Friday, 7 March 2014

Ulama Indonesia keluar fatwa haramkan perdagangan haiwan pupus


JAKARTA: Majlis Ulama Indonesia (MUI) mengeluarkan fatwa mengharamkan pemburuan dan perdagangan haiwan liar yang terancam pupus dengan menyifatkannya sebagai kegiatan yang "tidak beretika, tidak bermoral dan berdosa".

Setiausaha Jawatankuasa Fatwa MUI, Asrorun Ni'am Sholeh berkata umat Islam mempunyai "tanggung jawab moral keagamaan untuk memakmurkan bumi dan seisinya dengan aktiviti positif."

"Bahawa bumi dan seisinya yang diciptakan oleh Allah untuk dimanfaatkan semaksimum mungkin tidak hanya untuk kepentingan ekonomi tetapi juga kepentingan sosial dan kelestarian alam sekitar.

"Maka setiap umat Islam wajib menjaga keseimbangan ekosistem, salah satunya adalah dengan menjamin keberlangsungan hidup haiwan terutama yang dilindungi. Semua kegiatan perburuan yang mengakibatkan kepunahan haiwan liar tanpa dasar agama atau ketentuan undang-undang adalah haram," katanya seperti dipetik oleh BBC Indonesia pada Rabu.

Fatwa itu berkuatkuasa pada 22 Januari lalu dan diumumkan pada Selasa lepas. Ia dikeluarkan untuk melengkapi undang-undang yang sedia ada di republik itu.

Tabung Hidupan Liar (WWF) menyifatkan fatwa tersebut adalah yang pertama seumpamanya di dunia dan dukungan agama terhadap perlindungan hidupan liar merupakan satu perkembangan yang positif.

Asrorun Ni'am menjelaskan dalam perspektif Islam, dimensi kemanusiaan, alam sekitar dan sosial mempunyai hubungan ketuhanan, dan manusia tidak boleh merosak atau memusnahkannya tetapi wajib menjaganya daripada punah.

Indonesia berdepan ancaman kepupusan haiwan liar seperti harimau Sumatera, orang utan dan gajah Sumatera yang berpunca daripada pembalakan dan pemburuan secara haram.

Sementara itu laman web berita Kompas.com melaporkan MUI mengajak para ulama dan pendakwah di Indonesia untuk memberikan ceramah agama tentang alam sekitar agar masyarakat memahami pentingnya peranan mereka untuk menjaga ekosistem.

Menurut Asrorun Ni'am, ceramah agama seharusnya tidak cuma menyentuh soal ibadat sahaja tetapi juga terkait dengan masalah sosial.

Fatwa tentang perlindungan hidupan liar itu dikeluarkan setelah MUI membuat lawatan ke Taman Negara Tesso Nilo dan Suaka Margasatwa Rimbang Baling di Riau pada 30 Ogos dan 1 September tahun lalu. Ia dikeluarkan selepas majlis itu mengadakan dialog dengan kerajaan, aktivis alam sekitar dan beberapa pihak berkepentingan yang lain sejak selepas lawatan tersebut.

Sementara itu, jurucakap Kementerian Perhutanan Indonesia memberitahu agensi berita AFP pihak kementerian dan MUI akan mengeluarkan satu kenyataan berssama berhubung fatwa berkenaan pada 12 Mac ini.

Dalam pada itu, akhbar The Jakarta Globedalam lidah pengarangnya menyifatkan fatwa berkenaan menghantar mesej yang tegas kepada penceroboh hidupan liar supaya menghentikan kegiatan mereka.

Akhbar itu menyambut baik fatwa berkenaan namun berpendapat usaha membangkitkan kesedaran umum mengenai kepentingan melindungi haiwan yang terancam bukan sesuatu yang mudah.

Fatwa ini dikeluarkan ketika MUI berdepan krisis tarik tali dengan kerajaan berhubung isu pengeluaran sijil halal. Isu berkenaan timbul susulan laporan khas majalah Tempo baru-baru ini yang mendakwa ada salah guna kuasa di kalangan pegawai MUI yang meminta rasuah daripada syarikat-syarikat di Australia yang mahu mendapatkan sijil halal.

Astro Awani

No comments:

Post a Comment