Friday, 7 March 2014

Pusat penternakan nyamuk terbesar di Kuala Lumpur?

KUALA LUMPUR: Tapak pembinaan yang terbengkalai dikhuatiri menjadi sarang pembiakan nyamuk Aedes dan sekiranya tidak ditangani dengan betul boleh memburukkan lagi usaha pihak berkuasa memerangi demam denggi yang semakin berleluasa sekarang.

Tinjauan Astro AWANI ke tapak pembinaan Plaza Rakyat yang terbengkalai sejak krisis ekonomi Asia pada 1997 mendapati air bertakung berbau busuk selain menjadi lokasi pembiakan nyamuk.

Tidak keterlaluan jika projek terbengkalai Plaza Rakyat boleh diumpamakan kolam takungan selain pembiakan nyamuk terbesar di ibu kota.

Apa yang merisaukan, nasib pengunjung Pusat Transformasi Bandar (UTC) dan Pudu Sentral yang bersebelahan dengan lokasi terbengkalai Plaza Rakyat.

Walau kawasan persekitaran tapak Plaza Rakyat dikepung dinding zink setinggi hampir 3 meter, itu bukan jaminan pengunjung terdedah dengan risiko digigit nyamuk Aedes sekali gus wabak denggi.

Beberapa pengawal keselamatan di Pudu Sentral yang ditemui mengakui `diserang' nyamuk terutama di pada waktu senja.

Bagaimanapun difahamkan, tiada kes denggi dilaporkan berlaku di antara pengawal keselamatan di situ.

Pada tahun lalu, Syarikat pembinaan, Ivory Properties Group Berhad dilaporkan akan membangunkan semula projek komersial yang terbengkalai itu dengan nilai kasar pembangunan berjumlah RM8 bilion.

Projek itu dilaporkan akan direkabentuk semula untuk menempatkan apartmen servis bagi ekspatriat serta rumah mampu milik bagi golongan muda yang akan diintegrasikan dengan hab pengangkutan dan bisnes.

Pembangunan semula projek itu dijangka memakan masa selama lapan tahun dan dijangka menjadi antara yang terbesar di pusat bandar Kuala Lumpur.

Projek itu asalnya dirancang untuk menempatkan 79 tingkat bangunan pejabat, 45 tingkat apartmen servis, hotel 21 tingkat dan tujuh tingkat pusat membeli belah.

Plaza Rakyat dirancang dibina pada awal 1990-an oleh Wembley Industries Holdings Bhd dengan kerjasama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Ia dirancang hampir serentak dengan projek Suria KLCC yang menempatkan Menara Berkembar Petronas dengan kos pada masa itu dianggarkan bernilai RM1.4 bilion.

Sementara itu, dalam perkembangan berasingan, Ahmad Phesal menegaskan, pihaknya turut memantau lokasi pembiakan denggi terutama di kawasan pembinaan yang terbengkalai.

Bagaimanapun katanya, beberapa kekangan seperti tidak mendapat kerjasama pemaju persendirian disifatkan menyukarkan pihaknya untuk melakukan pemeriksaan denggi.

Ketika ditanya status pembangunan projek terbengkalai dengan risiko kejadian kes denggi di sana, Plaza Rakyat, ini katanya;

"Kita sentiasa memantau, jika perlu masuk untuk pemeriksaan, kita akan minta jabatan berkenaan untuk turun dan adakan operasi penguatkuasaan di sana. Ia bukan tertakluk kepada Plaza Rakyat sahaja namun pada semua projek terbengkalai di ibu kota."

Projek Plaza Rakyat yang mula dibina pada tahun 1992 ini terbengkalai pada 1997 selain banyak pemaju sudah bertukar tangan sehingga hari ini.

DBKL sebelum ini turut menafikan terlibat dengan pihak Ivory Properties bagi tujuan pembangunan semula projek Plaza Rakyat.

DBKL juga menegaskan tidak pernah wujud sebarang perjanjian antara pihaknya dengan pemaju berkenaan.

Astro Awani 

No comments:

Post a Comment