Tuesday, 2 December 2014

Isteri Awie dakwa sijil nikah palsu, buat laporan polis

Rozana bersama Nor Azmi selepas membuat laporan di Balai Polis Butterworth hari ini.

BUTTERWORTH: Isteri penyanyi dan pelakon Awie, Rozana Misbun membuat laporan polis berhubung dakwaan sijil perakuan nikah palsu yang dikeluarkan Pejabat Agama Daerah Bukit Mertajam sembilan tahun lalu.

Laporan di buat di Balai Polis Butterworth kira-kira jam 3.30 petang pada Selasa bagi membolehkan pihaknya mendapatkan pengesahan berhubung sijil nikah yang diragui kesahihannya itu.

Rozana bersama peguamnya, Nor Azmi Mohd Arif membuat laporan itu selepas mendapatkan khidmat nasihat di Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JHEAIPP) di Butterworth.

Menurut Nor Azmi, surat perakuan nikah yang dikeluarkan oleh Pejabat Agama Islam Bukit Mertajam pada tahun 2005 itu diragui kesahihannya menyebabkan pihaknya membuat laporan agar satu siasatan lanjut dapat dilakukan.

"Ini berkait dengan kes yang difailkan dan dokumen itu digunakan di mahkamah. Dokumen itu tidak betul dan diragui. Kami sudah refer dan pihak polis hendak tentukan dokumen yang kita ragui supaya boleh diambil tindakan terhadap orang yang keluarkan dokumen itu," kata Nor Azmi.

Tambahnya, ketiadaan pengesahan dokumen berkenaan menyukarkan anak guamnya untuk berurusan mengenai kes-kes berkaitan hak penjagaan anak yang telah difailkan sebelum ini.

Terdahulu, Rozana mendakwa surat perakuan nikah yang dikemukakan Awie tidak terdapat dalam semakan status daftar perkahwinan Ketua Pendaftar Perkahwinan, Perceraian dan Rujuk orang Islam negeri itu.

Pada 22 Julai lalu, vokalis kumpulan rock Wings, Awie atau nama sebenarnya, Ahmad Azhar Othman, 46, berjaya mendapat hak penjagaan sementara ke atas tiga orang anak hasil perkahwinan dengan Rozana daripada Mahkamah Tinggi Syariah Wilayah Persekutuan.

Pada 4 Julai lalu, Awie mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Ampang atas tuduhan dengan sengaja mendatangkan kecederaan parah kepada Rozana.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di rumah mereka di Taman Ukay Bistari, Ukay Perdana, Ampang kira-kira pukul 1.30 petang, 2 Jun lalu.

- Sumber: Astro Awani 

No comments:

Post a Comment