ANTARA pelakon yang membintangi drama berjudul Selamat Pengantin Madu, (dari kiri) Eina Azman, Aiman Hakim Ridza dan Fasha Sandha
KUALA LUMPUR: Fasha Sandha dimadukan? Benar, itulah watak yang bakal dimainkan Fasha Sandha sebagai Hana, isteri mithali yang memendam rasa apabila dikejutkan dengan kehadiran orang ketiga dalam sebuah drama rantaian di slot Lestary berjudul "Selamat Pengantin Madu".
Drama yang menemui penonton TV3 bermula esok, disiarkan setiap hari Rabu & Khamis, jam 9 malam. Bagaimanapun bermula Oktober nanti, slot ini hanya akan bersiaran setiap Khamis saja, 9 malam.
Drama ini dibintangi pelakon terkenal seperti Fasha Sandha, Aiman Hakim Ridza, Eina Azman, Kuza, Falisha Crossley, dan Ieda Moin.
Selamat Pengantin Madu mengisahkan Hana (Fasha Sandha) yang mengecapi kebahagiaan rumah tangga bersama suaminya, Zulkifli (Aiman Hakim Ridza) tiba-tiba dilanda tamparan hebat dengan kehadiran orang ketiga dalam hidup mereka. Lebih buruk apabila orang ketiga itu sah bergelar madunya.
Bersiaran sebanyak 13 episod, drama arahan Ibrahim Ilyas untuk produksi Pesona Pictures itu mempertaruhkan Fasha Sandha dan Aiman Hakim Ridza sebagai teraju utama Selamat Pengantin Madu. Penuh dengan elemen kekeluargaan dan cabaran bermadu, drama itu dilihat bakal mendapat tempat di hati penonton.
Fasha Sandha membawakan watak Hana seorang isteri mithali yang melaksanakan segala tanggungjawab sebagai seorang isteri kepada suaminya yang tersayang, Zul. Dalam usia 30-an, Hana merasakan dia telah mengecapi segala impiannya terutama dalam memiliki sebuah keluarga bahagia.
Hana juga dikurniakan dua cahaya mata iaitu Isya dan Shafik. Hidup mereka juga agak mewah kerana Zul memegang jawatan tinggi di sebuah syarikat swasta. Hana digambarkan sebagai seorang wanita yang taat kepada suami dan hanya meluangkan masa lapangnya bersama keluarganya sahaja. Malah undangan rakan sepejabatnya terbatas apabila di luar waktu kerja.
Zul pula memang menjalankan tugasnya sebagai suami yang bertanggungjawab. Dilihat sentiasa ceria dan suka berseloroh, menjadikan Zul seorang yang mudah didampingi. Namun sebermula kisah ini dikembangkan, wujud seorang lagi watak antagonis lakonan Eina Azman sebagai Masmira.
Kewujudan wataknya yang mulanya misteri kini menjadi tamparan hebat buat Hana. Apatah lagi apabila menerima sepucuk surat menceritakan wanita itu telah diperisterikan Zul.
Wanita mana yang sanggup dimadukan? Lantas dunia Hana gelap seketika cuba mencari kekuatan dalam menempuh dugaan dan pembohongan Zul.
Sebaik mana juga Hana namun pasti ada sekelumit perasaan hati yang terguris. Namun, dengan jalan cerita yang unik, Hana menerima nasihat rakannya agar cuba menerima baik takdir yang menimpanya dengan melakukan perubahan positif.
Sedar bahawa anak-anaknya tidak boleh menerima kenyataan bahawa Zul telah menduakan ibu mereka menyebabkan Hana simpati dan tetap cuba menjayakan rumah tangganya. Namun niat baik Hana bakal berhadapan jalan sukar apabila Masmira menginginkan yang sebaliknya.
Tamak dengan kasih sayang dan menginginkan perhatian penuh Zul, Masmira cuba memiliki Zul sepenuhnya. Mampukah Hana bertahan? Apakah rancangan jahat Masmira? Saksikan "Selamat Pengantin Madu" di slot Lestary setiap hari Rabu dan Khamis jam 9 malam hanya di TV3 untuk mengetahui apakah yang bakal terjadi kepada keluarga Hana.
Untuk mendapatkan maklumat dan perkembangan terkini, penonton boleh melayari laman sesawang TV3 di www.tv3.com.my serta laman sosial Facebook, Instagram & Twitter TV3Malaysia.
- Sumber: Berita Harian
No comments:
Post a Comment