Thursday, 7 May 2015

PKR kekal kerusi Permatang Pauh

Wan Azizah (kanan) dirai keluarga dan penyokong PKR sejurus pengumuman keputusan rasmi dan kemenangan parti itu. -Astro AWANI / Shahir Omar

PERMATANG PAUH: Parti Keadilan Rakyat (PKR) berjaya mengekalkan kerusi Parlimen Permatang Pauh apabila calonnya Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail menang dengan majoriti 8,841 undi.

Wan Azizah berjaya mendapat 30,316 undi, manakala calon Barisan Nasional (BN) Suhaimi Sabudin memperoleh 21,475 undi, calon Bebas Salleh Isahak 367 undi, dan calon Parti Rakyat Malaysia (PRM) Azman Shah Othman 101 undi.

Jumlah undi rosak ialah 843.

Keputusan rasmi PRK itu diumumkan Pegawai Pengurus Pilihan Raya PRK Permatang Pauh, Jusni Ismail pada jam 10.15 malam tadi di Dewan Perdana, Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) di sini.

Peratusan yang keluar mengundi adalah 74 peratus.

Calon BN, PRM dan Bebas bagaimanapun tidak hadir ketika pengumuman itu dibuat.

Pada pilihan raya umum (PRU) 2013, Ketua Pembangkang dan bekas Ahli Parlimen kawasan itu Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga suami Dr Wan Azizah, menerima 37,090 undi menewaskan calon BN Dr Mazlan Ismail (25,369 undi) dan calon Bebas Dr Abdullah Wan Zawawi (201 undi).

Anwar menang dengan majoriti 11,721 undi.

Jumlah undi yang diperoleh Wan Azizah dalam PRK ini berbanding Anwar pada PRU lalu pula berkurangan sebanyak 6,774.

Proses pengundian bermula sekitar jam 8 pagi tadi di 25 buah pusat pembuangan undi dengan 130 saluran mengundi.

PRK Permatang Pauh menyaksikan pertandingan empat penjuru antara Suhaimi, Dr Wan Azizah, Azman Shah dan Salleh.

Kerusi itu kosong selepas Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan liwat kedua beliau pada 10 Februari manakala Lembaga Pengampunan menolak permohonan pengampunan yang difailkan keluarga Anwar terhadap hukuman penjaranya.

Kawasan Parlimen Permatang Pauh mempunyai 71,890 pengundi, dengan kira-kira 70 peratus pengundi Melayu.

- Sumber: Astro Awani 

Gempa Nepal: Mayat rakyat Malaysia dibawa ke Kathmandu


Mayat rakyat Malaysia dibawa ke Kathmandu, lapor Bernama.

KATHMANDU: Mayat seorang rakyat Malaysia, Sai Jaya Raj Anthony yang hilang sebelum gempa bumi dasyat yang melanda Nepal 25 April lepas, kini berada di Hospital Universiti Tribhuvan, lapor Bernama.

"Mayatnya sekarang berada di hospital untuk bedah siasat dan akan diserahkan kepada pihak berkuasa Malaysia selepas prosedur perundangan mengenainya selesai," kata jurucakap kepada Kementerian Luar Nepal, Tara Pokhrel.

Memetik laporan Bernama, Mejar Janak Silwal daripada Angkatan Tentera Darat Nepal menyatakan bahawa mayat Anthony ditemui di Langtang, kira-kira 150 km utara Kathmandu, pada Rabu dan diterbangkan ke Kathmandu.

Anthony seorang deejay terkemuka telah mengembara dengan berjalan kaki di kawasan Langtang pada 21 April lepas sebelum keluarga di tanah air gagal menghubunginya. 

Sebelum ini, portal mStar melaporkan mayat seorang warga Malaysia yang dipercayai Raj Anthony ditemui awal pagi tadi di Lembah Langtang, salah sebuah perkampungan di kawasan pergunungan kira-kira 130 kilometer utara Kathmandu.

