Tidak sampai 10 peratus atau kira-kira 200 daripada 2,676 pemberi komen di laman Facebook Astro AWANI berharap program Bantuan Rakyat Rakyat 1Malaysia (BR1M) diteruskan dalam pengumuman Bajet 2015 pada 10 Oktober depan.
Tinjauan mendapati, rata-rata pembaca mahu peruntukan itu disalurkan untuk subsidi lain yang dikatakan lebih memberi manfaat kepada setiap lapisan masyarakat.
Dalam pada itu, beberapa komen daripada pembaca mahu BR1M dihentikan dengan alasan pembahagiannya yang tidak betul, selain dilihat perlu disalurkan kepada golongan warga emas, orang kurang upaya (OKU) serta beberapa kategori yang dicadangkan pembaca sendiri.
Komen-komen itu turut mendapat jumlah 'like' yang tinggi.
Memetik komen daripada seorang pembaca, Shamsul Norazman Saleh, BR1M yang melibatkan dana hampir RM5 bilion itu dilihatnya sebagai tindakan populis yang hasilnya amat tidak berbaloi kepada negara dan rakyat.
"Lebih baik RM5bilion itu disuntik untuk rangsangan ekonomi untuk sektor yang memberi impak besar dalam ekonomi. Masih ingat zaman Tun M ketika kontraktor keci kelas F kekurangan projek dan ramai yg mengeluh pakej rangsangan ekonomi sejumlah RM2 bilion segera disuntik dalam sektor binaan khusus untuk projek beskala kecil yang semuanya kontraktor bumiputra.
"Dengan sendirinya sektor lain seperti pasar malam, hyper market, pelancongan domestik, automotif dan banyak lagi mendapat tempias ekonomi," katanya.
Astro AWANI pada 21 September lepas meminta pandangan orang ramai berhubung isu `BAJET 2015: Haruskan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) diteruskan oleh Kerajaan'.
Sehingga 25 September, catatan itu mendapat 2,676 komen, 7,158 'like' serta dikongsi 214 pembaca lain.
Dalam pada itu, seorang lagi pembaca, Jamiatul Atan menyifatkan kerajaan harus memberi bantuan kepada rakyat dalam bentuk bantuan utama supaya ia boleh dikembangkan lagi.
"Dalam membantu orang kekurangan kewangan, berilah 'kail' untuk dia belajar pancing, bukan beri ' ikan'," jelasnya.
Dr Mahathir menegaskan pemberian BR1M tidak lagi dilihat sebagai satu keperluan di dalam Belanjawan 2014 demi mengurangkan kebergantungan rakyat kepada kerajaan.
Katanya, kerajaan sebaliknya perlu mencari jalan untuk melatih golongan kurang berkemampuan itu dengan sesuatu kemahiran supaya ia dapat menjadi sumber pendapatan mereka.
Bagaimanapun, ada juga pembaca yang memberi komen BR1M harus diteruskan dengan alasan hanya orang yang tidak bijak menolak bantuan kerajaan.
Hariz Irisyh menyifatkan bantuan BR1M perlu untuk keluarganya walau apa juga pandangan rakyat terhadap bantuan berkenaan.
Pandangan sama turut diluahkan pembaca yang menggunakan nama Noor Homemade Cookies.
"Sebab bukan semua berpendatan tinggi, sebab ada yang isteri surirumah sahaja sedangkan gaji suami tidak sampai pun RM3,000.
"Zaman sekarang kos sara hidup sangat tinggi, jadi dengan duit itu boleh buat belanja dapur, untuk orang yang gaji berpendapatan tinggi tidak hairan dengan duit itu," ujarnya.
BR1M, yang mula diperkenalkan pada 2012, direncana untuk memberi manfaat kepada golongan kurang berkemampuan melalui pemberian bantuan wang sebanyak RM500 kepada ketua isi rumah berpendapatan RM3,000 dan ke bawah.
Tahun berikutnya, BR1M 2.0 pula mengambil tempat dan diperluaskan kepada individu bujang berumur 21 tahun dan ke atas yang berpendapatan tidak melebihi RM2,000 sebulan. Pemberian bantuan kepada individu bujang ini adalah sebanyak RM250.
Sementara itu, BR1M 3.0 yang dilancar 22 Februari lepas merupakan kali pertama pembayaran dimasukkan terus ke dalam akaun bank bagi memastikan penerima tidak perlu menunggu lama untuk menikmati bantuan tersebut seperti tahun-tahun sebelumnya.
- Sumber: Astro Awani