Wednesday, 8 April 2015

Kedai jam naikkan harga sebab GST kena notis

Anggota KPDNKK ketika melakukan pemantauan di premis perniagaan di Setia Alam semalam.

SHAH ALAM - Sebuah premis menjual jam tangan di sebuah pusat membeli-belah di Setia Alam dikesan menaikkan harga barang sejak pelaksanaan cukai barang dan perkhidmatan (GST) pada 1 April lalu.

Difahamkan, hasil pemeriksaan premis berkenaan menaikkan harga sempena pelaksanaan GST dan apabila pembeli membayar barang di kaunter mereka sekali lagi mengenakan caj cukai berkenaan.

Menurut Pengarah Penguatkuasa KPDNKK Selangor Abdul Rosik, pihaknya masih giat menjalankan operasi di sekitar negeri ini bagi mengesan premis atau peniaga yang mengambil kesempatan menaikkan harga barang.

“Operasi turun padang ini membabitkan sembilan pegawai daripada KPDNKK dan dibantu enam pegawai dari Kastam Diraja Malaysia (KDRM).

“Kami memeriksa 26 premis di pusat membeli belah di Setia Alam dan beberapa premis di sekitar Seksyen U5, di sini, bermula jam 10 pagi dan hasilnya kami mengeluarkan satu notis terhadap sebuah premis menjual jam tangan kerana didapati tidak mengikut peraturan yang ditetapkan.

“Notis berkenaan dikeluarkan terhadap kedai itu dan mereka perlu menyatakan sebab dan alasan harga barang dinaikkan.

Mereka diberi masa tiga hari untuk menjawab notis berkenaan mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Harga Anti Pencatutan 2011,” katanya petang tadi.

Beliau berkata, dalam operasi selama tiga jam itu pihaknya juga mengesan beberapa premis yang masih tidak mengikut prosedur pelaksanaan GST seperti tidak memaparkan tanda harga termasuk GST dan kiraan cukai yang tidak tepat, namun mereka hanya diberi amaran lisan.

“Bagaimanapun, premis ini akan dipantau dari masa ke semasa dan sekiranya masih ingkar, tindakan tegas akan diambil. Operasi ini akan diteruskan sehingga 15 April ini bagi memastikan tiada kesalahan dilakukan oleh peniaga,” katanya.

- Sumber: Sinar Harian 

No comments:

Post a Comment