Ibu Sirul akan mohon pengampunan daripada Sultan Selangor untuk anaknya - Mahfuz
KUALA LUMPUR: Ketua Penerangan PAS Pusat, Datuk Mahfuz Omar berkata Piah Samat dijangka memfailkan permohonan rayuan pengampunan kepada Sultan Selangor bagi pihak anaknya, Sirul Azhar Umar, lapor The Malaysian Insider.
Ahli parlimen Pokok Sena itu dilaporkan berkata, beliau akan membantu Piah berkenaan prosedur tersebut bagi pihak anaknya.
"Saya akan membantunya berserta anggota keluarganya untuk melaksanakan ia secepat mungkin, seperti dilakukan keluarga Anwar," Mahfuz dipetik sebagai berkata oleh The Malaysian Insider.
Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan anak-anaknya sebelum ini memfailkan petisyen kepada Yang di-Pertuan Agong bagi pihak pemimpin pembangkang itu, yang didapati bersalah atas kesalahan liwat pada Februari lalu.
Sirul yang lari ke Australia kini ditahan di di Pusat Imigresen Villawood di Sydney selepas ditangkap di Queensland pada 20 Januari berikutan amaran yang dikeluarkan Interpol.
Minggu lepas, Piah dan Mahfuz, serta Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan, bertemu Dr Mahathir di pejabatnya di Putrajaya.
Pertemuan itu berlangsung setelah Dr Mahathir dalam kenyataannya mendesak supaya siasatan dilakukan kerana Sirul sebagai anggota polis bertindak atas arahan bukan kehendak sendiri.
Sebelum ini, dalam satu temubual bersama Sinar Harian, Piah mendakwa anaknya itu melaksanakan arahan daripada pihak atasan dan kini menerima kesan akibat tindakannya.
Sirul dan bekas Ketua Inspektor Azilah Hadri didapati bersalah membunuh wanita warga Mongolia itu pada 2006. Rayuan terhadap sabitan mereka ditolak Mahkamah Rayuan pada 2013.
- Sumber: Astro Awani
No comments:
Post a Comment