Kata Dr Mahathir pada Rabu, beliau hanya bertanya siapa yang mengeluarkan arahan dan tidak menuduh Najib melakukan jenayah itu - Gambar Fail
KUALA LUMPUR: Pertubuhan Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) Pahang dan Selangor, hari ini membuat laporan polis terhadap mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamed atas dakwaan menghasut.
Penyelaras SAMM Pahang, Amirul Syazwan Narzaruddin dan Penyelaras SAMM Selangor, Megat Khairul Anuar dalam satu kenyataan bersama berkata laporan polis itu adalah berkaitan kenyataan Tun Mahathir mengenai kes pembunuhan model warga Mongolia Altantuya Shaariibuu pada satu catatan blognya.
"Kenyataan Mahathir ini tanpa berselindung merupakan hasutan kepada orang ramai untuk membenci Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Tun Razak.
"Bukan sedikit pemimpin pembangkang yang pernah disiasat, ditangkap malah didakwa dengan perbagai tuduhan kerana mengeluarkan hasutan hampir sama.
"Soalnya sekarang kenapa Mahathir tidak terusik, bebas mengeluarkan kenyataan menghasut rakyat membenci Perdana Menteri?" tanya mereka di dalam laporan polis tersebut.
SAMM Pahang membuat laporan polis tersebut di IPD Berserah, Pahang manakala SAMM Selangor membuat laporan polis yang sama di IPD Kuala Kubu Bharu.
Mereka berkata laporan ini bertujuan untuk memberi masa tempoh masa 10 hari kepada pihak polis untuk bertindak terhadap kenyataan Mahathir, dengan membuka kertas siasatan dengan segera.
"Sekurang-kurangnya Mahathir perlu dipanggil ke Balai Polis untuk dirakam percakapan," kata mereka.
Mereka menambah sekiranya tiada tindakan yang diambil ke atas Mahathir dalam tempoh 10 hari, maka ia akan dianggap bahawa tindakan menghasut untuk membenci Perdana Menteri itu akan menjadi halal.
"Maka jika ada pihak yang akan turun ke seluruh negara mencetak poster, risalah, pemidang, membuat ceramah atau seumpamanya bagi membangkitkan isu-isu yg dibangkit Mahathir, pihak tersebut juga tidak harus diganggu oleh pihak polis, seperti mana Mahathir," kata mereka.
Pada Rabu, Dr Mahathir dalam blognya berkata, beliau hanya bertanya siapa yang mengeluarkan perintah kepada dua anggota polis yang didapati bersalah membunuh Altantuya dan tidak berniat menuduh Najib melakukan jenayah kerana itu dapat disiasat oleh polis.
Katanya adalah tidak adil jika dua tertuduh, bekas anggota Unit Tindakan Khas, Sirul Azhar Umar dan Azilah Hadri dikenakan hukuman bunuh kerana mereka hanya mengikut arahan.
- Sumber: Astro Awani
No comments:
Post a Comment