PEMUDA UMNO: Jangan sampai rakyat hilang kepercayaan kepada KWSP - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Pergerakan Pemuda UMNO melihat cadangan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) untuk menyelaraskan umur pengeluaran simpanan ahlinya sebagai tidak munasabah dan tidak disukai rakyat.
Ahli exco, Armand Azha Abu Hanifah berkata kenyataan KWSP berkenaan disifatkan kurang bijak dan tidak memikirkan kepentingan rakyat secara keseluruhannya.
"Rasanya lebih baik KWSP keluarkan cadangan untuk bantu mana-mana pesara yang berminat untuk membuka perniagaan selepas persaraan.
"Beri mereka yang berkenaan ini kursus dan bimbingan perniagaan selepas persaraan.
"Selain itu KWSP boleh mencadangkan diadakan pakej ke Tanah Suci kepada penyimpan yang beragama Islam, ia boleh dibuat dengan kerjasama Tabung Haji atau agensi umrah berkaitan," katanya kepada Astro AWANI di sini hari ini.
Armand mengulas kenyataan Ketua Pegawai Eksekutif KWSP, Datuk Shahril Ridza Ridzuan mengenai agensi itu yang sedang menimbang menyelaraskan umur pengeluaran simpanan persaraan ahlinya hampir kepada usia persaraan 60 tahun.
Kata Shahril, negara perlu menangani isu pengeluaran simpanan pada usia 55 tahun berbanding usia persaraan baharu pada 60 tahun, jika tidak ia akan menjadi bebanan kepada masyarakat untuk menguruskan orang-orang yang bersara tanpa wang yang mencukupi dalam akaun mereka.
Shahril memetik kaji selidik bebas yang dijalankan oleh pakar ekonomi serta penyelidikan dalaman KWSP yang menunjukkan rata-rata orang cenderung untuk menghabiskan simpanan persaraan mereka dalam tempoh tiga hingga lima tahun selepas membuat pengeluaran penuh.
Jelas Armand, cadangannya tentang pakej umrah dan peluang perniagaan dilihat antara inisiatif yg perlu ada dan perlu difikirkan demi keuntungan rakyat secara keseluruhannya.
"Pihak pengurusan KWSP harus ingat tujuan penubuhannya adalah untuk membantu rakyat dan bukan menekan rakyat.
"Jadi pada pihak pengurusan KWSP yang duduk atas kerusi empuk pagi hingga malam harus kembali pada asas penubuhan bukan hanya nak mengejar keuntungan sehingga lupa pada fokus asas mereka," jelasnya.
Armand turut memberitahu, Pemuda UMNO juga akan menghantar satu memorandum bantahan pada pengurusan KWSP pada minggu hadapan mengenai isu ini.
- Sumber: Astro Awani
No comments:
Post a Comment