ARTIKEL mengenai teraju filem Coverina disiarkan di BH Online semalam.
KUALA LUMPUR: Semalam ketika artikel mengenai teraju filem Coverina disiarkan di BH Online dengan judul 'Pekin Ibrahim Berlakon Jadi Wanita' ramai yang pantas memberikan komen serta hujah mengikut pandangan masing-masing menerusi laman Facebook rasmi BH Online.
Ada yang mengecam supaya filem ini diharamkan tayangannya yang akan bermula pada 19 Februari ini. Pelbagai komen dan andaian diberikan terhadap filem ini selepas melihat karakter utama Pekin berlakon jadi wanita bernama Kamelia.
Menurut Pekin, beliau bukan menjadi mak nyah atau pondan di dalam filem itu. Katanya, beliau berpakaian wanita kerana mahu menyelami isi hati dan perasaan insan dari golongan Hawa sekaligus menambat hati wanita idamannya bernama Rina lakonan Siti Elizad.
Malam semalam juga berlangsung pratonton filem arahan Khalid Nadzri di GSC Nu Sentral. Khalid yang juga adik kepada pengarah dan pelakon, Ahmad Idham berkata beliau sudah mampu mengagak kontroversi sebegini akan timbul juga di kemudian hari.
"Saya pernah cakap dengan Pekin juga dan lihat ia terjadi juga akhirnya. Apa yang diperkatakan mereka hanya tanggapan dan sebaiknya mereka tonton dulu filem ini. Saya jawab apa saja persoalan serta tanggapan itu menerusi visual di dalam filem ini.
"Pekin dalam filem ini berlakon watak lelaki tetapi dia menyamar sebagai wanita untuk mengetahui apa yang tersirat di sebalik insan bernama wanita. Wanita sering dianggap kompleks dan rumit dan itu yang cuba diselami watak Kamal apabila menjadi wanita bernama Kamelia," kata Khalid Nadzri yang kali pertama menggandingkan Siti Elizad dan Pekin Ibrahim.
Khalid memberitahu bukan senang mengarahkan watak membabitkan Pekin berpakaian wanita. Filem bajet kecil ini diarahkan tahun lalu dengan mengambil masa hanya dua minggu saja.
"Malah pada satu tahap, saya sendiri kena layan Pekin sebagai wanita. Pekin pun pernah cakap pada saya, dia sendiri pernah jatuh cinta dengan karakter Kamelia. Dalam filem ini saya suruh dia lakonkan watak Kamelia dengan semulajadi mungkin atau tidak buat-buat.
"Jika nampak kasar di mata penonton, maka kasarlah kerana secara logik ia bukan karakter pondan atau mak nyah. Saya tak boleh berbuat apa-apa dalam hal itu,"katanya.
Filem terbitan SPS Jaya Sdn Bhd ini turut dilakonkan Cat Farish, Arissa Hidayah, Shahrolnizam Sulaiman dan Zazly Baginda. Ia akan ditayangkan bermula 19 Februari ini di 35 lokasi pawagam seluruh negara.
ANTARA komen pembaca di Facebook BH Online.
- Sumber: BH Online | 17 Februari 2015
No comments:
Post a Comment