Kedua-dua mangsa dikerumuni penduduk dan anggota penyelamat di satu perhentian sebelum dibawa turun menggunakan pacuan empat roda.
Mohd Faiza (kiri) dan sepupunya, Mohd Farzhan ditemui dalam keadaan lemah oleh pasukan SAR.
DUNGUN - “Walaupun takut kami hanya mampu berserah apabila didampingi dua ekor harimau yang saiznya sebesar motosikal,” kata salah seorang mangsa yang tersesat selama lima hari di dalam Hutan Binjai, di sini.
Mohd Faiza Abdul Wahab, 29, dan sepupunya, Mohd Nor Farzhan Mustafa Harun, 28, yang berasal dari Kampung Binjai dan Bukit Lat masuk ke dalam hutan berkenaan sejak Ahad lalu, dan tidak pulang ke rumah menyebabkan keluarganya membuat laporan polis selepas dua hari gagal dikesan.
Menceritakan detik cemas itu, Mohd Faiza berkata, didampingi dua ekor harimau yang bersaiz besar dan mengaum kuat adalah pengalaman paling menakutkan ketika tersesat di dalam hutan itu.
“Kejadian didatangi dua ekor pak belang berlaku pada malam terakhir kami berada di hutan, dan ketika itu dalam keadaan hujan renyai-renyai. Binatang buas itu terlalu hampir dengan kami berdua, hanya berjarak beberapa meter sahaja.
“Apabila melihat kami, dua harimau itu berlegar-legar di belakang dan cuba menghampiri. Kami tidak dapat berbuat apa-apa tetapi bersyukur kerana membawa pemetik api dan dapat memasang unggun api yang menyebabkan ia hanya memerhati,” katanya kepada Sinar Harian.
Walaupun menggigil ketakutan, kata Mohd Faiza, mereka tidak dapat melarikan diri kerana badan terlalu penat dan tidak mampu melayan perasaan takut kerana sangat lemah.
“Jika harimau itu datang terkam, memang kami pasrah dan menyerah diri sebagai makanan kerana sudah tiada daya melawan.
“Dalam keadaan masih diperhatikan dua ekor harimau dengan ngauman bengis itu, kami berdua tertidur keletihan. Alhamdulillah ketika terjaga dari tidur, dua ekor harimau itu sudah tiada di situ,” katanya.
Dengar orang azan, tapi tak tahu ke mana nak tuju
Katanya, dia dan sepupunya sudah berpengalaman selama 10 tahun bekerja di dalam hutan tetapi kejadian seperti itu tidak pernah berlaku.
“Memang kerja kami mencari kayu candang di dalam hutan dan pada pagi Ahad kami masuk ke Hutan Binjai seperti biasa. Kami hanya membawa bekal sebotol air mineral dan sedikit makanan kerana tidak menyangka diduga seperti ini.
“Kerana kehabisan makanan, kami hanya makan umbut pokok palas dan minum air akar kayu sahaja untuk mengalas perut,” katanya.
Menurutnya, mereka sedar tersesat apabila seolah-olah berada di tempat sama dan di dalam paya dikelilingi pokok berduri seolah-olah pulau berduri.
“Kami tak jumpa jalan pulang walaupun hutan itu memang sudah menjadi rutin harian untuk kami mencari rezeki.
“Kami dengar orang azan dan bunyi kenderaan lalu-lalang tapi seolah-olah putus akal tidak tahu ke mana hendak dituju,” katanya.
Akibat keadaan sekitar dikelilingi duri, katanya, badan dan tangan turut calar balar tetapi bersyukur kerana ditemui pasukan penyelamat.
“Ketika ditemui memang kami sedang mencari jalan keluar dan sudah terlalu letih tetapi masih tidak berputus asa.
“Walaupun tersesat dan melalui pengalaman menakutkan, tetapi ia tidak mematahkan semangat kami untuk masuk ke hutan semula selepas ini kerana di situlah punca rezeki kami,” katanya.
Ibu, ayah tidak makan kerana terlalu risau
Sementara itu, kakak mangsa, Norizan Abdul Wahab, 32, berkata, ibunya, Rizah Abu Bakar, 52, sudah beberapa hari tidak makan kerana terlalu bimbang keselamatan anak dan anak saudaranya itu.
“Apabila adik saya tidak pulang, emak terus tidak sihat dan tiada selera untuk makan kerana terlalu risau. Begitu juga ayah dan mereka berdua sampai termuntah-muntah kerana perut masuk angin.
“Apabila kedua-duanya ditemui dalam keadaan selamat, barulah emak kelihatan lega dan kami sekeluarga bersyukur. Kalau boleh selepas kejadian ini, kami tidak mahu benarkan mereka berdua masuk ke dalam hutan, tetapi tidak dapat menghalang jika mereka berkeras.
“Kami juga ucapkan jutaan terima kasih kepada semua yang terlibat dalam operasi mencari dan menyelamat,” katanya.
Pasukan mencari dan menyelamat (SAR) berjaya menemui kedua-dua mangsa di kawasan berbukit dan semak kira-kira jam 11.50 pagi dan dibawa turun ke pusat gerakan kira-kira jam 1.40 petang, semalam.
Dua sepupu berkenaan juga ditemui dalam keadaan selamat walaupun letih dan lemah kerana terputus bekalan makanan.
Seramai 36 orang terlibat dalam operasi berkenaan termasuk anggota polis, Unit Pengesan Anjing (K9), Rela, JPAM, Jabatan Perhutanan dan penduduk kampung.
- Sumber: Sinar Harian