang ramai cuba menyelamatkan seorang bayi yang terperangkap dalam kereta sememangnya menjadi isu yang hangat diperkatakan oleh pengamal media sosial. 

Video ini dimuat naik oleh pengguna Facebook bernama Tuan Nor Azlim yang juga merupakan salah seorang saksi yang berada di tempat kejadian. 

Dalam video berdurasi 2 minit itu, orang ramai dilihat cuba membuka pintu sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Perodua Myvi berwarna putih yang terkunci untuk menyelamatkan seorang bayi yang terperangkap di dalam kereta tersebut, dipercayai ditinggalkan oleh ibu bapanya.


Kejadian ini dilaporkan berlaku di hadapan sebuah bank di Seksyen 9 di Shah Alam pada kira-kira jam 2.30 petang apabila enjin kereta tersebut dipercayai mati menyebabkan bayi tersebut terperangkap di dalam bersama kunci kereta.

Menurut saksi bernama Tuan Nor Azlim yang memuat naik video berkenaan di Facebooknya, rakaman ini dibuat ketika dia terlihat kenderaan milik mangsa dikerumuni orang ramai yang cuba untuk menyelamatkan bayi berkenaan.

Enjin kenderaan itu yang tidak hidup membimbangkan lagi orang ramai akan keadaan bayi yang berada dalam kereta tersebut.

“Pecahkan, pecahkan, pecah je,” jerit seorang saksi dalam video tersebut.

Difahamkan, bayi itu mula berpeluhan dan dipercayai mengalami kesukaran untuk bernafas ketika terperangkap dalam kereta tersebut. 

Selepas beberapa cubaan, akhirnya orang ramai berjaya membawa keluar bayi tersebut dalam keadaan yang selamat.

Menurut Azlim, rakaman ini dimuat naik di Facebook untuk memberi pengajaran kepada semua ibubapa agar perkara sebegitu tidak akan berulang lagi.

Sejurus selepas video itu dimuat naik, pelbagai komen yang ditinggalkan oleh pengguna Facebook di bawah video tersebut.


Bagaimanapun, menurut beberapa saksi, ibu bayi tersebut dilaporkan turut berada di tempat kejadian namun tidak ada sebarang pengesahan berkenaan ibu bapa bayi tersebut.



- Sumber: Astro Awani 

Lower fares by AirAsia when travelling during Ramadhan month

AirAsia X, the long haul affiliate of the AirAsia Group is also offering promotional all-in-fares from RM299* one way to various exciting destinations in Japan, Taiwan and Australia.

SEPANG: AirAsia, the world’s best low-cost airline for six consecutive years is offering all-in-fares from as low as RM8* one way to domestic destinations, including intra-East Malaysia routes for the travel period from 15th June to 15th July, which coincides with the month of Ramadhan, while destinations in Indonesia as well as Brunei are also included in this special promotion from only RM59* one way.

The promotional fares mentioned are available for booking online at airasia.com from 1st – 7th June 2015, and they may also book through the AirAsia mobile app on the iPhone and Android devices, as well as the mobile site mobile.airasia.com.

AirAsia X, the long haul affiliate of the AirAsia Group is also offering promotional all-in-fares from RM299* one way to various exciting destinations in Japan, Taiwan and Australia.

The same booking period from 1st – 7th June applies, but a longer the travel period from 2nd June – 30th September 2015 is applicable for the AirAsia X promotion.

Spencer Lee, AirAsia Berhad Head of Commercial said, “Ramadhan is the month where everyone is preparing for the Hari Raya celebrations, and these special fares are to help facilitate easier travel for those who need to do last minute travel and planning before Hari Raya arrives.

How about extra flights for the Hari Raya season? We are definitely making plans and be assured that our
everyday low fares will continue even during the festivities.”

AirAsia is also continuously looking into making the booking experience as smooth and fast as possible for guests. The airline’s website airasia.com now provides an enhanced booking system with features that enables faster payment (Xpress booking), easier navigation with previews of details and add-ons for your booking, as well as the ability to pick up from your last search!

- Source: Bernama

Vios dan Hilux sekarang dengan lebih nilai - harga dari RM74,749 dan RM76,388


Mulai hari ini – 1 Jun 2015 – UMW Toyota Motor Sdn. Bhd.(UMWT) akan mula menjual model Vios dan Hilux dengan peralatan tambahan. Sebagai dua model kenderaan Toyota yang paling popular, ini pasti akan membuatkan nilai pembelian lebih tinggi dari sebelumnya.

Dengan ini, Toyota Vios 1.5 TRD Sportivo dan 1.5G akan dipasang sistem infohiburan jenis DVD-AVN (yang merangkumi Audio, Video dan Navigasi)yang turut mempunyai kamera undur. Unit 2 DIN ini memaparkan skrin sentuh berukuran tujuh inci. Capaian tambahan termasuk untuk HDMI, USB, Bluetooth dan Aux.
Unit infohiburan ini turut membolehkan pengguna mencapai dunia internet melalui pelayar web yang terbina dalam, menggunakan data daripada telefon penumpang. Fungsi Miracast pula boleh memaparkan peta dan arahan tuju daripada applikasi navigasi terpilih ke skrin. Arahan suara juga boleh diterima.

Pemasangan filem ‘tint’ keselamatan premium adalah standard untuk Vios 1.5E dan 1.5J. Filem yang digunakan juga menepati segala peraturan yang ditetapkan pihak JPJ.

Unit infohiburan AVN yang sama turut dapat dilihat di dalam trak Hilux varian G dan TRD Sportivo.
Untuk luaran, sebuah skup udara ditambah bersama garis tebal berwarna merah yang digunakan bagi menambah motif visual sport. Pembeli Hilux Sportivo mendapat peluang untuk menaiktaraf 'sports bar' di belakang kepada jenis TRD pada harga RM2,500.

Harga bagi Toyota Vios yang baru-baru ini diumumkan sebagai ‘Car of the Year’ oleh Frost & Sullivan bermula daripada RM74,749 manakala trak Hilux pula bermula daripada RM76,388 (harga-harga adalah atas jalan termasuk insurans).

- Sumber: Astro Publication

911 Targa 4S dan Cayenne baharu dilancarkan


911 Targa 4S

Varian Targa sangat jarang dikaitkan dengan prestasi yang diharapkan untuk mana-mana model Porsche. Faktor halangan yang paling besar adalah penggunaan kaca yang terlalu besar untuk bumbung Targa tersebut, satu beban yang malangnya terletak di kedudukan paling atas kereta tersebut.

