Tuesday, 2 December 2014

Lumia 535 taruhan baru bagi Microsoft


Microsoft Devices Group optimis mengukuhkan posisi sebagai peneraju dalam segmen mudah alih berciri khusus didorong strategi penyediaan peranti yang fleksibel kepada pengguna.

Ia bakal dilihat dengan kehadiran Nokia Lumia 535 ke pasaran Malaysia menjelang akhir bulan ini yang dijangka akan dapat mengekalkan momentum positif syarikat di Malaysia.

Pengurus Besar Microsoft Mobile Devices Sales Malaysia, Singapura dan Brunei Bruce Howe berkata, selepas penggabungan Microsoft dan Nokia sebelum ini, pihaknya bersedia menghasilkan produk dan aplikasi yang bersesuaian dengan keperluan semasa.

“Ketika ini kami menawarkan antara 300,000 hingga 400,000 aplikasi mudah alih menerusi peranti dan kami juga bersedia melakukan sebarang pengenalan yang relevan ke pasaran.

“Pengguna sudah menyaksikan beberapa produk yang dibawa termasuk kualitinya dan sehingga kini ia memberi gambaran positif terhadap respon pengguna sedia ada dan baru,” katanya.

Beliau berkata, syarikat juga optimis untuk melihat nilai jualan yang positif bagi Nokia Lumia 535 ke Malaysia memandangkan negara ini mempunyai populasi pengguna yang menggalakkan.

Menurutnya, dalam tempoh jangka masa pendek dan panjang, pihaknya bersedia memperkenalkan lebih banyak produk ke pasaran yang mana menepati moto Microsoft ‘One Experience’ yang membolehkan pengguna mengakses gabungan pelbagai skrin yang boleh menyambung kepada aplikasi seperti Bing, Skype, Internet Explorer, OnDrive,Outlook.com, Xbox menerusi satu skrin.

“Kami sentiasa melihat kepada keperluan pasaran dan kehendak pengguna tetapi masih mengekalkan sambungan yang memudahkan mereka menerusi setiap satu produk yang dibawa,” katanya.

Bruce berkata, pihak syarikat akan mengumumkan harga Nokia Lumia 535 ke pasaran dalam tempoh terdekat.

- Sumber: Harian Metro

No comments:

Post a Comment