Tuesday, 2 December 2014

Raja Ilya: Puas jadi jahat

Raja Ilya

WAJAH jelita bukan ukuran kepada mana-mana pelakon untuk mendapatkan karakter yang bersifat protagonis.

Sebaliknya bagi Raja Ramilah Raja Mohd atau lebih dikenali sebagai Raja Ilya ini dia mengakui watak jahat atau antagonis lebih berpihak kepadanya sepanjang bergelar pelakon.

Mengakui selesa dengan peranan yang diberikan kepadanya, pelakon berusia 28 tahun ini memberitahu, dia sebenarnya gembira kerana diberi kepercayaan menjadi ‘jahat’.

“Ikhlas saya katakan saya tidak kisah membawakan watak seumpama itu. Bagi saya menjadi jahat adalah lebih sukar daripada menjadi baik.

“Watak baik semestinya sudah ada dalam diri mana-mana pelakon sedangkan watak jahat perlu digilap terlebih dahulu.

“Jika ia tidak kena dengan watak tersebut, boleh jadi lakonan kita akan kelihatan kaku,” katanya.

Meskipun sentiasa diberi peranan sama, namun Raja Ilya mengakui setiap kejahatan yang dilakukannya berbeza-beza.

“Jahat saya tidak klise. Jika diperhatikan menerusi drama lakonan saya, bukan semua jahat itu sama dan memerlukan saya mencari personaliti baru dalam setiap karkter,” kata pelakon Cinta Ibadah ini.

Berkongsi perkembangan terbarunya, Raja Ilya berkata, dia bakal muncul menerusi drama Seludup arahan pelakon Jehan Miskin.

“Dalam drama ini juga saya menjadi jahat yang agak ‘daring’.

“Tetapi saya puas kerana kali ini saya berkesempatan melakukan aksi-aksi lagak ngeri.

“Semua dibuat sendiri oleh saya dengan bantuan krew-krew terlibat,” katanya yang memainkan peranan sebagai Rina.

Selain itu, pelakon yang fasih berbahasa Tamil ini juga baru sahaja habis penggambaran sebuah telefilem seram, Jelmaan yang mengambil lokasi di Jakarta, Indonesia.

Menerusi telefilem ini, Raja Ilya bergandingan bersama hero kacak, Keith Foo.

- Sumber: Sinar Harian 

No comments:

Post a Comment