Wednesday, 8 April 2015

Laporan polis terhadap Tun M: SAMM memang spesis organisasi batu api

GGMM: Laporan polis terhadap Tun M: SAMM memang spesis organisasi batu api - Gambar fail

KUALA LUMPUR: Gabungan Graduan Melayu Muda (GGMM) menyifatkan Pertubuhan Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) sebagai sebuah organisasi berspesis batu api yang tidak akan berpuas hati walaupun 1,000 laporan polis dibuat terhadap bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Presidennya, Mohd. Khairul Azam Abdul Aziz berkata, SAMM dilihat tetap akan mempertikaikan prosedur seterusnya walaupun proses kedua dan ketiga melibatkan sistem penghakiman negara dilakukan terhadap Dr Mahathir.

"Terpulang kepada sesiapa untuk membuat laporan polis dan terpulang kepada polis untuk menyiasatnya. Kita nampak SAMM ini hendak menjadi batu api yang mahu memecahbelahkan UMNO dan Barisan Nasional (BN) dan ini agenda politik jahat mereka.

"Kalau ada kes, Dr Mahathir akan didakwa tanpa mengira individu itu seorang perdana menteri atau bekas perdana menteri sekali pun, ini memang jelas dan diketahui semua.

"Namun kita tahu sifat SAMM ini, mereka tidak akan puas dan akan mencari isu untuk mempersoalkan apa sahaja keputusan penguasa kelak demi cita-cita mereka. Ini masalahnya apabila SAMM sendiri tidak akan menghormati apa sahaja keputusan nanti," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Mohd. Khairul Azam mengulas tindakan SAMM yang melancarkan satu siri laporan polis terhadap Dr Mahathir atas dakwaan menghasut.

Antara cawangan SAMM yang telah berbuat demikian termasuk Pahang, Selangor dan Pulau Pinang.

Laporan polis itu adalah berkaitan kenyataan Dr Mahathir mengenai kes pembunuhan model warga Mongolia Altantuya Shaariibuu pada satu catatan di blognya.

Dalam pada itu kata Mohd. Khairul Azam, sistem perundangan dan penguatkuasaan negara akan menghormati sesiapa sahaja yang membuat laporan.

"Biarlah pihak berkenaan siasat, SAMM sudah buat laporan, sila duduk diam-diam dan tunggu hasil siasatan.

"Masalah akan timbul dari SAMM sendiri apabila mereka akan mempersoalkan apa sahaja keputusan yang tidak menepati citarasa yang dimahukan.

"Tidak cukup polis, mereka akan mempersoalkan semua lapisan pihak yang menolak kehendak mereka terhadap mana-mana keputusan, percayalah," tegasnya.

Jelasnya, SAMM juga sebelum ini pernah mempertikai keputusan tajaan bersalin kelas pertama kepada selebriti, Rozita Che Wan oleh Hospital Pakar KPJ Ampang Puteri.

"Isu Rozita Che Wan pun SAMM tidak puas hati, semua isu memang SAMM tidak akan puas hati.

"Baru-baru ini SAMM juga tidak puas hati terhadap Jabatan Kastam yang katanya tidak menjawab semua soalan mengenai Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST), jadi apa lagi yang hendak dikata, mereka memang tidak akan puas hati dalam apa sahaja isu," jelasnya. 

- Sumber: Astro Awani 

No comments:

Post a Comment