Monday, 9 February 2015

Cinta baharu Juliana Evans

Juliana Evans

KALI terakhir penulis bertemu aktres cantik ini adalah ketika tayangan perdana filem lakonannya, Hantu Bonceng, sekitar penghujung tahun 2011.

Kemudian pada tahun 2012, pemilik nama Juliana Sophie Johari Evans ini membawa diri ke Amerika Syarikat bagi menyambung pengajian dalam bidang Ijazah Sarjana Muda Komunikasi di Western Michigan University, Amerika Syarikat (AS).

Sejak itu penulis hanya mengikuti perkembangannya menerusi laman sosial dan sesekali kisah mengenai bintang yang lebih dikenali dengan nama Juliana Evans ini dimainkan di media.

Kemudian sebaik pulang ke sini, nama Juliana atau mesra disapa Jue menjadi sebutan. Semuanya gara-gara 'keretakan' hubungan antara Zizan Razak dan Emma Maembong yang hangat diperkatakan awal tahun lalu.

Dek kerana 'keretakan' tersebut, Jue dikatakan menjadi punca hubungan cinta Emma dan Zizan mula goyah. Namun perkara itu sudah dijawab Jue menerusi akaun Instagramnya, bahkan Jue sendiri menyukai Emma bersama Zizan.

Justeru kesempatan penulis untuk bertemu Jue di lokasi penggambaran filem terbaru lakonannya, 7 Dimensi Aliff di di Universiti Kebangsaan Malaysia, Bangi, Rabu lalu digunakan sepenuhnya untuk bertanya perkembangan gadis kacukan ini.

Tidak dapat lari dari soalan cinta, Jue menegaskan, cintanya kini adalah kepada kariernya yang baru sahaja bermula semula.

"Saya sendiri sekarang dan fokus saya kini 100 peratus kepada karier. Apatah lagi, saya baru sahaja kembali aktif di dalam bidang seni. Sebelum ini bukan tidak aktif tapi saya tak dapat memberi fokus 100 peratus kerana terikat dengan pelajaran dan sebagainya.

"Jadi sekarang bila dah tamat pengajian, tibalah masanya saya memberi fokus pada karier. Perkara lain saya letak ke tepi dahulu," katanya.

Jue yang kini bernaung di bawah syarikat pengurusan Uprising Entertainment Sdn Bhd bersama Ummi Nezeera, Keith Foo, Kaka Azraff, Johan As’ari, Nazrief Nazri, Hafreez Adam dan Raja Syahiran berkata, dia mengikat kontrak selama enam bulan dengan syarikat tersebut.

"Buat masa ini saya akan berada di Malaysia dan jadual saya diuruskan oleh Uprising Entertainment Sdn Bhd.

"Namun saya berada di sini bukan secara tetap kerana saya tetap akan pulang ke Los Angeles (L.A) kerana masih ada beberapa barang saya berada di sana.

"Malah saya juga sudah mengikat kontrak dengan sebuah syarikat pengurusan artis di sana dan sekiranya ada tawaran saya perlu kembali ke L.A," jelasnya.

Sedar akan saingan di luar negara, Jue berkata, dia membuat keputusan untuk melebarkan sayap di luar negara selepas melihat ada banyak peluang dan dia sendiri pernah beberapa kali ditawarkan sebagai pelakon dan model di sana.

“Ia adalah sebahagian daripada impian saya sebagai anak seni dan saya sedar walaupun persaingan sengit tetapi saya mahu lihat sejauh mana diri saya boleh pergi ke Hollywood dengan bakat yang saya ada.

"Bukan mahu popular atau menjadi artis gred A di Hollywood kerana sedar perkara itu memakan masa yang lama. Apa yang saya mahukan cuma pengalaman,” jelasya.

Populariti menurun?

Berkongsi perkembangannya di sini, Jue berkata, dia kini sedang sibuk dengan penggambaran 7 Dimensi Aliff dan mengakui populariti kini sudah menurun sejak dia ke AS.

Namun bagi Jue, dia melihat situasi itu sebagai perkara biasa bagi seseorang artis yang sudah lama menyepi. Dek kerana itu, wanita berusia 26 tahun ini tidak menunggu lama untuk kembali aktif di dalam bidang lakonan.

Mengakui kekok pada mulanya untuk kembali berlakon, namun perasaan rindu untuk berlakon menjadi penguat semangat untuk dia kembali aktif di dalam bidang seni.

"Sejak balik dari AS, boleh dikatakan setiap hari saya ada sesi fotografi. Kemudian habis sahaja fotografi, saya terus terlibat dengan penggambaran filem ini.

"Pada mulanya memang penat sebab dah tiga tahun saya 'bercuti', jadi bila mula balik bekerja tidak tentu masa dan ada ketikanya satu hari suntuk, saya jadi penat.

"Cuma mula-mula badan terperanjat adalah tak sihat, tapi bila dah masuk minggu ketiga penggambaran, saya dah ok sebab saya fikir inilah kerja saya dulu," katanya yang mengakui beratnya sedikit susut sejak berlakon.

Bercerita lanjut mengenai filem lakonan terbarunya ini, Jue berkata, dia cukup teruja untuk berlakon di bawah arahan Faizal Ishak, apatah lagi, pelakon lain yang terlibat terdiri dari kawan-kawan lamanya.

"Sejujurnya saya memang gemarkan genre seram, jadi bila dapat tawaran filem seram, memang saya teruja untuk lakukan. Malah tawaran filem ini juga saya dapat sebelum saya balik ke sini lagi.

"Saya suka watak saya sebagai Anna kerana dia lain dari watak yang pernah saya jayakan sebelum ini. Kalau nak tahu lebih lanjut, kenalah tonton filem ini nanti," katanya yang kelihatan semakin jelita.

- Sumber: Sinar Harian 

No comments:

Post a Comment