Pegawai polis Nepal menjelaskan bahawa pihaknya sedang menunggu pengesahan mayat. 

Manakala, Pegawai kedutaan Malaysia di Kathmandu, Fadli Adilah menyatakan bahawa mereka akan melakukan segala pengurusan untuk membawa mayat pulang ke tanah air.

- Sumber: Agensi

Video reaksi seorang ibu terima berita anaknya hamil jadi viral

Reaksi Glaswegian Cathy Hutcheon selepas mendapat berita anak perempuannya hamil.

Video reaksi seorang ibu, Glaswegian Cathy Hutcheon selepas mengetahui anak perempuannya hamil selepas 11 tahun menjadi viral di laman sosial hari ini.

Memetik laporan Metro.Uk, anak perempuannya, Nicola difahamkan telah lama cuba untuk hamil dengan menjalani rawatan kesuburan dan rawatan IVF tetapi kebanyakannya didapati gagal.

Pasangan itu akhirnya mendapat berita yang dinanti – nantikan dari pakar perubatan mereka.

Sejurus selepas Nicola memberitahu ibunya bahawa dia mengandung, Cathy mula menjerit sebelum memeluk Nicola.

Reaksi Cathy itu berjaya dirakam oleh menantunya dan reaksi wanita itu dalam video tersebut memang tidak ternilai.

Menurut Nicola, ibunya bukan sahaja menjerit tetapi juga berlari keluar untuk mengumumkan berita gembira itu kepada jiran- jirannya.

Cathy dikatakan berlari keluar sambil menjerit, "Saya Cathy Hutcheon dan saya bakal menjadi nenek."

Menurut Cathy, dia sebenarnya tidak mengharapkan berita gembira itu kerana Nicola telah lama berhenti menjalani rawatan IVF.

- Sumber: Astro Awani 

Bayi meninggal terjerut kain buaian



Seorang bayi lelaki berusia 10 bulan meninggal dunia akibat terjerut kain buaian di rumah keluarganya di Taman Century Garden semalam. -Gambar hiasan

JOHOR BAHARU: Seorang bayi lelaki berusia 10 bulan meninggal dunia akibat terjerut kain buaian di rumah keluarganya di Taman Century Garden di sini semalam.

Timbalan Ketua Polis Daerah Johor Baharu Selatan, Supt Abdul Wahib Musa berkata Brian Lim meninggal ketika ibunya mahu menghantar bayinya ke klinik berhampiran kira-kira 4.30 petang.

"Sebelum kejadian, ibunya memberi makan kepada ketiga-tiga anaknya sebelum menyuruh mereka masuk tidur di bilik utama. Mangsa diletakkan dalam kain buaian.

"Setelah itu dia masuk ke dapur membuat kerja rumah dan setelah selesai, dia masuk semula ke bilik berkenaan namun mendapati mangsa telah terjatuh ke bahagian lapis sarung nyamuk kain buaian itu dengan kepalanya tergantung keluar," kata Abdul Wahib yang dihubungi Bernama di sini hari ini.

Beliau berkata panik dengan kejadian itu, ibu berkenaan terus mengangkat badan anaknya itu namun mendapati mangsa tidak lagi bergerak.

"Dia cuba menyelamatkan anaknya dengan memanggil ambulans untuk ke klinik berhampiran. Namun apabila ambulans sampai, mangsa sudah tidak bernyawa.

"Suaminya yang sedang bekerja di Singapura sudah dimaklumkan mengenai kejadian itu," kata Abdul Wahib.

Mayat mangsa dihantar ke Hospital Sultanah Aminah di sini untuk bedah siasat dan kes disiasat di bawah Seksyen 31(1)(a)Akta Kanak-Kanak 2001.

