Wednesday, 5 August 2015

Penjelasan SPRM mengenai isu dana RM2.6 bilion


SUSULAN kepada kenyataan media bertarikh 3 Ogos 2015, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ingin menjelaskan bahawa siasatan SPRM hanya memfokus ke atas isu berkaitan dengan SRC International dan kemasukan dana sebanyak RM2.6 bilion ke dalam akaun Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

SPRM mendapati banyak pihak masih tidak jelas atau terkeliru dengan menganggap bahawa SPRM telah menghentikan siasatan berkaitan dengan isu SRC International ataupun mengenai dana RM2.6 bilion.

SPRM mahu menjelaskan beberapa perkara.

Berkaitan 1MDB

· Sebagaimana telah disebutkan beberapa kali sebelum ini, SPRM menekankan bahawa siasatan SPRM tiada kaitan dengan isu 1MDB.

Sebaliknya, siasatan keseluruhan kes 1MDB dijalankan polis.

SPRM berharap orang ramai akan memahami bahawa siasatan SPRM tiada kaitan dengan 1MDB. 

Sumbangan dana kepada PM

· Sebagaimana disebutkan dalam kenyataan media bertarikh 3 Ogos 2015, hasil siasatan SPRM mendapati dana sebanyak RM2.6 bilion yang dimasukkan ke dalam akaun milik Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak adalah derma yang disumbangkan oleh pihak tertentu.

SPRM tidak boleh mendedahkan identiti pihak yang mendermakan dana RM2.6 bilion kepada Perdana Menteri. Bagaimanapun untuk makluman orang ramai, SPRM telah memperoleh penjelasan daripada pihak penderma tentang derma yang diberi kepada Perdana Menteri.

SPRM telah mendapat tahu tentang butir penderma melalui dokumen yang diambil dari bank dan didapati bahawa terdapat empat surat yang diserahkan kepada pihak bank apabila jumlah wang yang besar dimasukkan ke dalam akaun Perdana Menteri.

Dalam dokumen itu ada dijelaskan bahawa sumbangan RM2.6 bilion adalah sebagai derma.

SPRM telah mendapatkan penjelasan daripada pihak penderma yang berasal dari Timur Tengah dan pihak berkaitan juga telah mengesahkan sumbangan derma tersebut. Sumbangan derma RM2.6 billion itu tiada kaitan langsung dengan 1MDB.

Perbincangan juga telah diadakan dengan Peguam Negara Malaysia yang meminta supaya SPRM membuat penjelasan mengenai perkara ini sementara siasatan masih dijalankan.

Sehubungan itu, SPRM juga ingin memaklumkan bahawa Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak akan diminta untuk memberi penjelasan mengenai sumbangan derma yang diterima beliau kepada SPRM.

Siasatan mengenai SRC International

· SPRM juga ingin mengulangi bahawa siasatan berkenaan isu SRC International yang melibatkan dana RM4 bilion masih dijalankan oleh SPRM. Siasatan berkaitan dana RM2.6 bilion dan isu SRC International merupakan dua perkara yang berbeza. Oleh itu, SPRM mahu menekankan bahawa SPRM tidak pernah menyatakan kes yang disiasat ini telah ditutup. 
Sebaliknya, SPRM hanya menyatakan ia bukan dari wang 1MDB.

Diharap penjelasan ini akan memberi gambaran sebenar mengenai isu yang disiasat oleh SPRM. SPRM sekali memberi jaminan siasatan akan dijalankan dengan bebas, telus dan profesional.

Adalah diharapkan semua pihak memberi ruang kepada SPRM dalam menjalankan siasatan dengan menyeluruh tanpa membuat sebarang spekulasi.

Sebagai Suruhanjaya yang bebas, SPRM bertanggungjawab menjalankan siasatan dengan bebas, telus dan profesional tanpa fear or favour.

SPRM tidak akan membiarkan mana-mana pihak untuk mempengaruhi atau campur tangan dalam siasatan yang dijalankan. 

Kedudukan pasukan petugas khas

· Mengenai persoalan mengapa SPRM yang membuat kenyataan media pada 3 Ogos 2015 tanpa penglibatan Polis Diraja Malaysia dan Bank Negara Malaysia, ingin dijelaskan bahawa SPRM membuat pengumuman tanpa melalui Pasukan Petugas Khas selepas dinasihatkan oleh Peguam Negara Malaysia, bahawa tidak perlu ada Pasukan Petugas Khas.

Sebaliknya agensi-agensi penyiasat terbabit boleh menjalankan tugas mereka berdasarkan undang-undang masing-masing.

Di peringkat SPRM, pasukan petugas khas dalaman bagi menyiasat kes SRC International dan sumbangan derma RM2.6 bilion masih diteruskan.

Agensi masing-masing mempunyai pasukan petugas khas dalaman mereka sendiri dan akan mengemukakan hasil siasatan masing-masing kepada Peguam Negara Malaysia untuk diambil keputusan sama ada terdapat kes untuk didakwa di mahkamah ataupun sebaliknya. 

