Wednesday, 18 February 2015

Benarkah kita semakin culas?


PERANGAI suka curi tulang di waktu pejabat adalah suatu sikap yang tak akan hilang selagi tiada perasaan bersalah yang terbit di hati pelakunya. Baru-baru ini, apabila Setiausaha Kerajaan (SUK) Negeri Selangor, Datuk Mohammed Khusrin Munawi sendiri membuat terjahan ke atas kakitangan awam yang culas di sekitar kafe bangunan SUK Selangor, ia membuktikan bahawa fenomena ini masih wujud.

Di mana-mana jabatan kerajaan mahupun swasta, perangai curi tulang ini sengaja dilakukan oleh segelintir kakitangannya. Seseorang pekerja baharu tidak akan berani melakukannya. Tetapi apabila dia belajar melalui pemerhatian dan ajakan daripada rakan sejawat, maka dia mula ikut-ikut dan akhirnya sikap curi tulang itu menjadi tabiat. Ia menjadi masalah apabila rasa bersalah sudah hilang daripada si pelakunya. Kesannya besar daripada aspek untung rugi dalam bentuk wang ringgit dan juga man-hour.

Curi tulang secara sedar adalah tidak amanah. Tidak amanah itu adalah perbuatan khianat. Pelakunya bukan sahaja mengkhianati amanah ke atas tanggungjawabnya, khianat kepada diri sendiri, malah memberi kesan terhadap keberkatan rezeki yang diterimanya untuk nafkah keluarga. Maaf cakap, bukan rasuah sahaja sikap yang tidak amanah. Curi tulang juga tidak amanah. Bukan besar atau kecil nilai ringgit yang menjadi pengukurnya, tetapi perbuatan itu sendiri adalah sesuatu yang salah. 

Dalam pada itu, andainya kita bukan daripada kalangan mereka yang suka melepak atau membeli-belah di waktu pejabat, ia belum bermakna pula kita seratus peratus amanah. Seandainya kita duduk di dalam pejabat daripada jam 9.00 hingga 5.00 pun, belum tentu lagi kita bertugas sepenuh-penuh masa jika kita tidak peka untuk menjaga tindak-tanduk kita sendiri dalam mengurus masa.

Dalam sehari, kita mempunyai 86,400 saat, atau 1,440 minit atau 24 jam. Jika waktu kita bertugas adalah 8 jam sehari, belum tentu lagi kita menggunakan sepenuh masa itu, apatah lagi bekerja melebihi 8 jam. Ini adalah kerana, dalam sejam sahaja kerja kita akan terganggu dengan pelbagai hal yang tiada kaitan secara langsung dengan kerja.

Panggilan telefon adalah di antara perkara yang mengalihkan tumpuan. Ia mungkin sahaja menyambungkan panggilan yang tersilap tiba ke meja kita atau bersembang walaupun seketika setelah mendapatkan maklumat daripada orang yang kita hubungi. E-mel juga banyak mengambil masa. Selain daripada yang ditujukan khusus untuk kita, ada banyak juga e-mel yang ‘disalin kepada’ kita untuk pengetahuan. Itu belum lagi termasuk e-mel-e-mel yang tidak ada kena mengena dengan kita. Membaca, membalas mahupun menyisihnya pun mengambil masa.

Jangan lupa kepada panggilan, mesej dan imej yang muncul di telefon pintar. Kini ia paling banyak mengalih tumpuan kita daripada kerja. Perisian WhatsApp misalnya, umpama tempat bersembang, walaupun kita berbicara sesuatu mengenai negara mahupun agama. Selagi ia di laman WhatsApp, ia hanya sembang-sembang sahaja. Tulisan, tanpa tindakan.

Melayaninya pula seolah-olah seperti kita bekerja di dalam sebuah bilik yang penuh dengan orang yang asyik bersembang. Berapa banyak kumpulan WhatsApp yang kita ada, seolah-olah sebanyak itulah kumpulan yang sedang bersembang di sekeliling kita. Tentu terlintas di fikiran kita untuk keluar sahaja daripada beberapa kumpulan sembang WhatsApp yang sudah tak relevan. Tetapi, kita pula yang tak sampai hati kerana takut ada yang terasa hati. Ha, ha.

Berbincang mahupun bermesyuarat pun adakalanya boleh melarat menjadi penyumbang kepada terbuangnya masa. Mesyuarat perkembangan projek yang seharusnya tamat tidak lebih daripada satu setengah jam. Jika ia melebihi dua jam, ia sebenarnya tidak produktif kerana tumpuan anggotanya sudah hilang lebih-lebih lagi apabila karipap, mihun goreng dan kopi mula beredar di meja mesyuarat. Pengerusi mesyuaratlah yang harus menjaga arah tuju mesyuarat, jangan sampai melarat dengan sembang yang lari daripada agenda perbincangan.

Jika 10 orang menghadirinya, tambahan 10 minit bererti 100 minit man-hour telah terbazir!

Banyak sekali pendekatan dilakukan untuk memperkemas waktu bekerja kita. Banyak jabatan sudah punyai prosedur operasi standard, etika, piagam mahupun ikrar perkhidmatan. Bila ia tidak dihayati, maka ia menjadi hiasan yang amat cantik di dinding untuk menawan hati pelanggan kepada perkhidmatan kita. Bila tidak diamal, bukankah itu suatu bentuk perdaya?

Curi tulang, sama ada secara sengaja mahupun tidak, akan menjadikan kita culas iaitu curang, malas dan lembab bekerja. Kita perlu atasinya dengan mengingati bahawa kerja yang kita perolehi ini adalah sesuatu yang kita dapat dengan susah payah. Kita juga perlu sedar bahawa kita tidak dapat bekerja sepenuhnya lapan jam sehari. Untuk memperoleh berkat, mengapa tidak kita melebihkan sedikit masa pulang ataupun mengawalkan sedikit masa mula bekerja? Dalam kecanggihan komunikasi pada hari ini, di waktu luar pejabat pun, ada sahaja panggilan atau mesej daripada bos atau rakan sejawat mengenai kerja. Kita seolah-olah perlu bekerja di waktu rehat. Mengapa kita merengus? Bukankah kita sudah banyak berehat di waktu kerja? Apa salahnya bekerja sedikit di waktu rehat pula?

- Sumber: Sinar Harian , by: NORDEN MOHAMED | 18 Februari 2015

No comments:

Post a Comment