GEORGETOWN - Dua remaja lelaki ditahan bagi membantu siasatan kes tetak di kompleks membeli belah Bukit Jambul pada petang Ahad lalu.
Kedua-duanya yang berusia 17 dan 18 tahun itu ditahan dalam operasi khas untuk memburu kumpulan yang terlibat dengan pergaduhan di tingkat lima kompleks berkenaan.
Difahamkan, mereka ditahan di simpang Tingkat Bukit Jambul di sini, kira-kira satu jam selepas kejadian berlaku.
Sumber berkata, kedua-dua suspek yang menunggang motosikal itu pada mulanya dilihat dalam keadaan mencurigakan di sekitar Lebuh Bukit Jambul.
Menurutnya, anggota polis cuba menahan namun mereka memecut motosikal sebelum terbabas di tepi jalan.
"Pemeriksaan yang dilakukan menjumpai sebilah pisau pemotong kertas dalam poket seluar salah seorang suspek.
"Mereka dibawa ke Ibu Pejabat Polis Timur Laut untuk siasatan lanjut dan direman hingga Rabu," katanya.
Sementara itu,Pemangku Ketua Polis Daerah Timur Laut, Superintenden Abdul Rahman Ahmad ketika dihubungi mengesahkan tangkapan berkenaan.
Semalam, Sinar Harian melaporkan seorang remaja parah ditetak disebabkan hanya kerana menjeling.
Dalam kejadian kira-kira jam 3 petang itu, mangsa yang berasal dari Paya Terubong, di sini dikatakan baru sahaja keluar dari panggung wayang bersama dua rakan sebelum diserang oleh sekumpulan enam hingga 10 lelaki bersenjatakan parang dan topi keledar.
Akibat kejadian itu, mangsa cedera parah di pergelangan tangan kiri dengan luka sepanjang lapan sentimeter (cm) dikejarkan ke Hospital Pulau Pinang (HPP) untuk mendapat rawatan.
- Sumber: Sinar Harian
No comments:
Post a Comment