Impak watak Cik Timah yang masih terkesan hingga hari ini?
Sebenarnya watak Cik Timah lakonan saya dan Cik Bedah lakonan arwah Moon mengundang banyak persepsi masyarakat ketika itu. Sungguhpun demikian, ramai yang boleh menerima dan penonton terhibur malah ada yang mengatakan karakter itu begitu kuat dan serasi dengan Jangan Ketawa. Selepas musim ke-4 Jangan Ketawa, watak tersebut digam. Saya merasakan bukanlah kerana itu periuk nasi saya ditutup dan terhalang. Sebaliknya saya meneruskannya untuk persembahan pentas yang diadakan secara tertutup, eksklusif dan bukannya di fun fair atau pusat membeli-belah. Konsepnya mudah, jika anda mahu menyaksikan Cik Timah, you have to pay for it (ketawa).
Alhamdulillah, hingga kini saya masih menerima undangan persembahan pentas berbekalkan impak watak itu. Saya masih diri saya dan jika di luar saya tidak terbawa-bawa dengan karakter Cik Timah. Saya masih berpakaian lelaki biasa. Namun ada yang tidak boleh membezakan, antara Dee dan Cik Timah sebenarnya adalah dua karakter yang berlainan. Karakter saya seorang yang pendiam dan jika ada yang kenal barulah saya berbual mesra. Yalah, takkan dengan semua orang kita perlu hu-ha-hu-ha bukan? Nanti dikatakan gila pula. Berbeza dengan karakter Cik Timah yang ‘mesra alam’, lagaknya seperti primadona dan bukannya berunsur lucah.
Perasaan Dee apabila Jangan Ketawa mencetuskan fenomena ketika disiarkan?
Kali pertama bersiaran, Rabu, jam 8.30 malam, saya dan arwah Moon tidak keluar rumah selama empat minggu. Kami terlalu takut memikirkan reaksi penonton. Mungkin orang akan baling kasut, tarik rambut atau kena 'boo'! Kami fobia. Jika mahu makan sekalipun saya akan minta pertolongan kawan-kawan untuk beli dan bungkus. Masuk minggu ke-5, saya katakan kepada arwah Moon, “Sampai bila kita nak dok ghumah. Aku boleh jadi gila dah Moon. Jom kita keluaq. Apa nak jadi pun jadilah.” Dan ketika kami mahu keluar untuk makan di kedai Rubiah Suparman di Brickfields, masya-Allah saya tidak tahu dari ceruk mana orang mengenali kami. Ada yang memberhentikan kenderaan, datang bersalaman, minta tanda tangan dan mengambil gambar, ada yang menjerit dari dalam bas memanggil nama kami,
“Dee, Moon… Jangan Ketawa best!”
Itu yang saya sifatkan satu kelainan dan tidak pernah termimpi mahu merasainya. Hingga kini saya bersyukur dengan penerimaan masyarakat malah tidak menyangka sama sekali kami generasi pelakon ketika itu diangkat penonton pada satu tahap yang luar biasa.
- Sumber: Astro Publication
No comments:
Post a Comment