Tetapi lihatlah Targa baharu ini – ianya sungguh menawan dan masih mengekalkan B-pillar tebal untuk kesinambungan penggayaan Targa. Dan berbeza dari dahulu, bumbung fabrik dengan kerangka magnesium banyak menjimatkan berat, dan masih boleh dilipat ke dalam untuk pengalaman memandu lebih memuaskan.

Masa untuk membuka atau memasang kembali bumbung ini mengambil masa 19 saat.

Porsche 911 Targa 4S ini mempunyai enjin 3.8-liter 6-silinder jenis Boxer yang menghasilkan 400hp dan 440Nm yang dihantar ke empat-empat roda melalui kotak gear klac berkembar PDK 7-kelajuan. 0-100km/j mengambil masa 4.4 saat (dengan pakej Sport Chrono).

Cayenne

Lima varian Cayenne baharu diperkenalkan serentak: Cayenne, Cayenne Diesel, Cayenne S, Cayenne S Diesel, dan buat pertama kali di Malaysia, plug-in hybrid Cayenne S E-Hybrid.

Porsche adalah salah satunya yang mempunyai tiga pilihan model hibrid ‘plug-in’ termasuk 918 Spyder dan Panamera S E-Hybrid. Teknologi cekapnya membolehkan ia mencatat kadar penggunaan bahan api serendah 3.4-liter setiap 100km.

Model Cayenne S pula sudah menggantikan enjin V8 dahulu kepada unit 3.6-liter V6 dengan biturbo yang memberi lebih 20hp (kepada 420hp), dan penambahan tork sebanyak 50Nm kepada 550Nm.

Kuasa Cayenne Turbo juga telah meningkat kepada 520hp dan tork sekarang adalah 750Nm. Varian Cayenne S Diesel dengan enjin 3.0-liter V6 pula mampu untuk menghasilkan 262hp dan 580Nm. Ini tidak sehebat Cayenne S Diesel dengan enjin 4.2-liter V8: 385hp dan 850Nm. Ia memecut dari rehat ke 100km/j dalam hanya 5.4 saat.


Tidak dinyatakan pula harga permulaan bagi model-model ini tetapi ini bukanlah perkara aneh. Harga Porsche di Malaysia (dan banyak pasaran-pasaran lain) banyak bergantung kepada kadar tukaran mata wang dan ditambah dengan kepelbagaian yang boleh dibuat pembeli menerusi ‘customisation’, harga muktamad memang banyak berubah-ubah.

- Sumber: Astro Publication

Peminat pertahan foto selfie Fazura dengan anjing

Fazura memuat naik foto itu ketika menghadiri satu majlis kutipan dana untuk sebuah badan amal menjaga kebajikan haiwan, Furry Friends Farm.

KUALA LUMPUR: Pelakon cantik Nur Fazura telah mencetus kontroversi dikalangan pengikut Instagramnya (IG) sejak petang Ahad selepas memuat naik fotonya bersama seekor anjing.

Foto Fazura bersama haiwan tersebut yang digelar ‘Kuning’ telah mendapat hampir 10,000 ‘like’ dengan 700 komen dari pengikut.

Pada foto tersebut, Fazura telah menulis kapsyen “Our superhero "Kuning" who love his friends and everyone he met. An example to many humans. Love more, hate less :) #WeLoveKuning #FurryFriendsFarm”.

Aktres tersebut memuat naik foto itu ketika menghadiri satu majlis kutipan dana untuk sebuah badan amal menjaga kebajikan haiwan, Furry Friends Farm.

Namun, agak mengecewakan apabila niat Fazura telah disalah erti segelintir peminat yang kurang senang dengan tindakan tersebut, walaupun pada kapsyen sudah jelas menampakkan tujuan sebenar penyanyi ‘Sayangi Dirimu’ itu memuatnaik foto tersebut.

Bagaimanapun, Astro Gempak tertarik dengan komen para pengikut Fazura yang lebih menghormati selfie tersebut dari melihat selebriti kesayangannya bersentuhan dengan lelaki bukan muhrim.

Ada benarnya kata-kata para peminat tersebut kerana anjing juga makhluk tuhan yang layak dilayan seperti haiwan lain.

Lagipun mengikut penelitian Astro Gempak, Fazura dan Si Kuning tidaklah bersentuhan malah, jarak mereka juga agak jauh. Mesej yang cuba disampaikan Fazura cukup jelas iaitu nilai kemanusiaan serta kasih sayang yang perlu diberikan sama rata kepada semua makhluk ciptaan Tuhan.

Kadang-kadang kita juga perlu melihat ke arah sudut yang lebih positif sebelum menghentam dan memberi komen sewenang-wenangnya kepada individu lain.


- Sumber: Astro Gempak 

Kenapa Hyundai sedang memerhati FIFA?


Dari kiri: Karim Benzema, Lukas Podolski, Iker Casillas, Giuseppe Rossi, Daniel Sturridge

Komitmen Hyundai untuk menyokong sukan bola sepak menerusi FIFA sangat mendalam. Bagi Hyundai sendiri, penajaan bola sepak adalah teras strategi pemasaran mereka.

Kerjasama dengan FIFA bermula pada tahun 1999 untuk menaja 13 pertandingan FIFA, termasuk Piala Dunia 2002 di Jepun/Korea; kemudian, penajaan bersambung ke Piala Dunia 2006 di Jerman. Selain itu, Hyundai (dan Kia) adalah Rakan Automotif Rasmi bagi FIFA hingga tahun 2022.

Namun skandal rasuah yang sekarang menyelubungi FIFA – khususnya beberapa individu penting di dalam organisasi itu – mungkin ada kesan pada kerjasama ini.

Beberapa hari lepas, Hyundai Motor UK ada mengeluarkan siaran media ringkas yang menjelaskan bahawa pihak syarikat sedang memerhati perkembangan krisis ini.

“Sebagai sebuah syarikat yang meletakkan standard etika dan ketelusan pada tempat tertinggi, Hyundai Motor amat risau tentang kes mahkamah yang dihadapkan kepada beberapa eksekutif FIFA dan kami akan terus memerhati keadaan dengan teliti.”

Kejayaan Sepp Blatter bagi terus menerajui FIFA untuk satu lagi penggal baru-baru ini tidak mungkin akan melenyapkan prasangka masyarakat dunia serta rakan-rakan komersil FIFA kepada integriti organisasi tersebut. Dan bukan Hyundai sahaja yang memanjangkan kerisauan mereka, Visa dan Coca-Cola juga dikatakan tidak senang dengan situasi sekarang.

- Sumber: Astro Awani 

Benarkah wanita memakai jeans penyebab gempa bumi?

