- Au menunjukkan demontrasi 'berselfie' menggunakan Samsung Galaxy A5.
SAMSUNG Malaysia Electronics Sdn Bhd (Samsung) akan mengekalkan momentum dan menambahkan penguasaan pasaran dalam segmen mudah alih di negara ini.
Pengurus Produk, Bahagian Mudah Alih, Samsung Malaysia Electronics, Luke Au berkata, Samsung menjalankan kajian mengenai pasaran Malaysia dan yakin kepelbagaian spektrum produk dapat memenuhi kehendak pengguna.
“Samsung mempunyai pelbagai segmen dan berlainan daripada produk lain. Samsung menawarkan kepelbagaian spektrum produk yang mudah dimiliki dengan harga yang berpatutan,” katanya ketika pelancaran Samsung Galaxy A5 dan A3, di Kuala Lumpur.
Menurutnya, kedua-dua produk tersebut disasarkan kepada generasi muda dengan reka bentuk menarik, tipis dan memberikan pengalaman ‘berselfie’.
“Samsung melakukan kajian dan kehendak pelanggan di negara ini sebelum produk dihasilkan supaya selari dengan trend pasaran dan pengguna. Samsung Galaxy A5 dan Samsung Galaxy A3 boleh diperolehi bermula hari ini, (semalam)” katanya.
Ketika diminta mengulas Samsung Electronics Co Ltd menyasarkan semua perantinya akan dilengkapi kemudahan sistem Internet- Of Things (IoT) menjelang 2017, beliau berkata, segmen mudah alih akan berada di barisan depan dalam pelaksanaan sistem itu.
“Kami mengalu-alukan pengumuman tersebut dan saya yakin Malaysia dapat banyak pelaburan daripada angka yang disebut,” katanya.
Sementara itu, Naib Presiden Mudah Alih, IT dan Pengimejan Digital SME, Lee Jui Siang berkata, Samsung melancarkan Samsung Galaxy A3 dan Galaxy A5 yang disasarkan untuk golongan muda yang minat selfie.
"Malaysia adalah antara negara tertinggi dengan aktiviti selfie sekali gus menunjukkan corak penggunaan terkini bagi telefon pintar oleh golongan muda. Samsung melihat minat itu sebagai permintaan baharu pasaran dan menggunakan kekuatan syarikat untuk segera membangunkan produk yang mampu mengoptimumkan keseronokan aktiviti selfie dan wefie pengguna," katanya.
Samsung Galaxy A5 berharga RM1199 dan Galaxy A3 pula RM899 di Malaysia.
Sementara itu Samsung akan menawarkan Galaxy A7 di Malaysia, Februari nanti.
Samsung Galaxy A5 membawakan skrin bersaiz lima inci Super Amoled, kamera belakang 13-megapixel dan kamera hadapan 5-megapixel, dilengkapi cip pemprosesan 1.2GHz empat-teras, memori 2GB RAM, ruangan storan terbina 16GB dan bateri berkapasiti 2300mAh.
Samsung Galaxy A3 dilengkapi dengan skrin 4.5-inci Super AMOLED, kamera belakang 8-megapixel dan kamera hadapan 5-megapixel, cip pemprosesan empat-teras 1.2GHz, memori 2GB RAM, ruangan storan 16GB dan bateri berkapasiti 1900mAh.
- Sumber: Sinar Harian
No comments:
Post a Comment