* Model kenderaan yang disebut di dalam artikel ini tidak begitu relevan untuk pasaran Malaysia tetapi ia bagus untuk mengingatkan kepada semua tentang sikap ambil lewa beberapa pihak yang kurang prihatin tentang keselamatan. Sebagai pembeli, kita juga harusnya bekalkan diri dengan pengetahuan tentang isu keselamatan.
Pihak juri sebuah mahkamah di Georgia (Amerika Syarikat) baru-baru ini telah memerintahkan agar syarikat Chrysler membayar sehingga $150 juta kepada keluarga Remington Walden. Ini adalah pampasan serta ganti rugi kepada keluarga kanak-kanak berumur 4-tahun itu yang terkorban setelah sebuah pikap melanggar belakang Jeep Cherokee yang dinaikinya pada 2012. Jeep tersebut (yang juga dikenali sebagai Jeep Liberty) kemudian terbakar dan mengorbankan kanak-kanak itu.
Kejadian Mac 2012 ini berlaku akibat cara Jeep ini dibina – tangki bahan apinya terletak di belakang gandar belakang, lalu menjadikannya terdedah kepada risiko kerosakan jika pelanggaran berlaku.
Sebenarnya syarikat Chrysler – yang memiliki jenama Jeep – sudahpun diarahkan oleh pihak NHTSA (National Highway Traffic Safety Administration) agar melakukan ‘recall’ penuh untuk model ini kerana rekod persekutuan turut menunjukkan sekurang-kurangnya 75 orang telah maut kerana risiko yang ada pada kedudukan tangki belakang ini.
Tetapi, Chrysler telah berjaya meyakinkan NHTSA bahawa hanya 1.56 juta Jeep sahaja perlu dipanggil semula untuk menyelesaikan masalah struktur perlindungan tangki bahan api, berbanding 2.7 juta unit yang dikehendaki pada mulanya.
Penyelesaian yang diberikan adalah menambah penyangkut trailer (trailer hitch) pada bampar belakang Jeep yang terlibat. (Dokumen di bawah menunjukkan surat ‘recall’ yang dikeluarkan Chrysler). Pihak NHTSA telah melakukan ujian kepada penggunaan ‘trailer hitch’ ini dan mendapati ia efektif; namun ujian tidak dilakukan pada kelajuan melebihi 43bsj/69.2km/j.
Sekarang NHTSA berkemungkinan akan membuka semula kertas penyiasatan asal berkenaan Jeep yang terbakar setelah mendapat perlanggaran dari belakang. Selain itu, NHTSA juga kurang berpuas hati kerana kadar pemasangan ‘trailer hitch’ ini sangat perlahan; hanya 25% daripada 1.56 juta yang terlibat sudah diperiksa dan dibetulkan, setelah didapati perlu.
Chrysler telah mengumumkan bahawa mereka akan merayu keputusan mahkamah dan juri ini.
No comments:
Post a Comment