Wednesday, 25 December 2013

Ibu jadi mangsa seksual anak sendiri

Azham Othman
Azham Othman


KOTA BHARU - Seorang guru wanita mengalami igauan ngeri sepanjang hidupnya apabila menjadi mangsa pukul dan gangguan seksual anak sendiri yang berusia 19 tahun.

Mangsa berusia 54 tahun yang menetap di Lorong LPP Lundang itu menjadi mangsa anak lelakinya hampir setiap hari sehinggalah kejadian terakhir pada jam 6.30 petang, 21 Disember lalu.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Azham Othman berkata, mangsa yang berada di rumah ketika itu diserang suspek dengan kayu penyapu.

Tanpa mengetahui puncanya, suspek tiba-tiba sahaja mengamuk dan memukul wanita tersebut di punggung, belakang dan bahu kiri.

“Akibat daripada itu, ibu suspek cedera dan luka dengan kesan lebam, sakit serta pedih di bahagian yang dipukul suspek,” katanya kepada pemberita, semalam.

Suspek sebelum ini sering kali berkelakuan dan bercakap perkara-perkara lucah terhadap ibunya.

“Setiap hari, remaja lelaki tersebut akan menunjukkan aksi perhubungan seks serta pernah meletakkan tangan di atas dada dan punggung ibunya.

“Dia juga kerap kali datang ke sekolah untuk meminta wang dan mengugut pengadu menyebabkan pengadu ketakutan dan tidak dapat menumpukan perhatian terhadap tugasan seharian,” katanya.

Sudah tidak betah untuk bertahan, wanita terbabit kemudian membuat laporan polis menyebabkan pekerja kilang yang masih bujang tersebut ditahan bagi membantu siasatan.

“Suspek dipercayai penagih tegar dan ditahan reman mengikut Seksyen 324 dan 509 Kanun Keseksaan,” katanya.

Sinar Harian 

Bayi maut, terlepas daripada dukungan bapa


Gambar Fail

KUANTAN: Seorang bayi lelaki maut setelah terlepas daripada dukungan bapanya dari tingkat empat perumahan polis Bukit Pelindung di sini pada Selasa.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kuantan Supt Abdul Aziz Ahmad berkata dalam kejadian 6.30 petang itu, bayi berusia tujuh bulan Mohd Danial Mikhail Mohd Abdul Hadi dikatakan terlepas daripada dukungan bapanya yang ketika itu turut memegang bungkusan sampah.

Bayi malang itu dikejar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan namun dia disahkan meninggal dunia, katanya.

Difahamkan mangsa merupakan cucu kepada seorang anggota polis yang menetap di kuarters berkenaan.

Abdul Aziz berkata polis masih menjalankan siasatan lanjut berhubung kes itu. -- BERNAMA 

Gelombang kedua banjir di Pahang dijangka pada 30 Disember

KUALA LUMPUR: Jabatan Meteorologi Pahang memberi amaran kemungkinan berlakunya gelombang kedua banjir di Pahang bermula 30 Disember ini.

Menurut, Pengarah Jabatan Meteorologi Pahang, Azemi Daud, taburan hujan lebat diramalkan berlaku sehingga 6 Januari tahun depan terutama di tiga daerah.

Daerah terlibat adalah Kuantan, Pekan dan Rompin.

Dalam tempoh itu juga, air pasang surut akan turut berlaku dengan kelajuan angin diramal 50 hingga 60 kilometer sejam.

Mengikut ramalan awal, taburan hujan lebat berlaku dalam empat peringkat iaitu pertama pada 2 hingga 6 Disember lepas, yang mengakibatkan banjir buruk di Pahang.

Sesi kedua diramal berlaku pada 18 hingga 22 Disember lepas.

Bagaimanapun ia tidak berlaku.

Dengan itu, peringkat kedua itu diramal berlaku pada 30 disember disusuli dengan dua lagi peringkat yang dijangka berlaku sebelum awal Mac.

Astro Awani 

Harimau Malaya Zoo San Diego bunuh pasangan ketika cubaan mengawan


LOS ANGELES: Penjaga Zoo di California kini sedang menyiasat kejadian harimau jantan jenis Malaya yang membunuh harimau betina jenis yang sama berusia empat tahun ketika dua ekor haiwan itu dipertemukan untuk tujuan pembiakan.

Pada mulanya Connor, Harimau jantan yang dilahirkan di San Diego Zoo pada tahun 2011 itu dilihat menjalani rutin biasanya ketika pertama kali diperkenalkan dengan Tiga Tahun iaitu harimau betina tersebut.

"Malangnya kejadian berlaku begitu pantas dan penjaga zoo tidak sempat untuk memisahkan dua haiwan tersebut” kata jurucakap zoo Jennifer Mehlow yang menjelaskan bagaimana Connor secara tiba-tiba berkelakuan agresif.

Harimau betina itu mati akibat mengalami kecederaan di lehernya dan masalah pernafasan setelah diserang Connor.

Namun begitu, tiada pelawat yang menyaksikan kejadian tersebut kerana insiden itu berlaku sebelum waktu melawat.

"Kejadian ini adalah yang pertama seumpamanya, walaupun haiwan karnivor selalunya bersifat agresif ketika interaksi pengawanan berlaku dan kadangkala ia boleh membawa kepada kecederaan" kata Mehlow lagi.

Connor yang dilahirkan di Zoo Bronx di New York telah dibawa ke San Diego pada awal tahun ini untuk tujuan pembiakan dalam usaha untuk menyelamatkan spesis terancam itu.

Harimau biasanya tidak berkawan dan hanya bertemu pasangan ketika musim mengawan.

Menurut akhbar Los Angeles Times, Connor telah menjadi satu-satunya harimau jenis Malaya yang kini ada di zoo berkenaan.

Akhbar tersebut turut melaporkan, subspesis disenaraikan sebagai spesis terancam di Malaysia dan Thailand akibat dari aktiviti pemburuan haram dan kehilangan habitat.

Agensi

Fenomena ikan naik ke darat di Sabah, tiada tsunami dijangka berlaku

Tiada kejadian tsunami dijangka akan berlaku dalam masa terdekat ini walaupun terdapat berlakunya kejadian ikan naik 

KUALA LUMPUR: Tiada kejadian tsunami dijangka akan berlaku dalam masa terdekat ini walaupun terdapat berlakunya kejadian ikan naik ke darat di Kampung Tambisan, Lahad Datu pada pagi tadi.

Pengguna di media sosial mula mengaitkan peristiwa itu dengan kejadian beberapa hari sebelum tsunami besar yang meranapkan aceh A 26 Disember 2004.

Jabatan Meteorologi bagaimanapun akan terus memantau situasi berkenaan dan orang ramai dinasihati supaya tidak panik.

Ini kerana tiada petanda berlaku tsunami dikesan buat masa ini.

Semalam, Jabatan terbabit mengesahkan berlaku kejadian gempa bumi berukuran 5.7 skala ritcher di Kepulauan Mariana berpusat di timur laut Tagum Filipina, kira-kira 2,842 kilometer dari timur laut Kinabatangan, Sabah.


Astro Awani