- Sumber: Bernama 

Hyundai Sonata sambut ulang tahun ke-30: Senarai model setiap generasi

Tahun 2015 ini amat bermakna kepada model Hyundai Sonata di mana ia akan menyambut ulang tahunnya yang ke-30. Sedan segmen D ini telah dilancarkan buat pertama kalinya pada 1985 dan sejak itu, Sonata telah menjadi kunci penting kepada kejayaan Hyundai. Sejak pelancarannya, 7.3 juta unit Sonata telah dijual di seluruh dunia.


Di Amerika, Sonata telah diperkenalkan pada tahun 1988 dan sejak itu, ia telah melonjakkan nama Hyundai sebagai syarikat pembuat kereta tersohor. Hyundai Motor America telah menjual 2.3 juta unit kereta Hyundai dan 80,000 unit daripadanya adalah model Sonata Hybrid yang telah diperkenalkan pada tahun 2011.

Di Malaysia pula, penjualan Sonata benar-benar melonjak sejurus setelah generasi sebelum model (dikenalai sebagai Sonata YF) ini diperkenalkan pada tahun 2010. Pada 2013, ia diberi beberapa tambah baik yang, antara lain, benar-benar memberi sedan ini lonjakan yang penting, terutamanya dari segi enjin dan keselesaan.

Hyundai Sonata LF terbaharu mula dijual di Malaysia pada Disember 2014 dan nampaknya sudah diterima oleh pembeli tempatan yang semakin selesa untuk keluar daripada pilihan-pilihan segmen D yang biasa.

Generasi Pertama (1985)
Kereta ini adalah salah satu model Hyundai pertama yang direka oleh pereka-pereka dari Hyundai sendiri. Sonata generasi pertama ini telah mencipta satu legasi di mana lebih daripada 1 juta unit telah dijual di Korea.


Generasi Kedua (1988)
Tidak seperti generasi pertama yang menggunakan pacuan roda belakang, generasi kedua Sonata ini beralih kepada pacuan roda hadapan bagi mempertingkatkan keselesaan ruang dalaman kereta. Sebagai model pertama kereta Korea yang direka secara bebas, reka bentuk lurus dan bersegi telah beralih kepada reka bentuk yang lebih organik dan aerodinamik. Model ‘facelift’ kepada generasi kedua ini telah diperkenalkan pada tahun 1991 dan ianya adalah model pertama yang dilekatkan dengan logo Hyundai baharu yang telah dikemaskini.

Generasi Ketiga (1993)
Era 90-an telah memperlihatkan peralihan daripada teknologi analog kepada teknologi digital. Generasi ketiga Sonata ini tidak ketinggalan di dalam arus permodenan apabila ia telah mencatat penjualan yang tinggi dibantu oleh tarikan utama seperti cermin sisi automatik dan ciri Anti-lock Brake System(ABS).

Generasi Keempat (1998)
Generasi keempat Sonata telah dilancarkan pada tahun 1998 dan ia telah menjadi model terlaris dari segi jualan di korea daripada bulan Februari 1999 sehingga bulan Ogos 2000. Generasi keempat ini telah mula dijual di Eropah dan ianya dilengkapi dengan enjin dan kotak gear ‘Hyundai Intelligent Vehicle Electronic Control (HIVEC) yang dibangunkan sendiri oleh Hyundai. Ianya telah mendapat markah tertinggi di dalam kaji selidik pada tahun 2004 dijalankan oleh J.D Power Initial Quality Survey.

Generasi Kelima (2004)
Generasi kelima Sonata telah direka khas untuk menjadi kereta sedan bersaiz sederhana bertaraf dunia. Rekaannya mengambil tema rekaan Eropah dan ia memperlihatkan ciri-ciri premium. Generasi kelima ini dilengkapi dengan ciri-ciri canggih dan ia mempunyai ciri-ciri keselamatan yang sangat tinggi sehinggakan ia mendapat pujian daripada pangamal media dunia automotif dan juga pembeli.

