Monday, 9 February 2015

Malaysia muncul juara Piala Emas Bangabandhu 2015

Kemenangan tersebut adalah kedua diraih Malaysia selepas muncul juara edisi pertama pada 1996 menerusi kemenangan 2-1 ke atas kelab dari Indonesia, PSM Makassar. - Twitter @bgoldcup

KUALA LUMPUR: Skuad Bawah 22 Tahun negara (Harimau Muda) muncul juara Kejohanan Bola Sepak Piala Bangabandhu 2015 selepas menewaskan Bangladesh 3-2 pada aksi final di Stadium Nasional Bangabandhu, Bangladesh, hari ini.

Kemenangan tersebut adalah kedua diraih Malaysia selepas muncul juara edisi pertama pada 1996 menerusi kemenangan 2-1 ke atas kelab dari Indonesia, PSM Makassar.

Pada aksi hari ini, kapten pasukan Nazirul Naim Che Hashim meletakkan skuad negara di hadapan pada minit ke-31 menerusi sepakan percuma cantik pada perlawanan yang disiarkan secara langsung oleh sebuah televisyen berbayar.

Penyerang, S. Kumaahran menggandakan jaringan skuad negara pada minit ke-40 selepas mudah menolak masuk bola melalui hantaran rakan sepasukan.

Bersambung babak kedua, pasukan tuan rumah mengubah rentak permainan dengan lebih banyak melakukan serangan dan berjaya mengurangkan defisit jaringan menerusi tandukan Jahid Hasan Ameli pada minit ke-48.

Enam minit kemudian, Bangladesh menyamakan kedudukan menerusi Yeasin Khan yang menanduk masuk bola hasil sepakan sudut oleh kapten pasukan, Mohd Mamunul Islam.

Mohd Faizat Ghazli, bagaimanapun muncul wira skuad negara apabila menanduk masuk gol kemenangan, hasil sepakan sudut Muhammad Syazwan Andik Mohd Ishak pada masa kecederaan, bagi mengesahkan kejuaraan milik skuad kendalian Razip Ismail itu.

Kejohanan berkenaan merupakan persediaan Razip bagi menghadapi Liga Singapura 2015, awal bulan depan selain pusingan kelayakan Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) Bawah 23 Tahun 2016, dari 27 hingga 31 Mac ini.

Selain Malaysia dan Bangladesh, Piala Emas Bangabandhu turut disertai Thailand, Bahrain, Sri Lanka dan Singapura. 

- Sumber: Bernama 

No comments:

Post a Comment