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia
5 Ogos 2015

- Sumber: Sinar Harian 

Anak MB Johor tanya 15 soalan kepada Najib

Akmal Saufi. - Foto ihsan Facebook Akmal Saufi Mohamed Khaled

DI mana-mana sahaja, begitu ramai yang membangkitkan isu dana RM2.6 bilion yang didakwa dimasukkan ke dalam akaun peribadi Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Malah ia semakin hangat diperkatakan apabila Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memaklumkan hasil siasatannya yang mendapati punca dana RM2.6 bilion yang dimasukkan ke akaun peribadi perdana menteri itu bukan dari tabung 1Malaysia Development Berhad (1MDB) tetapi adalah sumbangan daripada penderma.

Namun hasil siasatan itu tidak menyebut dari mana dan siapa penderma berkenaan.

Susulan itu, Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan, Undang-undang dan Integriti Parlimen Belia Malaysia, Akmal Saufi Mohamed Khaled menggesa Najib menjelaskan sama ada derma berjumlah RM2.6 bilion yang dimasukkan ke dalam akaun peribadinya itu adalah untuk kegunaan kerajaan, Umno ataupun peribadi?

Anak kepada Menteri Besar Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin itu mengemukakan 15 soalan untuk dijawab oleh perdana menteri;

1) Ketika Datuk Seri Najib menerima dana sejumlah RM2.6 bilion, adakah Datuk Seri sedia maklum sejumlah wang telah memasuki akaun Datuk Seri?

2) Apakah bukti bahawa duit tersebut merupakan derma dan bukan duit berkaitan 1MDB mahupun pihak yang mempunyai transaksi berkaitan 1MDB?

3) Sebagaimana kenyataan SPRM, duit tersebut adalah derma. Adakah sumbangan tersebut merupakan sumbangan bagi kepada kerajaan, tujuan Umno atau tujuan peribadi?

4) Jika duit tersebut adalah sumbangan buat Umno, adakah kepimpinan Umno terutamanya Majlis Tertinggi Umno mengetahui tentang derma tersebut?

5) Jika Majlis Tertinggi Umno tidak mengetahui adakah ini bermaksud Umno tidak akan mengetahui kewujudannya jika Datuk Seri tidak memaklumkan kewujudannya?

6) Bilakah Datuk Seri bercadang untuk memaklumkan kepada Majlis Tertinggi jika tidak didedahkan kepada Majlis Tertinggi?

7) Andai kata derma tersebut merupakan derma peribadi kepada Datuk Seri dan bukan kepada Umno, adakah Datuk Seri menerima tersebut ketika memegang jawatan sebagai salah seorang ahli jemaah menteri?

8) Bolehkah seorang menteri atau timbalan perdana menteri atau perdana menteri menerima derma apabila sedang memegang jawatan di dalam kerajaan?

9) Adakah perlu duit derma tersebut perlu isytihar kepada rakyat dan ahli Kabinet yang lain?

10) Adakah Gabenor Bank Negara dan cendekiawannya sedar akan pergerakan duit sejumlah RM2.6 bilion ke dalam negara?

11) Adakah Lembaga Hasil Dalam Negeri sedar mengenai sejumlah duit yang telah diterima Datuk Seri Najib?

12) Jika ya, adakah Datuk Seri Najib telah membayar sebarang cukai pendapatan berdasarkan nilai duit tersebut?

13) Adakah seorang perdana menteri boleh mendapat pengecualian cukai?

14) Jika Datuk Seri Najib mendapat pengecualian cukai, adakah pengecualian tersebut adalah kepada gaji Datuk Seri Najib atau apa saja derma yang diterima beliau?

Posting yang dimuat naik di laman sosial Facebook Akmal Saufi itu sudah dikongsi lebih 300 pelayar Facebook.

Malah di bahagian komen juga dipenuhi dengan pelbagai komentar yang setuju dengan soalan-soalan yang dibangkitkan.

"Bro, setuju dengan soalan yang dikemukakan," tulis Lim Kian Soon.

"Terbaiklah sahabat, penulisan yang bagus," tulis Shahiran Safwan.

- Sumber: Sinar Harian 

Mahkamah benar The Edge buat semakan kehakiman


KUALA LUMPUR - Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur sebentar tadi membenarkan permohonan syarikat penerbitan The Edge untuk memulakan prosiding semakan kehakiman bagi mencabar keputusan Menteri Dalam Negeri yang menggantung dua penerbitan akhbarnya selama tiga bulan.

Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Asmabi Mohamad membuat keputusan itu dalam kamarnya yang turut dihadiri Peguam Kanan Persekutuan Alice Loke dan peguam Daryl Goon bagi pihak The Edge Communication Sdn Bhd.
Mahkamah menetapkan pada 12 Ogos ini untuk mendengar permohonan The Edge bagi menangguhkan keputusan penggantungan itu sehingga semakan kehakiman itu diputuskan mahkamah.

- Sumber: Sinar Harian | 5 Ogos 2015