RAFIZI: PKR akan meneruskan kempen #turunhargaminyak yang akan diadakan pada 31 Dis ini.
KUALA LUMPUR: Harga baru tanpa subsidi bagi RON95, RON97 dan diesel bermula 1 Dis lalu menunjukkan perbezaan yang begitu ketara dengan harga pasaran.
Keadaan ini berpunca dari kaedah penentuan harga yang tidak telus dan memasukkan formula yang menjamin keuntungan syarikat minyak.
Demikian menurut Naib Presiden dan Setiausaha Agung Parti Keadilan Rakyat (PKR), Rafizi Ramli dalam satu kenyataan media.
Kata Rafizi, harga rujukan minyak mentah Brent pada hujung minggu lepas telah mencecah US$68 (RM233) setong, iaitu penurunan sebanyak 35.2% dari harga sebelum kejatuhan pasaran minyak mentah iaitu sekitar US$105 (RM360) setong.
“Mengikut kenyataan Datuk Ahmad Maslan sendiri sebulan yang lepas di Bernama, harga RON95 yang lebih selari dengan harga pasaran sepatutnya adalah RM1.72 seliter, bukannya RM2.26 seperti yang diumumkan pada 1 Dis.
“Jika harga rujukan minyak mentah Brent telah jatuh di antara 27% hingga 35%, sudah tentu penurunan RON95, RON97 dan diesel juga adalah dalam lingkungan yang tidak banyak berbeza dari itu” katanya.
Kata Rafizi, pengumuman harga RON95 yang turun 1.7%, RON97 turun 3.5% dan diesel naik 1% menunjukkan adanya jurang yang begitu besar di antara harga rujukan di pasaran dunia dan harga yang ditetapkan di Malaysia.
PKR turut mendesak supaya Kerajaan Persekutuan menyiarkan setiap minggu secara terperinci harga rujukan RON95, RON97 dan diesel di pasaran dunia yang menggunakan harga terbitan MOPS (Means of Platts Singapore) serta kos-kos lain yang dimasukkan di dalam perkiraan menentukan harga pasaran Malaysia bagi RON95, RON97 dan diesel.
Rafizi yang juga Ahli Parlimen Pandan berkata PKR telah menubuhkan pasukan sendiri untuk memantau harga pasaran RON95, RON97 dan diesel untuk memastikan harga pasaran di Malaysia adalah selari dengan harga pasaran dunia.
Tambah Rafizi, PKR akan meneruskan kempen #turunhargaminyak yang akan diadakan pada 31 Dis ini.
- Sumber: Astro Awani
No comments:
Post a Comment