Generasi Keenam (2009)
Generasi keenam Sonata adalah salah satu model kereta Hyundai yang telah memperlihatkan rekaan yang diberi nama falsafah ‘Fluidic Sculpture Design’. Rekaan yang berani daripada Hyundai ini ditambah lagi dengan enjin yang berkuasa dan prestasi yang mengkagumkan telah melonjakkan jumlah jualan sehingga mencatatkan rekod dan menjadikan generasi keenam Sonata ini model yang paling terkenal di dalam keluarga Hyundai. Tambahan pula, model Sonata Hybrid pertama kali diperkenalkan menggunakan platform ini pada tahun 2010.


Generasi Ketujuh (2014)
Generasi terbaharu Sonata ini telah direka bagi menambah baik ‘Fluidic Sculpture Design’ generasi terdahulu. Varian bagi generasi ketujuh ini telah memperkenalkan varian hibrid dan buat pertama kalinya model Plug-in Hybrid. Kedua-dua varian ini telah diperkenalkan pada Auto Show Detroit 2015 yang lalu.

- Sumber: Astro Publication 

Pengerusi TH akui silap dalam buat penafian

Pengerusi TH akui silap dalam buat penafian. -Gambar fail

KUALA LUMPUR: Pengerusi Lembaga Tabung Haji (TH), Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim meminta maaf di atas penafian beliau terhadap pendedahan berhubung pembelian tanah milik 1Malaysia Development Berhad (1MDB) di Kuala Lumpur.

"Ya, maaf di atas kesilapan komunikasi. Tidak benar mengenai RM722 juta untuk membeli dua bidang... itu yang saya nafikan," kata Abdul Azeez menerusi laman mikro Twitternya.

Semalam, Abdul Azeez, juga menerusi Twitter, menafikan pendedahan yang dibuat oleh beberapa blog mengenai TH membeli dua bidang tanah bernilai RM772 juta yang merupakan sebahagian projek Tun Razak Exchange (TRX) oleh 1MDB .

"Tak betul. TH akan keluarkan kenyataan secepat mungkin. Terima kasih. Saya akan jalankan tanggungjawab dan amanah diberi. At the end of the day, the results that matter most," tulis beliau di Twitter.

Hari ini, Timbalan Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Datuk Johan Abdullah menerusi kenyataan hari ini mengesahkan telah membeli tanah bagi tujuan pelaburan hartanah di TRX.

Namun, Johan dalam kenyataannya menafikan pembelian Signature Tower (Fasa 2) oleh Kumpulan TH sepertimana yang dilaporkan di dalam beberapa blog.

Isu pembelian tanah milik 1MDB oleh TH ini juga mendapat perhatian Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin yang menggesa pemimpin utama negara memberikan penjelasan yang boleh menghilangkan kerisauan rakyat.

- Sumber: Astro Awani 

Biar betul?…Pandu lebih 2,000km dari 1 tangki guna enjin 1.6-liter?


Tak habis-habis dengan pengeluar berbeza cuba untuk menarik perhatian kita dengan pelbagai bukti menunjukkan kecekapan kenderaan masing-masing. Namun, isu penggunaan bahan api adalah satu perkara yang amat penting. Bukan sahaja dari segi ekonomi tetapi juga alam sekitar. Berita baiknya adalah: semakin lama, nampaknya semakin hebat angka-angka yang diberikan.

Percubaan Isuzu dengan model D-Max yang kami ceritakan di sini memang menarik, tetapi Peugeot mungkin telah memberi prestasi yang lebih releven kepada majoriti pengguna yang memandu kereta biasa.

April lepas, Peugeot telah berjaya mencatat 2,152km pemanduan daripada 43 liter diesel menggunakan sebuah Peugeot 208 1.6-liter Blue HDi baharu. Mengikut data yang diberikan, purata kadar penggunaan bahan api adalah 2.0 liter/100km, mengatasi angka rasmi yang dinyatakan di dalam spesifikasi.


