FLORIDA - AMERIKA SYARIKAT. Akibat sedih dan kecewa kerana paparan sinis mengenai dirinya disiarkan dalam sebuah rancangan, seorang pakar dermatologi yang digelar raja botox telah mengambil keputusan untuk membunuh diri.
Menurut laporan akhbar Miami Herald, raja botox itu yang dikenali sebagai Dr Fredric Brandt, 65, didapati membunuh diri dengan cara menjerut lehernya dengan tuala.
"Pegawai yang menyiasat malam Sabtu lalu mendapati beliau tergantung dengan tuala dilehernya," kata polis Florida.
Sementara itu, laporan polis menyatakan bahawa Brandt juga mengambil ubat ketika kematiannya.
Menurut ruangan gosip Miami Herald, Brandt kecewa dengan paparan sinis mengenainya dalam 'Unbreakable Kimmy Schmidt,' siri Netflix yang dihasilkan bersama pelakon Tina Fey.
Menerusi rancangan itu, pelakon Martin Short memainkan watak pakar dermatologi yang mirip Dr Brandt, termasuk rambut perang platinum dan berkulit cerah melakonkan adegan yang cukup sinis.
Terdahulu Dr Brandt membahagikan masa antara New York dan Miami untuk 'merawat' ramai selebriti termasuk Madonna dan Kelly Ripa.
Walaupun menjadi kegemaran ramai pesakit dan syarikat farmaseutikal untuk menguji produk baru, Dr Brandt juga berhadapan dengan masalah kemurungan.
- Sumber: Sinar Harian
No comments:
Post a Comment