Maulana turut menyamakan wanita yang sengaja berpakaian seksi mampu meninggalkan kesan sama seperti senjata pemusnah seperti bom nuklear.

ISLAMABAD: Seorang pemimpin politik dari Jamiat Ulema-e-Islami (JUI-F) Pakistan Maulana Fazlur Rehman yang menyimpulkan bahawa kejadian gempa bumi dan banyak bencana alam lain berlaku akibat kaum wanita yang memakai seluar jeans.

Maulana yang bertaraf ulama di negara itu turut meminta pasukan bersenjata Pakistan melaksanakan operasi ketenteraan bagi bertindak ke atas wanita yang memakai seluar tersebut.

Portal berita The New Indian Express melaporkan, Maulana berpendapat bahawa punca gempa bumi dan pelbagai bencana lain termasuk masalah inflasi berlaku akibat kaum wanita yang berpakaian tidak sopan.

Ulama itu turut menyamakan wanita yang sengaja berpakaian seksi mampu meninggalkan kesan sama seperti senjata pemusnah seperti bom nuklear.

Lebih daripada itu, Maulana berkata, jika kaum wanita berpakaian dengan sopan dan berada di rumah, kemungkinan besar pihak Taliban tidak akan melakukan keganasan di Pakistan.

Maulana berkata, Taliban Pakistan tidak boleh dipersalahkan sepenuhnya sebaliknya menyarankan agar ‘musuh sebenar’ Pakistan perlu dihapuskan.

“Pihak Taliban adalah saudara kita dan kemarahan mereka di negara ini bersebab. Pengeboman oleh Taliban adalah kemarahan Tuhan ke atas kita maka adalah perlu untuk menlenyapkan musuh sebenar Pakistan.

“Antaranya yang perlu dicegah adalah wanita yang memakai jeans,” katanya seperti yang dilapor media tempatan.

Pada Ogos 2014, sistem pentadbiran masyarakat Khap Panchayat di Uttar Pradesh telah meluluskan peraturan bahawa wanita yang belum berkahwin tidak boleh memakai seluar jeans ataupun telefon bimbit. 

- Sumber: Agensi

Pinggan khas buat penggemar ambil gambar makanan


BAGI mereka yang gemar mengambil gambar makanan, kini tidak perlu risau untuk mencari sudut terbaik untuk mendapatkan hasil gambar cantik kerana pinggan khas untuk membantu memudahkan tabiat anda telah dicipta. 

Sebuah restoran di Tel Aviv telah mengambil inisiatif untuk menghidangkan makanan di restoran mereka di atas pinggan khas yang direka supaya pelanggannya boleh mengambil gambar makanan tersebut terlebih dahulu.

Salah seorang pengasas restoran Restoran Catit and Carmel Winery, Chef Meir Adoni Catit telah melancarkan sebuah projek, Foodography dengan kerjasama pereka seramik, Adi Nissani mencipta pinggan khas yang membolehkan pelanggan meletakkan telefon pintar mereka di posisi yang betul untuk mengambil gambar makanan.

Memetik laporan Haaretz, pelbagai rekaan dikeluarkan seperti pingggan berbentuk L dengan satu tempat khas di bahagian depan di mana pelanggan boleh meletakkan telefon pintar mereka untuk memudahkan proses mengambil gambar.

"Setiap malam mereka dirogol," pendedahan dari kem pemerdagangan manusia

Penemuan kubur besar yang dikatakan kubur mangsa sindiket pemerdagangan manusia mengejutkan dunia

ALOR SETAR: Wanita-wanita Rohingya yang ditahan di kem transit sindiket pemerdagangan manusia di Padang Besar, Thailand diperlakukan persis hamba seks.

Mereka menjadi mangsa rogol beramai-ramai oleh pengawal kem berkenaan. Pendedahan itu dibuat oleh seorang wanita Rohingya, Nur Khaidha Abdul Shukur, 24, yang ditahan selama lapan hari bersama anaknya yang baru berusia beberapa bulan di kem transit itu.

"Setiap malam, dua atau tiga wanita muda Rohingya yang agak cantik, akan dibawa keluar dari kandang tahanan dan dibawa ke tempat tersembunyi oleh pengawal-pengawal kem itu."

"Wanita itu dirogol beramai-ramai oleh mereka (pengawal kem), malah di dalam kem itu, ada dua wanita muda yang telah mengandung dipercayai akibat perbuatan pengawal itu," katanya kepada wartawan Bernama menerusi penterjemah di sini hari ini.

Menurut Nur Khaidha, ada juga di antara wanita-wanita itu yang "dibawa" oleh pengawal-pengawal kem berkenaan selama beberapa hari untuk menjadi mangsa kebuasan seks mereka.

"Mereka (wanita) akan 'hilang' selama dua hingga tiga hari selepas dibawa oleh pengawal itu. Selepas mereka dikembalikan ke kandang, saya tidak bertanya tetapi saya tahu apa yang telah terjadi kepada mereka."

"Dari raut wajah mereka, kita tahu," katanya dan menambah, wanita-wanita yang ditahan dalam kandang itu tidak dibenarkan bercakap di antara satu sama lain, atau akan dipukul.

Kedua-dua wanita Rohingya yang mengandung dipercayai akibat dirogol pengawal itu, kata Nur Khaidha, telah ditahan di kem transit itu lebih daripada enam bulan.

Katanya, di dalam kem transit itu di mana beliau ditahan pada tahun lepas, terdapat 15 wanita Rohingya mangsa sindiket itu, dengan lima daripada mereka mempunyai anak-anak kecil.

Kelima-lima yang mempunyai anak itu turut ditahan di dalam kandang bersama-sama anak mereka, tetapi tidak diapa-apakan oleh pengawal terbabit.

"Mungkin kerana kami mempunyai anak-anak kecil, maka pengawal-pengawal tidak bertindak merogol kami. Tetapi walau apapun, saya berdoa setiap hari agar tidak menjadi mangsa rogol mereka," katanya.

Nur Khaidha, yang berasal daripada Maungdaw, Myanmar memberanikan diri menyeberangi Laut Andaman menaiki bot ke Malaysia bersama-sama anak kecilnya untuk menjejaki suaminya.

Beberapa bulan sebelum itu, suaminya, Nurul Amin Nobi Hussein, 25, telah menaiki bot dari Maungdaw ke Ranong, Thailand, dalam usahanya untuk menjejakkan kaki di Malaysia.

Tanpa diketahui oleh isterinya, beliau turut ditahan oleh sindiket pemerdagangan manusia di kem transit mereka di Bukit Wang Burma, Wang Kelian.

