Monday, 9 February 2015

Ibu terlanggar anak ketika alih kereta

JITRA: Seorang ibu tidak menyangka telah terlanggar anaknya sendiri sewaktu mengalih keretanya di kawasan parkir.

Dalam kejadian kira-kira jam 5 petang semalam, ibu mangsa Rasikha Nik Nayan, 47, ingin mengalih keretanya dari kawasan parkir di rumah pengasuh di Kampung Lahar dekat Jitra, Kedah.

Bagaimanapun mangsa, Umairah Salaiman, 3, secara tiba-tiba meluru ke arah hadapan kereta lalu dilanggar ibunya.

Akibat pelanggaran itu, mangsa terperosok ke bawah kereta.

Ketua Polis daerah Kubang Pasu, Superintendan Abd Rahim Abdullah ketika dihubungi mengesahkan kejadian.

Ketika kejadian, ibu mangsa dilaporkan baru tiba di rumah itu untuk mengambil anak bongsu daripada empat beradik itu dari rumah pengasuh sekembalinya dari tempat kerja di Hospital Jitra.

Ketika itu dia tidak menyedari bahawa dia terlanggar anaknya yang berada di hadapan kereta.

Setelah menyedari terlanggar anaknya, dia terus membawa mangsa ke unit kecemasan Hospital Jitra, namun anaknya disahkan sudah meninggal dunia sebaik tiba.

Abd Rahim berkata, ibu mangsa yang masih trauma bagaimanapun dibebaskan dengan jaminan selepas keterangannya diambil.

Jenazah kanak-kanak itu kemudian dituntut selepas bedah siasat dan dikebumikan di tanah perkuburan Islam di Kampung Lahar kira-kira jam 11 malam tadi.

Kes disiasat mengikut seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu dengan cuai sehingga menyebabkan kematian.

- Sumber: Astro Awani 

No comments:

Post a Comment