Motosikal mangsa yang ditemui dengan enjinnya masih hidup selepas dia tertembak dirinya sendiri, lalu rebah.
AYER KEROH - Seorang lelaki meninggal dunia dipercayai akibat tertembak diri sendiri dengan senapang patah miliknya di atas motosikal ketika pulang dari berburu, awal pagi semalam.
Mangsa, Ong Thai Hock, 56, yang juga bapa saudara kepada Adun Bemban, Datuk Ng Choon Koon ditemui mati bersebelahan motosikalnya yang enjinnya masih hidup di tepi jalan, dalam keadaan berlumuran darah.
Dalam kejadian kira-kira jam 2 pagi itu, mangsa sebelum itu dikatakan pulang dari memburu babi hutan di sebuah ladang kelapa sawit berhampiran Jalan Gapam, di sini.
Menurut sumber polis, mangsa bersama seorang lagi rakannya bergerak pulang secara berasingan dengan menaiki motosikal masing-masing selepas selesai memburu.
Katanya, Thai Hock yang juga seorang penyelia tapak pembinaan bagaimanapun berjanji bertemu rakannya itu di simpang jalan berhampiran Jalan Gapam.
"Bagaimanapun, mangsa tidak juga muncul-muncul, menyebabkan rakannya itu bertindak mencarinya sehingga terjumpa mayat mangsa di sisi motosikalnya di sebuah jalan kampung berhampiran Jalan Gapam di sini," katanya.
Menurutnya, mangsa dipercayai tertembak diri sendiri ketika sedang mengeluarkan peluru dari senapang patahnya.
"Mangsa tertembak pada bahagian mukanya sebelum rebah ke tanah, di sisi motosikalnya," katanya.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Shaikh Abdul Adzis Shaikh Abdullah berkata, polis menjalankan siasatan bagi memastikan sama ada mangsa memiliki lesen senjata api yang sah.
Menurutnya, polis juga sedang merakamkan keterangan dari rakan mangsa bagi membantu siasatan.
“Setakat ini, polis mengklasifikasikan kes berkenaan sebagai mati mengejut,” katanya.
Dalam pada itu, Choon Koon berkata, beliau sekeluarga terkejut apabila dimaklumkan mengenai kejadian menimpa bapa saudaranya itu.
Menurutnya, walaupun mangsa sudah lama bersara sebagai seorang sub-kontraktor, namun terpaksa bekerja setelah diminta keluarganya membantu dalam menyelia satu projek perumahan yang dibangunkan syarikat milik keluarga berkenaan.
"Dia sering sibuk dengan tugas kerana projek perumahan itu dijangka disiapkan menjelang Mei ini. Kami amat sedih bila memikirkan apa yang berlaku,” katanya.
Thai Hock meninggalkan seorang balu, dua anak serta tiga cucu. Mayatnya dibawa ke Hospital Melaka untuk bedah siasat.
- Sumber: Sinar Harian
No comments:
Post a Comment