Rekod baharu ini telah dipantau oleh UTAC, iaitu pihak berkuasa berkaitan di negara Perancis. Kereta yang digunakan adalah standard yang dilengkapi kotak gear 5-kelajuan. Sekumpulan pemandu bergilir-gilir memandu, setiap seorang selama tiga hingga empat jam masing-masing.

Secara tepatnya, versi 208 1.6-liter BlueHDi baharu yang digunakan adalan varian yang memang cekap dan dinamakan versi ‘Very Low Fuel Consumption’ (Penggunaan bahan api sangat rendah), yang boleh dibeli pengguna.

Peugeot mendakwa bahawa kadar pembakaran bahan api adalah 3.0-liter/100km dan pengeluaran gas CO2sebanyak 79g/km. In menjadikannya satu tanda aras bagi model pengeluaran biasa. Varian ini juga dipasang dengan spoiler aerodinamik di samping menggunakan tayar rintanga rendah Michelin Enery Saver+.

Harus diingat, Peugeot 208 baharu ini masih belum sampai ke Malaysia. Bahkan ia hanya akan mula dijual di Eropah bermula bulan Jun nanti. Kualiti minyak diesel Euro 2M di Malaysia juga tidak sesuai dengan enjin HDi yang sudah mencapai taraf Euro 6.

- Sumber: Astro Publication 

Dua pemandu Myvi terlibat dalam nahas DUKE ke mahkamah esok


Foto daripada rakaman CCTV di Lebuhraya DUKE yang menjadi viral. -Gambar fail

KUALA LUMPUR: Dua pemandu Myvi yang terbabit dalam kemalangan di Lebuhraya Duta-Ulu Klang (DUKE) yang mengorbankan tiga sekeluarga Sabtu lepas akan didakwa di Mahkamah Majistret Jalan Duta esok.

Perkara itu disahkan Ketua Polis Trafik Bukit Aman Datuk Mohd Fuad Abd Latiff kepada Bernama hari ini.

Beliau bagaimanapun tidak menyatakan butiran terperinci berkenaan pertuduhan berkenaan.

Dalam kejadian kira-kira 1.05 pagi itu, sepasang suami isteri Fairuz Nizam Husain, 35, isterinya Nova Safitri Azhari, 25, serta bayi mereka Nur Firuza Annisa, 7 bulan, maut dalam kemalangan membabitkan tiga buah kenderaan di KM6.2 Lebuhraya DUKE dari arah Ulu Klang menghala Jalan Duta.

Susulan kejadian itu, polis telah menahan seorang lelaki berusia 31 tahun dan wanita berumur 35 tahun.

Mereka bagaimanapun dibebaskan dengan jaminan polis.

- Sumber: Bernama 

Saya nafikan TH beli 2 unit, bukannya...

Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim

SHAH ALAM – Gara-gara kenyataannya sebelum ini yang menafikan soal penyebaran dokumen berkaitan pembelian tanah milik syarikat pelaburan kontroversi, 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang tersebar di media sosial, Pengerusi Lembaga Tabung Haji, Datuk Seri Azeez Rahim dihentam teruk di laman mikro Twitter.

Menjelaskan perkara itu, Azeez berkata, penafian yang dibuat olehnya menjurus kepada pembelian dua plot tanah Tun Razak Exchange (TRX) dari 1MDB dengan nilai RM772 juta.

“TH hanya laburkan pada satu unit sahaja dengan harga yang lebih murah. Bukan dua unit seperti mana tertulis dalam blog. Itu yang saya nafikan,” tulisnya.

Dalam sidang media hari ini, Timbalan Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Datuk Johan Abdullah mengesahkan badan berkanun itu telah membeli sebidang tanah bernilai RM188.5 juta di Tun Razak Exchange (TRX) milik 1MDB bagi pembangunan sebuah menara kediaman.

