Tuesday, 17 February 2015

Syatilla nafi sindir Fazura


DUA tahun lalu, banyak khabar angin yang beredar mengenai hubungan cinta yang terjalin antara pelakon terkenal, Shaheizy Sam dan Fazura.

Pun begitu, kedua-duanya menafikan perihal berkenaan. Namun penghujung tahun lalu, Nur Fazura mendedahkan perkara itu menerusi program realiti, FAcing Up To Fazura.

Akuinya, mereka mula rapat ketika menjalani penggambaran filem, Manisnya Cinta Di Cappadoccia, namun hubungan itu putus di tengah jalan apabila masing-masing membawa haluan sendiri.

Walaupun ianya hanya cerita lama, namun ramai yang cuba mengaitkan status Twitter pelakon cantik yang dikatakan sedang rapat dengan Sam, Syatilla Melvin, merujuk kepada aktres berkenaan.

Pun begitu, Syatilla atau lebih mesra disapa Tilla ini menafikan perkara itu dan memberitahu bahawa ianya tidak merujuk kepada seseorang.

"'Tweet' Tilla tak ada kena mengena dengan mana-mana pihak yang dikaitkan itu. Kalau ada pihak yang terasa, saya tak boleh buat apa-apa," jelas pelakon drama, Julia ini.

Ditanya mengenai hubungan yang terjalin bersama Sam, Tilla memberitahu, hubungan itu masih terjalin dengan baik, namun masih belum ada apa-apa perancangan ke arah yang lebih serius.

"Buat masa ini, hubungan kami masih berjalan seperti biasa. Tapi, Tilla dan Sam masih belum merancang apa-apa lagi.

"Namun, apa jua yang berlaku di masa akan datang, Tilla terima sahaja. Kita kan manusia, tak lari dari membuat sebarang kesilapan," katanya lagi.

Sebelum ini, baik Tilla mahupun Sam, masing-masing enggan mengulas lanjut mengenai hubungan istimewa mereka dan lebih selesa membiarkan ianya menjadi teka teki.

Berjinak dengan perniagaan

Dalam perkembangan lain, Tilla memberitahu bahawa dia kini sedang sibuk dengan beberapa penggambaran dan perniagaan pakaian dan tudung.

"Buat masa ini, Tilla sedang sibuk di lokasi penggambaran untuk telemovie, Busy Body dan drama untuk slot akasia, Dia Isteri Luar Biasa.

"Selain lakonan, saya juga sibuk menguruskan perniagaan yang baharu sahaja diperkenalkan sebulan lebih ini. Saya menjual pakaian dan tudung secara online.

"Alhamdulillah, penerimaan dan sambutan daripada pelanggan amat memberangsangkan, namun stok sangat terhad. Itu yang saya kecewa sikit," katanya lagi.

Walaupun perniagaannya itu mendapat sambutan hebat, namun Tilla masih belum merancang untuk meluaskan perniagaan itu ke tapak kedai.

"Masih terlalu awal untuk saya kembangkan lagi perniagaan ini ke butik atau kedai. Memang saya tak fikir langsung sebab masih baharu lagi. Buat masa ini, saya hanya fokus menerusi online sahaja," katanya.

- Sumber: Sinar Harian 

No comments:

Post a Comment