Abdul Samah Mat
SEMENYIH - Operasi pencarian serpihan tragedi nahas helikopter yang mengorbankan enam termasuk Ahli Parlimen Rompin, Tan Sri Dr Jamaluddin Jarjis dan Ketua Setiausaha Sulit Perdana Menteri, Datuk Azlin Alias dihentikan hari ini.
Ketua Polis Selangor, Datuk Abdul Samah Mat berkata, lokasi nahas itu yang merupakan tanah persendirian tidak lagi dikawal Polis Diraja Malaysia serta dibuka kepada kegiatan harian seperti biasa.
Bercakap kepada pemberita di lokasi kejadian, katanya pasukan siasatan telah meluaskan radius pencarian daripada 200 meter kepada 500 meter lagi, menjadikannya seluas 700 meter.
"Keseluruhan pencarian oleh polis telah meliputi 700 meter daripada lokasi nahas. Hari ini kami telah menemukan beberapa barangan peribadi, lima komponen helikopter dan satu keping tulang dipercayai tulang manusia yang telah dihantar untuk analisis DNA.
"Lima serpihan itu adalah cabin skin, door tamper, door panel trim, tail Roto drive shaft dan end blade (bahagian Roto kipas)," katanya.
Abdul Samah berkata lima serpihan itu diserahkan kepada Jabatan Penerbangan Awam (DCA) dan Biro Siasatan Kemalangan Udara (AAIB) untuk pemeriksaan dan siasatan lanjutan.
"Saya amat berpuas hati mengenai operasi pencarian yang memasuki hari kelima hari ini. Bagaimanapun, kami akan menunggu analisis DCA terhadap semua serpihan helikopter itu," katanya.
Abdul Samah berkata polis akan meneruskan siasatan daripada semua perspektif dan setakat ini telah mengambil keterangan 29 saksi berhubung insiden itu termasuk Jabatan Meteorologi.
Katanya, walaupun hasil siasatan awal menunjukkan tiada bukti unsur jenayah, namun beliau meminta orang ramai jangan membuat spekulasi dan tunggu hasil siasatan.
Mengulas tentang mangsa wanita, Abdul Samah berkata mayat wanita dari Kyrgyzstan itu masih berada di Hospital Kuala Lumpur dan polis sedang berusaha mendapatkan DNA daripada keluarga terdekat.
Abdul Samah turut menasihati orang ramai agar tidak menyebarkan gambar atau berita spekulasi berkaitan mangsa nahas helikopter.
"Polis sedang lihat dari aspek pihak yang sebar berita dan gambar spekulasi," katanya sambil menambah polis tahu bezakan keterangan benar atau yang sengaja dibesar-besarkan.
Dalam kejadian Sabtu lepas, helikopter AS3655N2 Dauphin (9M-1GB) yang membawa enam orang terhempas di kawasan kebun getah di Kampung Sungai Pening, Semenyih pada 4.55 petang.
Empat lagi mangsa ialah juruterbang Kapten Clifford William Fournier, pengawal peribadi Jamaluddin, Razakan Seran, ahli perniagaan Datuk Tan Huat Seang dan seorang wanita dikenali sebagai Aidana Baizieva yang dipercayai kenalan juruterbang.
- Sumber: Bernama
No comments:
Post a Comment