Melalui interaksi Abdul Azeez dengan pengikutnya di Twitter, beliau sekali lagi menyatakan penafiannya berhubung pembelian bernilai RM722 juta.

“Ya, maaf atas ‘miscommunication’. Ia tak benar tentang RM722 juta berkaitan dua lot itu. Itu yang saya nafikan,” terangnya.

Sebelum itu, beliau menafikan dakwaan yang menyebut Tabung Haji akan membeli dua plot tanah Tun Razak Exchange (TRX) dari 1MDB dengan RM772 juta tunai.

“Tak betul. TH akan keluarkan kenyataan secepat mungkin. Terima kasih,” tulisnya menjawab pertanyaan pengikutnya di laman itu, semalam.

Beberapa blog telah memuatnaik dokumen-dokumen berkaitan pembelian tanah TRX dan mendakwa ia menggunakan wang pendeposit yang disimpan bukannya wang kerajaan.

- Sumber: Sinar Harian 

Pelakon Ramli Hassan meninggal dunia

Ramli Hassan 

PELAKON The Red Kebaya, Ramli Hassan dilaporkan meninggal dunia akibat komplikasi kanser yang dialaminya.

Lapor Daily Seni, pelakon yang turut pernah membintangi filem Anna and The King dan Histeria ini telah menghembuskan nafas terakhir di Sydney, Australia.

Ramli membuat kemunculan terakhir di dalam filem Nota arahan Yasu Tanaka di samping pelakon Maya Karin dan Hans Isaac yang dijangka ditayangkan pada suku ketiga tahun ini.

Pemergian pelakon berbakat besar ini turut dirasai oleh beberapa rakan seperti Maya, Beto Kusyairy, Hans serta peminat yang sedih dan mengucapkan takziah di laman sosial. Takziah kami ucapkan.

- Sumber: Sinar Harian 

Bunuh sebab didesak kahwin

Mayat mangsa ditinggalkan di dalam kereta dengan keadaan pintu terbuka.

KUALA KUBU BHARU - Seorang guru ditahan kerana disyaki menikam teman wanitanya hingga mati dipercayai akibat tekanan perasaan disebabkan oleh desakan mangsa yang mengajaknya berkahwin.

Mangsa yang juga seorang ibu tunggal berusia 34 tahun mati dibunuh di dalam kereta jenis Proton Wira miliknya di hadapan sekolah tempat guru itu mengajar di sini, pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan P Supramaniam berkata, mayat Nur Salina Nazir ditemui kira-kira jam 9 pagi dengan empat kesan tikaman di bahagian badan iaitu dada, rusuk dan lengan.

“Mayat mangsa ditinggalkan di dalam kereta di luar pagar sekolah berkenaan,” katanya.

Menurut Supramaniam, pihak polis bagaimanapun tidak menemui sebarang senjata yang digunakan suspek di lokasi kejadian.

Namun kata beliau, daripada siasatan awal yang dijalankan, tangkapan telah dibuat oleh sepasukan anggota Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hulu Selangor di rumah suspek.

“Suspek merupakan seorang guru di sekolah terbabit dan dipercayai teman lelaki mangsa,” katanya.

Menurutnya lagi, siasatan juga mendapati kejadian dipercayai berpunca daripada desakan mangsa yang mahu suspek mengahwininya.

"Siasatan awal juga mendapati suspek mengaku membunuh mangsa. Tiada sebarang rekod jenayah yang mengaitkan suspek sebelum ini.

“Soal siasat secara terperinci ke atas suspek masih sedang dijalankan untuk mendapatkan senjata yang yang digunakan dalam kejadian itu,” katanya.

Mangsa yang mengendalikan perniagaan online meninggalkan empat anak berusia 7 hingga 14 tahun.