Berbanding Nur Khaidha yang ditahan selama lapan hari di kem transit di Padang Besar, suaminya pula telah ditahan di kem di utara tanah air itu selama 22 hari, sebelum nekad melarikan diri.

Nurul Amin yang kini bekerja di sebuah bengkel di Alor Setar berkata, keinginan mencari kehidupan yang lebih baik membuat beliau, isteri serta anak lelaki mereka bertaruh nyawa menaiki "bot-bot maut" ke Malaysia.

Sama seperti yang didedahkan oleh isterinya, Nurul Amin turut menceritakan kisah wanita Rohingya itu dirogol.

"Pada waktu malam, beberapa pengawal akan datang ke kandang-kandang yang menempatkan wanita itu dan menarik keluar mereka ke suatu tempat berdekatan."

"Kami mendengar teriakan dan tangisan wanita-wanita itu kerana tempat di mana mereka dirogol amat hampir dengan kandang kami...cuma kami tidak dapat melihat," katanya.

Kini hampir setahun berlalu, Nurul Amin dan isterinya, bersyukur kerana telah bebas dari azab dan sengsara di kem-kem pemerdagangan manusia.

- Sumber: Astro Awani 

Reda kontroversi jemputan kahwin, Hanis Zalikha & Hairul Azreen nikah Jumaat ini



Astro Gempak difahamkan pasangan sama cantik, sama padan itu akan bernikah pada Jumaat ini di kediaman keluarga Hanis, di Bukit Jelutong.

Sebelum ini pasangan Hanis Zalikha dan Hairul Azreen mencetuskan kontroversi apabila menganjurkan pertandingan untuk menghadiri majlis perkahwinan mereka.

Bagaimanapun kontroversi tersebut tidak berlarutan terlalu lama selepas Hairul dan Hanis memberi penjelasan.

Astro Gempak difahamkan pasangan sama cantik, sama padan itu akan bernikah pada Jumaat ini di kediaman keluarga Hanis, di Bukit Jelutong.

Majlis tersebut akan diadakan secara tertutup selepas solat Jumaat sementara majlis resepsi pula pada Ahad, 14 Jun di Hotel Majestic, Kuala Lumpur.

Pelakon dan pengacara cantik berharap dua majlis yang akan berlangsung itu berjalan lancar dan diberkati.

"Saat untuk bergelar isteri ini sudah saya nantikan sekian lama. Paling penting dapat bersatu dengan orang yang kita cintai.

"Saya tidak sabar untuk membina rumah tangga dengannya. Ia fasa baharu yang akan kami tempuhi bersama. Malah kami bersatu sebelum Ramadan tiba dan pastinya keterujaan untuk menyambut bulan puasa dan Aidilfitri kelak sudah mula dirasai," kata Hanis.

Mengenai Hairul, Hanis menyifatkan tunangnya yang dikenali bermula sebagai kawan sejak 2004 itu sebagai seorang yang tebal dengan sikap nakal kerana gemar mengusik tetapi penuh dengan kematangan.

"Entahlah cinta kami bukan cinta monyet, tapi saya selesa kelaskannya sebagai cinta belia remaja. Biarpun nampak dia sebagai seorang yang keanak-anakan tapi dalam banyak hal dia yang putuskan segala keputusan. Termasuklah hal nak kahwin ini.

"Sebelum nak lamar dan nak kahwini saya lagi, dia sudah berhasrat mahu stabilkan diri daripada sudut ekonomi.

"Dia ambil tawaran kerja bertali arus, buat pelaburan itu dan ini selain membuka studio penggambaran sendiri untuk disewa syarikat produksi," katanya yang bertunang dengan Hairul pada 21 Mac lalu.

Pasangan ini mengejutkan industri seni selepas Hairul melamar Hanis secara langsung pada 4 Januari lalu menerusi siaran langsung pertandingan Gegar Vaganza anjuran Astro.

- Sumber: Berita Harian Online

Malaysia Airlines secara teknikal sudah muflis, kata CEO baharu

Mueller merancang untuk merawat luka MAS pada tahun 2015, menstabilkan bisnes pada tahun berikutnya, dan kembali mengalami pertumbuhan pada tahun 2017.

SEPANG: Malaysia Airlines ‘secara teknikalnya sudah muflis’, kata Ketua Pegawai Eksekutif MAS NewCo Christoph Mueller pada Isnin ketika membentangkan pelan strategik pemulihan syarikat penerbangan tersebut.

“Kita secara teknikalnya muflis dan prestasi yang merudum telah berlaku sebelum peristiwa tragik sepanjang tahun 2014,” ujar Mueller kepada media, merujuk kepada dua tragedi melibatkan pesawat MAS pada tahun lalu.

Malaysia Airlines mengambil tindakan awal berimpak besar di bawah pengurusan Mueller, apabila daripada 20,000 kakitangan yang diberhentikan hanya 14,000 daripadanya yang diberikan surat tawaran kerja di syarikat baharu.

Dalam sidang media pertamanya itu, beliau secara tidak langsung mengesahkan tentang 6,000 kakitangan MAS yang tidak akan menerima surat tawaran kerja bagi menyertai syarikat MAS NewCo.

Sebelum ini Mueller pernah membuat perubahan drastik bagi mengubah operasi syarikat penerbangan Ireland iaitu Aer Lingus dan syarikat Sabena dari Belgium. Tindakan memberhentikan pekerja telah membuatkan Mueller mendapat jolokan nama ‘The Terminator’.

Untuk masa depan MAS, Mueller membentangkan fasa pemulihan yang bermula pada 1 September nanti dengan imej jenama baharu yang belum didedahkan. Dijangkakan beliau akan mengumumkan suatu perubahan bagi menghapuskan stigma tahun bencana 2014.

Pada Mac tahun lalu, pesawat MH370 telah hilang bersama 239 penumpang dan anak kapal. Empat bulan selepas itu, pesawat MH17 pula ditembak jatuh di ruang udara Ukraine lantas mengorbankan nyawa 298 orang.

Dua tragedi itu merupakan tamparan hebat buat syarikat penerbangan yang menurut analisis memiliki pengurusan yang lemah hingga menjatuhkan prestasinya.

Suntikan dana kerajaan telah dibuat dalam usaha menyelamatkan MAS pada tahun lalu selain melantik Mueller untuk menerajui tugas tersebut.

Mueller berkata, beliau merancang untuk ‘merawat luka’ MAS pada tahun 2015, menstabilkan bisnes pada tahun berikutnya, dan kembali mengalami pertumbuhan pada tahun 2017.

