Tuesday, 2 December 2014

Dua maut dalam tempoh lima jam

  • Jenazah Muhammad Amirul Yunus ditutup sebelum dibawa ke Hospital Tanjong Karang
  • Jenazah Muhammad Amirul Yunus ditutup sebelum dibawa ke Hospital Tanjong Karang

KUALA SELANGOR – Tidak sempat mengelak sebuah van yang sedang membelok, seorang remaja yang membonceng motosikal bersama rakannya maut di Jalan Melati 3/2 Taman Desiran Melawati, di sini kelmarin.

Dalam kejadian pertama kira-kira jam 12.35 tengahari, mangsa, Muhammad Amirul Yunus Abdullah, 15, dipercayai dalam perjalanan pulang ke rumah sebelum motosikal berlanggar sebuah van di jalan terbabit.

Sumber berkata, mangsa yang dipercayai tercampak tidak jauh dari tempat pelanggaran itu mengalami kecederaan parah di kepala berikutan tidak memakai topi keledar manakala penunggang yang berusia 17 tahun hanya mengalami kecederaan ringan.

“Mangsa yang beralamat di Taman Desiran Melawati itu dikatakan membonceng bersama rakannya itu tidak sempat membrek selepas sebuah van dipercayai membelok ke kanan simpang jalan itu secara tiba-tiba.

“Mangsa dilaporkan meninggal dunia di tempat kejadian manakala pemandu van tidak mengalami kecederaan,” katanya kepada Sinar Harian semalam.

Sementara itu dalam kejadian kedua, seorang pemandu van yang membawa muatan alatan ganti maut selepas terbabas di selekoh berhampiran susur keluar Puncak Alam di Lebuhraya Kuala Lumpur-Kuala Selangor (Latar) petang kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 5.45 petang itu, mangsa, Wong Onn Peng, 56, yang memandu van Toyota Hiace dikatakan terbabas sebelum melanggar papan tanda di bahu jalan arah susur keluar Puncak Alam.

Mangsa yang dalam perjalanan dari arah Kuala Selangor ketika itu dipercayai mengalami kecederaan parah di kepala maut di tempat kejadian manakala van mengalami kerosakan teruk di bahagian depan.

Mayat mangsa kemudiannya dibawa ke Hospital Tanjong Karang untuk dibedah siasat.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Superintendan Muhd Taib Ahmad mengesahkan kedua kejadian berkenaan berkata, kes masih disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Katanya, pihak polis masih mencari saksi untuk membantu siasatan kedua kejadian kemalangan.

“Orang ramai boleh terus menemui Pegawai Penyiasat Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Selangor, Inspektor Mohamad Elmie Othman.

“Harap minta waris menuntut mayat Onn Peng yang masih di Jabatan Forensik Hospital Tanjong Karang,” katanya.

- Sumber: Sinar Harian 

No comments:

Post a Comment