-  Sumber: Sinar Harian 

    Anak saya bukan ‘billionaires’ kata Tun M


    SHAH ALAM – ‘Anak saya bukan billionaires’, tegas bekas Perdana Menteri, Tun Mahathir Mohamad bagi menepis dakwaan pemimpin Parti Kebajikan Rakyat (Kita), Zamil Ibrahim yang menyentuh soal kekayaan kedua-dua anaknya, Datuk Mokhzani dan Mirzan yang menjadi jutawan dengan cepat.

    Menurutnya, anak-anaknya membuat pinjaman kewangan untuk membiayai perniagaan mereka.

    “Anak saya bukan ‘bilionaires’ tapi mereka ada meminjam jutaan (ringgit) untuk membiayai perniagaan mereka. Mirzan menjalankan kebanyakan perniagaannya di luar Malaysia tapi dipaksa menjual perniagaan perkapalannya kepada Petronas ketika krisis kewangan.

    “Petronas mendapat pulangan lumayan menjual bahagian kapal apabila ekonomi telah pulih. Polisi Petronas adalah untuk tidak menjawab soalan tapi akaun Petronas boleh diperiksa untuk mengesahkan sama ada saya bohong atau tidak. Mirza bukan jutawan,” katanya melalui catatan terbaharu di blognya, hari ini yang bertajuk ‘1MDB (Part 3)’.

    Melalui catatan sama, beliau turut menegaskan bahawa anak keduanya, Mokhzani tidak mencuri wang sesiapa dalam menguruskan perniagaannya.

    “Mokhzani ada perniagaan fabrikasi keluli yang bermula selepas saya letak jawatan sebagai Perdana Menteri. Ia mengambil lebih tiga tahun untuk dia buat duit. Dia tidak mencuri.

    “Apa yang dia dapat apa yang dia usahakan. Tiada duit sesiapa yang hilang disebabkan perniagaan dia. Saya tidak tingkatkan hutang ketika saya menjadi Perdana Menteri untuk bantu anak saya. Kalau anda ada bukti, tunjukkan,” katanya.

    Kelmarin, Zamil dilaporkan menggesa Dr Mahathir menjelaskan bagaimana anak-anaknya, Mokhzani dan Mirzan boleh menjadi jutawan dengan cepat.

    Melalui artikel ini juga, Dr Mahathir membidas Zamil berhubung fakta sebenar berkait jumlah kerugian yang dialami syarikat pelaburan penuh kontroversi, 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

    “Saya tak pernah kata RM42 bilion telah hilang. Apa yang saya kata adalah RM42 bilion telah dipinjam oleh 1MDB. Sebahagian wang yang dipinjam digunakan untuk membeli loji tenaga dan tanah kerajaan sepanjang Jalan Tun Razak dan tanah bekas lapangan terbang di Sungai Besi pada harga yang terlalu rendah.

    “RM3.6 bilion dibayar kepada Petro Saudi dan sebahagian lagi untuk pembelian lain dan pelaburan. Lagi RM6 bilion didakwa ada di Cayman tapi sekarang tak ada di Cayman. Semua wang itu dikatakan telah dibawa balik dan Datuk Seri Najib jelaskan telah depositkan sebahagian wang itu di bank Swiss di Singapura tapi sekarang bank itu menafikannya. Jadi, di mana wang itu?.

    “Selepas ditambah semua ini, ada baki RM14 hingga RM 20 bilion yang masih tidak boleh dijelaskan mengapa. Memandangkan penasihat 1MDB pun tidak boleh jelaskan di mana wang tersebut, saya mesti mengandaikan bahawa wang itu hilang, dicuri atau disalahgunakan,” katanya.

    - Sumber: Sinar Harian 

    Zamani, pembantu peribadi didenda RM5,500 kerana miliki dan ambil dadah



    Bekas vokalis Slam, Zamani Ibrahim (gambar) dan pembantu peribadinya didenda RM5,500 atau 18 bulan penjara selepas mengaku bersalah memiliki dadah

    KUALA LUMPUR: Bekas vokalis kumpulan Slam, Zamani Ibrahim dan pembantu peribadinya, Nur Juliana Abdul Rani, masing-masing didenda RM5,500 atau 18 bulan penjara selepas mengaku bersalah di Mahkamah Majistret di sini, hari ini terhadap pertuduhan memiliki dan mengambil dadah pada 21 Jan lepas.