Dalam e-mel yang dihantarkan kepada para pekerjanya bulan lalu, Mueller telah memberi peringatan bahawa perubahan besar perlu dibuat memandangkan syarikat tersebut dibebani paras kos tidak kompetitif yang lebih 20 peratus berbanding pesaingnya.

Selain mengurangkan tenaga kerja, MAS dijangka menghentikan perkhidmatan penerbangan jarak jauh yang tidak mendatangkan keuntungan namun rancangan itu belum dapat diperincikan atas sebab persaingan.

- Sumber: Astro Awani 

Fasa kedua menggali tapak kubur diteruskan Rabu ini

Ketua Polis Perlis SAC Shafie Ismail berkata pihak penyiasat akan menggali di empat kawasan yang mengandungi 91 tapak kubur pada 3 Jun.

KUALA LUMPUR: Pihak polis akan memulakan kerja-kerja peringkat kedua menggali tapak-tapak kubur yang ditemui di Wang Kelian sejak minggu lalu, Rabu ini.

Ketua Polis Perlis, SAC Shafie Ismail turut memaklumkan laporan mengenai satu lagi kem transit pemerdagangan manusia yang dilaporkan dikesan pada Ahad di hutan simpan Mata Ayer di Lubuk Sireh adalah bukan penemuan baru.

“Saya ingin menjelaskan apa yang dimaksudkan (Menteri di Jabatan Perdana Menteri) Datuk Seri Dr Shahidan Kassim, ini bukan penemuan yang baharu. Kita jumpa lebih kurang pada masa yang sama dengan tempat yang kita gali sebelum ini.

“Apa yang dimaksudkan Datuk Seri Shahidan adalah kita akan membuat tugasan kedua, sambungan daripada tempat yang pertama. Pada 3 Jun kita akan ke tempat ini untuk menggali,” katanya kepada Astro AWANI.

Beliau berkata terdapat empat kawasan yang dipercayai tapak kubur.

“Di kawasan pertama terdapat 40 kubur, kawasan kedua mempunyai tujuh kubur, kawasan ketiga mempunyai 24 kubur dan kawasan keempat 20 kubur. Jumlah keseluruhan adalah 91 kubur,” katanya.

- Sumber: Astro Awani 

'Jangan suka hati panjat Jambatan Seri Wawasan'

Aksi pemuda yang menunjukkan gerakan 'Parkour' semasa memanjat Jambatan Seri Wawasan Putrajaya - Sumber gambar Instagram @abirkot

KUALA LUMPUR: Dua pemuda yang melakukan aksi seni pergerakan badan 'Parkour' dinasihat meminta kebenaran sebelum membuat sebarang 'persembahan' terutama melibatkan isu keselamatan diri di tempat tinggi dan memanjat jambatan.

Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Dr J. Loga Bala Mohan berkata, kementeriannya tidak memberi jaminan seandainya sesuatu yang buruk berlaku termasuk kemalangan yang mungkin meragut nyawa atau sebarang kecederaan.

"Kita tidak pernah benarkan apa juga aksi panjat jambatan di Putrajaya. Mereka perlu mengikut undang-undang.

"Kalau pakar sekalipun, mereka perlu menunjukkan kelayakan dan pihak keselamatan serta perubatan mungkin boleh bersedia jika perkara yang tidak diingini berlaku. Mereka tidak boleh berdegil dan apa yang dibuat adalah kesalahan," katanya ketika dihubungi di sini pada Ahad.

Dr J. Loga mengulas, aksi Abudi Alsagoff dan rakannya, Abir Kot yang membuat keputusan untuk memanjat Jambatan Seri Wawasan di Putrajaya bagi mencabar diri terutama untuk menghilangkan ketakutan pada ketinggian, selain tertarik dengan keunikan jambatan berkenaan.

Aksi pemuda yang menunjukkan gerakan 'Parkour' sebelum memanjat Jambatan Seri Wawasan Putrajaya - Sumber gambar Instagram @abirkot

Aksi pemuda yang menunjukkan gerakan 'Parkour' semasa memanjat Jambatan Seri Wawasan Putrajaya - Sumber gambar Instagram @abirkot

Kata mereka, elemen cabaran itu adalah satu daripada aspek yang terdapat dalam 'parkour' iaitu sejenis seni pergerakan badan yang bertujuan bergerak dari satu tempat ke tempat lain sepantas mungkin. 'Parkour' juga dikatakan salah satu aktiviti yang dapat meningkatkan tahap kekuatan fizikal dan mental.

Dalam pada itu kata Dr J. Loga, pihaknya akan mengambil tindakan seandainya aksi mereka berdua tidak mendapat sebarang kelulusan.

"Panjat-panjat sebegini satu perbuatan yang tidak boleh diterima, kita pasti ambil tindakan di atas perbuatan mereka.

"Kita tidak pernah membenarkan sesiapa memanjat jambatan di Putrajaya dan ia mengundang pengaruh kepada orang lain yang bukan pakar untuk mencubanya," ujarnya.

Loll

Sebelum ini, pelakon popular, Taylor Lautner dilaporkan menunjukkan seni parkour dalam bentuk komersial oleh Hollywood melalui filem aksi 'Tracers'.

- Sumber: Astro Awani 

1MDB: Letak jawatan jika tidak bersama pulihkan - Najib

Kenyataan Najib itu dibuat semasa mesyuarat Kabinet Jumaat lalu selepas Menteri Kewangan II, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah selesai membentangkan pelan hala tuju 1MDB kepada semua anggota Kabinet. 

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak meminta mana-mana anggota Kabinet yang tidak bersama dengannya dalam usaha pemulihan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) supaya meletakkan jawatan.

Memetik akhbar Utusan Malaysia pada hari ini, kenyataan Najib itu dibuat semasa mesyuarat Kabinet Jumaat lalu selepas Menteri Kewangan II, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah selesai membentangkan pelan hala tuju 1MDB kepada semua anggota Kabinet.

"Perdana Menteri meminta mana-mana anggota Kabinet yang tidak bersama dengan beliau dalam isu 1MDB meletakkan jawatan tetapi tiada seorang pun berbuat demikian (menyatakan tidak bersama)," kata sumber itu kepada Utusan Malaysia.

Syarikat pelaburan 1MDB sehingga hari ini hebat dikritik pelbagai pihak termasuk menimbulkan pelbagai persoalan dalam beberapa aspek pelaburan yang dibuat oleh syarikat pembangunan strategik itu.

Selasa lalu, Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan (BNBBC), Tan Sri Shahrir Abdul Samad, dilaporkan menyarankan agar menteri yang tidak bersetuju dengan keputusan bersama Kabinet berkaitan isu 1MDB agar meletakkan jawatan.

