Monday, 13 April 2015

Koperal polis ditahan disyaki bunuh seorang wanita


JOHOR BAHRU - Seorang anggota polis berpangkat Koperal ditahan awal hari ini selepas disyaki membunuh seorang wanita di kawasan trek joging di bandar Mersing.

Ketua Polis Daerah Mersing, Superintendan M Kumar berkata, lelaki berumur 38 tahun itu sempat menghantar mangsa yang berumur 35 tahun ke Hospital Mersing sebelum dia ditahan.

"Dipercayai anggota polis berstatus duda dan wanita berstatus janda itu sudah berkenalan sudah lama.

"Difahamkan wanita tersebut terlebih dahulu pergi ke rumah lelaki berkenaan di (kawasan) perumahan polis di bandar Mersing sebelum kedua-duanya kemudian ke kawasan trek joging tersebut menaiki sebuah motosikal," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Kumar berkata, dipercayai berlaku pertengkaran antara mereka pada kira-kira pukul 11.45 malam sebelum wanita itu dipercayai dipukul oleh suspek menggunakan senjata tumpul lalu tidak sedarkan diri.

Beliau berkata, lelaki itu kemudian bertindak pulang ke rumahnya yang terletak kira-kira 10 minit dari tempat kejadian untuk mengambil keretanya dan berpatah balik mengambil dan menghantar mangsa ke hospital dengan kereta itu.

Katanya wanita terbabit yang mengalami kecederaan di kepala, bagaimanapun, disahkan meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke hospital.

"Polis kemudian menahan lelaki itu yang sudah bertugas di daerah berkenaan sejak empat tahun lepas dan dia kini direman untuk siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana bunuh," katanya.

Menurut Kumar, mayat wanita berkenaan yang masih berada di Hospital Mersing akan dihantar ke sebuah hospital di sini untuk bedah siasat. 

- Sumber: Bernama

No comments:

Post a Comment