Tuesday, 17 February 2015

Suami isteri maut digilis lori tangki

SHAH ALAM - Sepasang suami isteri maut digilis sebuah lori tangki apabila motosikal yang ditunggangi mereka bergesel dengan kenderaan itu di Kilometer 35.5 Jalan Klang-Teluk Intan dekat sini hari ini.

Dalam kejadian kira-kira jam 12.55 tengah hari, Mohd Razali Mohd Saad, 65, berasal dari Parit 1 Barat, Sungai Besar dekat sini, dan isterinya Jahrah Daud, 49, berasal dari Kampung Ujung Permatang, Kuala Selangor, disahkan mati di tempat kejadian.

Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Superintendan Mohd Taib Ahmad berkata, pasangan suami isteri berkenaan dipercayai dalam perjalanan dari arah Kuala Selangor menghala ke Klang sebelum nahas itu.

"Kedua-dua mangsa dipercayai cuba memintas lori tangki itu namun tidak berjaya lalu bergesel dengan kenderaan itu," katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.

Katanya susulan itu, kedua-dua mangsa terjatuh daripada motosikal sebelum digilis lori berkenaan dan meninggal dunia akibat kecederaan parah di seluruh anggota badan.

Beliau berkata, mayat kedua-dua mangsa dihantar ke Hospital Tanjung Karang dekat sini untuk bedah siasat. 

Mohd Taib berkata, pemandu lori tangki itu kini ditahan bagi membantu siasatan. 

- Sumber: Bernama

No comments:

Post a Comment