Ahli veteran UMNO, Tengku Razaleigh Hamzah minggu lalu juga berpendapat seluruh anggota Kabinet seharusnya memikul tanggungjawab bersama dalam berhadapan isu 1MDB dan tidak membiarkan Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Razak menghadapinya secara berseorangan.

- Sumber: Astro Awani 

Saiful tarik balik saman fitnah RM50 juta terhadap Anwar

Bekas pembantu peribadi Datuk Seri Anwar Ibrahim, Mohd Saiful Bukhari Azlan (tengah), telah menarik balik saman RM50 juta terhadap Anwar pada hari ini. - Gambar fail

KUALA LUMPUR: Bekas pembantu peribadi Datuk Seri Anwar Ibrahim, Mohd Saiful Bukhari Azlan hari ini mengambil keputusan untuk menarik balik saman RM50 juta terhadap bekas majikannya itu.

Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi Azizul Azmi Adnan membuat keputusan itu selepas peguam Saiful, Zamri Idrus memaklumkan kepadanya tetang niat anak guamnya itu, lapor The Star Online.

Dalam pada itu Latheefa Koya, peguam yang mewakili Anwar berkata hari ini sepatutnya ditetapkan sebagai hari untuk pengurusan kes itu.

Beliau berkata ketika mahkamah sedang berlangsung di kamar, Zambri memberitahu mahkamah bahawa anak guamnya mahu menarik balik saman fitnah itu terhadap Anwar. 

"Tiada sebab diberikan bagi penarikan balik itu. Hakim kemudiannya membatalkan saman itu," katanya.

Sebelum ini Mohd Saiful dikatakan akan memberi keterangan pada 10 Ogos depan dalam samannya yang berjumlah RM50 juta terhadap Anwar berhubung insiden liwat tujuh tahun lepas.

Peguam Mohd Saiful, Zamri Idrus, memberitahu media bahawa plaintif akan memanggil sekurang-kurangnya 10 saksi untuk memberi keterangan pada perbicaraan itu, yang ditetapkan selama lima hari mulai 10 Ogos depan.

Pada 23 Jun tahun lepas, Mohd Saiful, 30, memfailkan saman bagi menuntut ganti rugi RM50 juta selepas mendakwa beliau mengalami kesakitan fizikal dan menanggung penderitaan sejak 2008 akibat diliwat oleh Anwar.

Dalam penyataan tuntutannya, Mohd Saiful mendakwa Anwar menuduh laporan polis yang dibuatnya pada 28 Jun 2008 mengenai kejadian liwat itu sebagai satu fitnah dan konspirasi terhadap Ketua Pembangkang itu.

Mohd Saiful mendakwa beliau tidak pernah berbohong dengan kandungan laporan polis itu yang menyatakan Anwar meliwatnya dan kali terakhir kejadian itu berlaku pada 26 Jun 2008, di Unit 1151, Kondominium Desa Damansara, Jalan Setia Kasih, di sini.

Mohd Saiful mendakwa beliau telah dipandang rendah oleh masyarakat yang mempercayai tuduhan Anwar terhadapnya, selain dicemuh di laman-laman sosial hingga menyebabkannya mengalami tekanan teruk akibat fitnah dan kejadian liwat itu.

Anwar, 67, dalam pernyataan pembelaan yang difailkan 8 Okt tahun lepas, menafikan beliau meliwat Mohd Saiful dan berkata dakwaan liwat itu adalah tidak benar.

Pada 10 Feb tahun ini, Mahkamah Persekutuan mengekalkan hukuman penjara lima tahun yang diputuskan Mahkamah Rayuan terhadap Anwar kerana meliwat Mohd Saiful.

- Sumber: Astro Awani

5 sajian makanan paling mahal di dunia


TAHUKAH anda ada sesetengah makanan harganya lebih mahal daripada sebuah kereta dan kadang-kala mencecah nilai sebuah rumah?

Ya! Macam tidak percaya, kan? Namun, ada segelintir masyarakat yang sanggup menghabiskan banyak wang hanya untuk menikmati makanan yang mewah itu. Perkara ini menimbulkan persoalan, apa sebenarnya terkandung dalam makanan tesebut sehingga dijual begitu mahal kepada pembeli? 

Berikut adalah lima makanan termahal di dunia:


Trufel Putih (trifola d’Alba)– $160,406 (RM536,760)

Trufel, sejenis cendawan mewah yang berasal dari Itali ini merupakan trufel terbesar dan termahal di pasaran.

Menurut sumber, cendawan ini dijual pada harga yang tinggi kerana masa yang diambil untuk tumbuh agak lama, menyebabkan harga sekilo trufel mencecah ribuan dolar. 


Almas beluga caviar - AS$28,000 (RM93,701)

Kaviar ini dihasilkan daripada telur sturgeon albino yang hanya boleh ditemui di Laut Kaspia. Bungkusan hidangan mewah yang diimport dari Iran ini diperbuat daripada emas 24 karat. 


Tembikai Yubari – AS$22,872 (RM76,522)

Tembikai berharga RM76,522. Tembikai yang digelar sebagai 'raja buah' ini dijual pada harga yang tinggi kerana rasanya yang manis dan sempurna.

Buah ini merupakan hasil kacukan dua jenis tembikai eksotik dari daerah Yubari, Jepun.


Pizza Royale 007’ - AS$4,200 (RM14,051)

Piza termahal ini dihasilkan daripada ramuan yang mahal seperti ikan salmon Scotland, kaviar, udang, champagne dan daging rusa.

Bukan itu sahaja, lapisan atas piza bersaiz 12 inci ini dibuat daripada kepingan emas 24 karat yang boleh dimakan.


Daging Wagyu - AS$2,800 (RM9,374)

Menurut sumber, daging ini merupakan sajian golongan atasan di Jepun dan kelompok elit di seluruh dunia. Malah, rasa daging ini juga jauh lebih enak serta lembut berbanding daging lembu biasa.

- Sumber: Astro Awani

Terkini: Satu lagi kem transit sindiket pemerdagangan manusia dikesan


35 rangka manusia dipercayai mangsa sindiket pemerdagangan manusia yang dijumpai di hutan Bukit Wang Burma di Wang Kelian telah di bawa ke Hospital Sultanah Bahiyah Alor Setar. - Gambar Fail

KUALA LUMPUR: Satu lagi kem transit pemerdagangan manusia dikesan di Hutan Simpan Mata Ayer di Lubuk Sireh terletak kira-kira 100 meter dari sempadan Thailand.