    Zamani, 43, dan Nur Juliana, 32, membayar denda itu.

    Majistret Ayuni Izzaty Sulaiman turut memerintahkan kedua-dua tertuduh menjalani dua tahun pengawasan di bawah Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK).

    Terdahulu, Zamani yang memakai jaket dan berseluar hitam dan Nur Juliana mengaku bersalah terhadap semua pertuduhan yang dibacakan semula kepada mereka.

    Sebelum ini, mereka mengaku tidak bersalah atas pertuduhan berkenaan tetapi menukar pengakuan hari ini.

    Bekas penyanyi mengaku tidak bersalah
    Bagi pertuduhan pertama iaitu memiliki dadah jenis heroin seberat 0.60 gram, mereka masing-masing didenda RM3,300 atau 10 bulan penjara manakala bagi pertuduhan kedua iaitu mengambil dadah, Zamani dan Nur Juliana didenda RM2,200 setiap seorang atau lapan bulan penjara.

    Mereka didakwa bersama-sama memiliki dadah jenis heroin di sebuah rumah di Jalan Enggang Timor Satu, Taman Keramat di sini pada 12.30 pagi, 21 Jan lepas. 

    Penyanyi itu, yang popular dengan lagu 'Gerimis Mengundang', juga didakwa mengambil dadah jenis morfin di Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah Ampang Jaya kira-kira 2 pagi pada tarikh sama.

    Nur Juliana pula didakwa mengambil dadah jenis Methamphetamine pada 2.05 pagi di tempat dan tarikh sama.

    Bagi pertuduhan memiliki dadah, mereka didakwa mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 12(3) akta sama yang membawa hukuman denda RM100,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun, atau kedua-duanya.

    Bagi pertuduhan mengambil dadah, mereka didakwa mengikut Seksyen 15(1)(a) akta sama dan boleh dihukum di bawah Seksyen 15 akta sama dan boleh didenda tidak melebihi RM5,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun.

    Ketika rayuan, peguam Ahmad Zaharil Muhaiyar mewakili Zamani dan Nur Juliana memohon mahkamah mengenakan hukuman denda atas alasan penyanyi itu telah insaf dan berat badannya kini naik kepada 59 kg daripada 45 kg, selain beliau menghidap sakit belakang kronik yang memerlukan rawatan intensif dan pembedahan.

    "Bagi Nur Juliana pula, dia terjebak dengan dadah berpunca daripada perasaan ingin tahu, namun kedua-dua anak guam saya menyesal dengan perbuatan mereka," katanya.

    Mereka juga tidak mempunyai rekod kesalahan lampau, kata peguam itu.

    Timbalan Pendakwa Raya, Goh Ai Rene, memohon mahkamah mengenakan hukuman setimpal bagi memberi pengajaran kerana kesalahan dadah adalah serius dan tertuduh merupakan artis terkenal yang sepatutnya menunjukkan teladan baik kepada masyarakat. 

    Sementara itu, Zamani melahirkan rasa syukur kerana hidupnya berubah selepas ditangkap kerana kes dadah itu.

    "Saya rasa bersyukur dan berterima kasih kerana ditangkap pada 21 Jan lepas...ia menjadi titik penting kepada perubahan yang saya alami hari ini," katanya dengan nada ceria kepada pemberita di perkarangan Mahkamah Majistret itu.

    Beliau yang kini mendapatkan rawatan di sebuah pusat pemulihan dadah juga kelihatan sihat berbanding keadaan sebelum ditangkap.

    - Sumber: Bernama