Anwar Ibrahim
LANDSKAP politik Malaysia dilihat mengalami perubahan agak drastik selepas berlakunya pemecatan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan dan Timbalan Presiden Umno pada 2 September 1998.
Pemecatan Anwar itu disusuli dengan gelombang reformasi termasuk himpunan jalanan yang kemudian disusuli dengan penubuhan Parti Keadilan Rakyat (PKR).
Kisah Anwar berterusan mendapat perhatian apabila turun naik mahkamah bagi berdepan dengan beberapa pertuduhan termasuk kes liwat.
Pada 14 April 1999, Anwar dijatuhi hukuman penjara enam tahun terhadap empat kesalahan rasuah berhubung penyalahgunaan kuasa dengan campur tangan dalam penyiasatan polis terhadap dakwaan salah laku seksual.
Kes liwat membabitkan Anwar itu jelas menggemparkan negara apatah lagi apabila beliau disabitkan bersalah meliwat pemandu keluarganya, Azizan Abu Bakar pada 2 Ogos 2000 dan dijatuhkan hukuman penjara sembilan tahun.
Pada 2 April 2002, usahanya membuat rayuan terakhir bagi melawan keputusan pertuduhan salah guna kuasa di Mahkamah Persekutuan gagal.
Manakala, pada 18 April 2003, Mahkamah Rayuan mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi dalam kes liwatnya itu yang menyatakan beliau bersalah meliwat Azizan.
Namun, Anwar dibebaskan dari penjara oleh Mahkamah Persekutuan yang mengetepikan sabitan dan hukuman berhubung kes liwat tersebut pada 2 September 2004 yang lalu selepas enam tahun dipenjara.
Melalui penghakiman setebal 88 muka surat, hakim Abdul Hamid berkata, pihak pendakwaan gagal membuktikan tanpa keraguan munasabah kes seperti yang dikehendaki undang-undang berkaitan.
Pembebasan Anwar itu genap selepas enam tahun beliau dipecat daripada Kabinet oleh Perdana Menteri ketika itu, Tun Dr Mahathir Mohamad.
Di sebalik liku-liku yang dilalui Anwar, kemudian lahirnya Pakatan Rakyat yang memperkuatkan perikatan pembangkang di negara ini.
Meski jalinan kerjasama politik pakatan yang menggabungkan PKR, Pas dan DAP dilihat semakin goyah kini, namun hakikat harus diakui, susuk tubuh Anwar lah pencetus kepada semua ini.
Esok, 10 Februari akan menjadi detik paling penting, bukan sahaja buat Ketua Pembangkang itu, keluarga... namun sudah pasti, Pakatan Rakyat keseluruhannya.
- Sumber: Sinar Harian
No comments:
Post a Comment