Kem yang lengkap dengan pelbagai kemudahan yang dilengkapi dengan generator dan empangan kecil, amat berbeza dengan kem transit yang ditemui di Bukit Wang Burma, Wang Kelian, menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Shahidan Kassim yang meninjau ke kawasan itu pada Ahad.

Sementara itu, 35 rangka manusia dipercayai mangsa sindiket pemerdagangan manusia yang dijumpai di hutan Bukit Wang Burma di Wang Kelian telah di bawa ke Hospital Sultanah Bahiyah Alor Setar, Kedah untuk proses patologi.

Setakat ini, sebanyak 139 kubur di 28 kem sementara sindiket pemerdagangan manusia ditemui antara Kampung Wai di Kuala Perlis hingga Tangga 100 di Felcra Lubuk Sireh, Padang Besar, sepanjang 11 kilometer.

Sementara itu Polis Diraja Malaysia (PDRM) mendapat maklumat bahawa individu yang terlibat dengan kem dan pembunuhan berkenaan dipercayai bersembunyi di Ranong, Thailand bersempadan dengan Kawthoung di Myanmar.

Ranong terletak di sepanjang Pantai Andaman Utara di Selatan Thailand dan mudah diakses melalui bot dari Kawthoung, Myanmar sekali gus menjadi pilihan sindiket untuk melakukan kegiatan pemerdagangan manusia.

Dalang terlibat dipercayai warga Thailand mengelak dikesan pihak berkuasa, baik dari Malaysia dan Thailand yang terus memperhebat operasi menjejakinya di Ban Ta Lok, Padang Besar, tempat kubur besar mengandungi enam mayat, dipercayai mangsa pemerdagangan manusia ditemui.

Keseriusan Polis Thailand menjejaki mereka yang terlibat terserlah dengan 81 waran tangkap telah dikeluarkan setakat ini temasuk empat waran tangkap baharu hari ini.

Kira-kira 51 suspek telah ditangkap sementara 30 orang lagi masih bebas dan Polis Thailand sedang memburu saki-baki suspek di Songkhla, Satun dan Ranong. 

- Sumber: Bernama 

Dron perlu kelulusan Jabatan Penerbangan Awam sebelum diterbangkan

Semua dron atau kenderaan udara tanpa pemandu (UAV) perlu mendapat kelulusan daripada Jabatan Penerbangan Awam (DCA) sebelum ia diterbangkan. - Gambar Hiasan

JASIN: Semua dron atau kenderaan udara tanpa pemandu (UAV) perlu mendapat kelulusan daripada Jabatan Penerbangan Awam (DCA) sebelum ia diterbangkan, kata Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai.

Beliau berkata kelulusan itu penting bagi memastikan penggunaan dron atau UAV di negara ini terkawal dan tidak menjejaskan penerbangan pesawat di ruang udara negara terutamanya di kawasan lapangan terbang.

Sehubungan itu, beliau berkata DCA akan membuat kajian menyeluruh berhubung perkara itu dan melaksanakan penguatkuasaan pendaftaran untuk penggunaan dron atau UAV dengan secepat mungkin.

"Pada masa ini beberapa siri penerangan dan dialog giat dijalankan di peringkat negeri sebelum kita mengeluarkan sebarang peraturan keselamatan yang baharu," katanya kepada pemberita di sini pada Ahad.

Terdahulu, beliau menghadiri majlis perasmian Karnival Udara Antarabangsa Sungai Rambai 2015 yang disempurnakan Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Idris Haron dan disertai 184 pesawat persendirian di Aerodrome Sungai Rambai di sini.

Liow berkata pemilik dan peminat pesawat persendirian diingatkan agar sentiasa peka dan mematuhi segala undang-undang dan peraturan yang ditetapkan oleh DCA bagi menjamin keselamatan ruang udara negara.

Sementara itu, beliau berkata landasan Lapangan Terbang Antarabangsa Melaka (LTAM) di Batu Berendam di sini, akan ditambah kira-kira 400 meter bagi memudahkan pendaratan pesawat komersial.

Liow, bagaimanapun berkata kerja menaik taraf landasan berkenaan masih di peringkat perbincangan kerana ia membabitkan pengambilan tanah penduduk di kawasan tersebut.

"Usaha ini diharap dapat menarik lebih banyak pesawat komersial untuk mendarat di situ kerana saya difahamkan lima lagi syarikat penerbangan berminat untuk melakukan penerbangan di lapangan terbang berkenaan," katanya.

Dalam pada itu, Liow berkata LTAM adalah antara lapangan terbang penting bagi industri pelancongan serta ekonomi Melaka dan dijangka dapat mengurangkan kesesakan lalu lintas yang dihadapi KLIA dan Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah di Subang.

Sementara itu, katanya Kementerian Pengangkutan telah meluluskan peruntukan sebanyak RM1.6 juta bagi meningkatkan kemudahan di Aerodrome Sungai Rambai, khususnya memasang lampu bagi membolehkan penerbangan pada waktu malam. 

- Sumber: Bernama 

Wanita berusia 92 tahun berjaya tamatkan maraton

Harriette Thompson berjaya menghabiskan maraton di usia 92 tahun. - Foto AP

SAN DIEGO - AMERIKA SYARIKAT. Usia bukan penghalang untuk seorang warga emas berusia 92 tahun yang juga penghidap kanser berjaya memecah rekod menjadi wanita tertua yang berjaya menamatkan maraton semalam.

Harriette Thompson dari North Carolina, mengambil masa 7 jam, 24 minit, 36 saat untuk menghabiskan maraton pada acara larian Sunday's Rock 'n' Roll Marathon di San Dieogo.

Harriette mengakui ini adalah larian yang paling sukar sepanjang 16 penyertaannya dalam acara seumpama ini.

" Walaupun larian yang disertai setiap tahun sukar, namun tahun ini adalah yang paling sukar dan mencabar, apatah lagi baru kehilangan suami Januari lalu dan turut mengalami jangkitan pada kaki,"

" Saya tidak dapat berlatih dengan baik kerana banyak menghabiskan masa menjaga suami yang sakit pada ketika itu," katanya dipetik AP.

Sebelum ini, Gladys Burrill, 92 tahun 19 hari mencatat rekod dengan menjadi wanita tertua menghabiskan maraton pada tahun 2010.

Harriette berjaya mengatasi rekod yang dipegang sebelum itu dengan menghabiskan larian pada usia 92 tahun iaitu 65 hari lebih tua berbanding pemegang rekod sebelum ini.

- Sumber: AP

Apa nak jadi dengan pemain kita: Insiden meludah Nazmi jadi viral


GAMBAR tindakan pemain Bawah 23 Malaysia, Nazmi Faiz Mansor yang meludah pemain Timor Leste dalam perlawanan skuad bawah 23 negara (B23) kini menjadi viral menerusi media sosial.

