Friday, 7 March 2014

Fenomena cuaca panas beri cabaran kepada enjin baharu F1


KUALA LUMPUR: Fenomena cuaca panas dan kering yang melanda negara ketika ini bakal menjadi cabaran kepada semua pasukan Formula Satu (F1) yang akan bersaing di Grand Prix F1 Malaysia pada 28 hingga 30 Mac ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Sepang International Circuit (SIC) Datuk Ahmad Razlan Ahmad Razali berkata untuk tahun ini beliau melihat persaingan akan bertambah sengit apabila semua pasukan menggunakan enjin terbaharu iaitu V6 turbo 1.6 liter yang agak sukar dalam cuaca panas.

"Keadaan cuaca di negara ini seperti hujan dan panas, biasanya memberi persaingan sengit. Sejak tahun pertama perlumbaan F1 diadakan di negara ini, perlumbaan di Litar Sepang sentiasa dilihat sebagai suatu litar yang teknikal di samping faktor cuaca yang ekstrem.

"Mungkin cuaca panas sekarang ini, pelumba-pelumba perlu mengelakkan diri daripada penyahhidratan. Mungkin akan berulang kembali insiden yang mana Mika Hakkinen hampir pengsan semasa majlis penyampaian hadiah kerana penyahhidratan akibat cuaca yang amat panas," katanya kepada Bernama.

Namun begitu, Ahmad Razlan berkata faktor cuaca yang panas sekarang ini tidak akan menjejaskan kehadiran penonton ke Litar Sepang.

Menurut laporan Jabatan Meteorologi semalam, fenomena cuaca kering dan panas terik yang melanda negara sejak Januari lepas mencapai kemuncak apabila merekodkan suhu tertinggi mencecah 38 darjah Celsius.

Keadaan cuaca panas dan kering yang bermula sejak Februari lepas dijangka berlarutan hingga bulan depan.

Mengenai penjualan tiket untuk Grand Prix F1 Malaysia, Ahmad Razlan berkata penjualan tiket setakat ini sudah hampir mencapai 50 peratus daripada sasaran iaitu 90,000.

"Kita (SIC) masih menyasarkan 90,000 tiket dan jumlah ini boleh dicapai. Trend pembelian tiket di saat-saat akhir akan melonjak penjualan seperti tahun-tahun sebelum ini. Senario seperti ini sudah biasa berlaku," katanya.

Sebagai persediaan akhir untuk menganjurkan perlumbaan Grand Prix F1 Malaysia, beliau berkata Litar Sepang akan ditutup minggu hadapan.

"Penutupan ini adalah bagi membolehkan kerja-kerja pembersihan trek dilakukan dan baik pulih apa yang perlu. Kerja-kerja memasang bumbung di bangunan di kawasan paddock juga sedang dalam peringkat terakhir.

"Seperti tahun-tahun sebelum ini, saya berharap segala perancangan atau persediaan berjalan lancar," kata Ahmad Razlan.

Pusingan pertama perlumbaan F1 akan membuka tirainya di Australia pada 16 Mac ini.

Bernama 


No comments:

Post a Comment