Tindakan Nazmi yang kemudiannya disebarkan menerusi platform tersebut dikatakan menjadi bahan kutukan rata-rata peminat di laman sosial.

Di media sosial, orang ramai memberi pandangan masing-masing terhadap insiden itu dan pandangan itu diluahkan di laman Facebook HarimauMalaya.

Kebanyakan daripada pengguna melahirkan kata-kata sokongan ke atas tindakan pengadil yang melayangkan kad merah kepada Nazmi.

Ekoran dari tindakannya, Nazmi kini digantung dua perlawanan.

Menurut kebanyakan pengguna laman sosial, perbuatan itu mencemari permainan Timor Leste dengan Malaysia yang hanya menang tipis 1-0 ke atas pasukan tersebut.

- Sumber: Sinar Harian 

Nadiya mahu pecah tradisi

Nadiya Nisaa

SEJAK mencipta nama menerusi drama bersiri Adam & Hawa, aktres berbakat besar, Nadiya Nisaa atau nama sebenarnya, Nadiyatul Nisaa’ Kamaruddin, 28, semakin banyak menerima tawaran lakonan.

Selain sering muncul di kaca TV, Pelakon Pembantu Wanita Terbaik Filem menerusi filem Cun pada Anugerah Skrin tahun lalu ini ini juga dihujani tawaran berlakon filem.

Namun dalam kerancakannya berkarya, akui Nadiya dia mahu mencuba sesuatu yang baru terutamanya untuk membawakan sesuatu watak yang lebih dominan dengan jantina.

Akui Nadiya, dia begitu menginginkan untuk membawa watak ahli sukan.

Walaupun berbadan kecil, dia amat mengharap suatu hari nanti diberi peluang oleh mana-mana pengarah untuk membawakan watak yang lebih dominan dengan lelaki itu kepadanya.

“Saya mengimpikan untuk menjadi ahli sukan walaupun hanya di dalam lakonan kerana saya suka cabaran ketika proses latihan yang perlukan stamina dan kesabaran.

“Tambahan watak sukan sering diberikan kepada pelakon lelaki, justeru saya mahu mencuba watak sedemikian.

“Jika boleh saya berkeinginan untuk menjadi watak atlet memanah dan apa sahaja sukan seni mempertahankan diri,” katanya ketika ditemui Zass baru-baru ini.

Menurut ibu kepada Omar, 5, ini watak sebagai ahli sukan bukan sahaja mencabar dirinya tetapi juga menggambarkan semangat kenegaraan ‘nasionalisme’.

“Memegang watak ahli sukan juga boleh menimbulkan semangat nasionalisme dalam diri dan filem tersebut.

“Kerana apabila ada aktiviti berkaitan sukan selalu kita kaitkan dengan semangat kenegerian atau kenegaraan,” katanya.

Dalam pada itu, Nadiya memberitahu, dia turut teringin membintangi filem muzikal. Sebagai permulaan, dia kini meneliti setiap tawaran lakonan dan mengkaji naskhah- naskhah yang dapat memberikan kepuasan dan hakikat perjuangan sebagai seorang anak seni.

“Sejujurnya saya sedang menunggu skrip muzikal seperti Moulin Rouge. Tak perlu menyanyi sepanjang masa, tapi ada elemen muzik dalam filem tersebut.
“Muzik dan filem tak boleh dipisahkan.

Malah muziklah yang menjadi rujukan untuk sesebuah filem muzikal yang baik,” katanya yang mahu merealisasikan dua perkara itu untuk terus bertahan di persada seni.

Perkenal 'Norma'

Sementara itu, aktres berusia 29 tahun ini juga sempat berkongsi perkembangan terbaharunya yang bakal tampil dengan perniagaan atas talian.

Menurut Nadiya, perniagaan yang diberi nama Norma, sempena nama ibunya akan menjual pelbagai jenis batik.

“Memang kini saya sedang menjalankan perniagaan dalam talian yang lebih kepada batik kerana saya memang sukakan batik. Tetapi kini masih dalam proses penyelidikan dan pembangunan (R&D).

“Ia akan dibuka secara kecil-kecilan terlebih dahulu. Baru mencuba di pasaran untuk mengetahui cita rasa dan hasilnya daripada pengguna.

"Jika permintaan banyak, saya akan buka kepada pemborong. Perniagaan ini menggunakan nama ‘Norma’ iaitu sempena nama ibu saya,” katanya.

Tambahnya, sememangnya bagi pelakon, bukan selamanya mendapat peluang untuk memainkan watak utama dalam sesebuah drama atau filem.

“Sekiranya sudah menginjak umur 40-an, pastinya sukar untuk membawakan watak utama. Justeru memulakan langkah baharu dalam dunia perniagaan adalah salah satu cara mendapat pendapatan sampingan.

“Lagipun ramai juga selebriti telah membuka perniagaan dan begitu juga dengan saya yang sedang menjalankan perniagaan lebih kepada fesyen baju.

“Ada rekaan baju diadaptasi daripada lukisan objek yang dilakar oleh kakak saya kepada busana, ia sangat menarik,” katanya.

Hasrat terlaksana

Dalam pada itu, berkongsi perihal perjalanan kariernya, Nadiya berkata, dia kini baharu selesai menjalani penggambaran filem Redha – Beutiful Pain arahan Tengku Mona Riza yang berkemungkinan akan menemui penonton tahun depan.

Ujar Nadiya, peluang bekerja di bawah arahan wanita ini ibarat impian yang menjadi kenyataan.

“Saya memang teringin untuk bekerjasama dengan Tengku Mona sebelum ini kerana dia popular dengan filem kekeluargaan. Dan paling penting saya mendapat pengalaman baharu apabila bekerja dengannya.

"Walaupun ada antara pelakon mengeluh apabila Tengku Mona suka berulang kali melakukan penggambaran babak sehingga puas hati dengan babak yang mahu dijayakan, tetapi saya tidak kisah,” katanya.

Memegang watak sebagai Shasha yang mempunyai anak saudara yang mempunyai masalah autisme bernama, Daniel, Nadiya berkata, watak tersebut sedikit sebanyak memberi cabaran kepadanya.

“Memang watak saya berlainan kerana berhadapan dengan kanak-kanak autisme yang perlukan kesabaran yang tinggi untuk menguruskan kanak-kanak seperti ini. Terutama dalam dunia realiti,” katanya yang akan berehat seketika sebelum menerima tawaran baharu.

- Sumber: Sinar Harian