Shaqira menerima ciuman daripada ibu dan bapanya pada sambutan ulang tahun kelahirannya.
BATANG KALI - Seorang bapa terpaksa menjual kad sim dan tambah nilai demi mendapatkan wang tambahan untuk menampung kos rawatan pembedahan mata anak tunggalnya di sebuah hospital di New Delhi, India.
Abdul Razak Abdul Rahim, 33, berkata, sejak Julai tahun lalu, dia bertungkus lumus mencari duit setelah anaknya, Shaqira Insyirah, 7, disahkan buta selepas melakukan satu pembedahan akibat ketumbuhan otak di sebuah hospital di Kuala Lumpur.
Menurutnya, anaknya mengalami kerosakan saraf optik sehingga menyebabkannya hilang daya penglihatan.
"Saya sanggup lakukan apa saja untuk dapatkan wang secukupnya bagi membolehkan mata anak saya segera dibedah," katanya.
Abdul Razak berkata, selain bekerja tetap di Genting Highland, dia juga membuat kerja sambilan dengan menjual kad sim dan kad tambah nilai.
"Saya juga perlu menjelaskan hutang kerana sepanjang Shaqira menjalani rawatan selepas pembedahan tahun lalu, saya terpaksa cuti tanpa gaji sehingga November untuk menjaganya.
"Walaupun jual kad sim dan tambah nilai untung tak banyak, tapi saya perlu bekerja keras demi membolehkan anak menjalani pembedahan kali kedua," katanya ketika ditemui di rumahnya di Taman Tamu Hill.
Katanya, dia juga berusaha membuat permohonan pinjaman lain termasuk pinjaman perumahan untuk digunakan menampung kos pembedahan anaknya.
Bagaimanapun katanya, pinjaman itu masih belum boleh dibuat kerana memerlukan penyata gaji sekurang-kurangnya untuk tempoh tiga bulan bekerja.
“Jadi kalau dapat buat pinjaman perumahan itu dapatlah menampung apa yang masih tak cukup,” katanya.
Abdul Razak berkata, sebelum ini Shaqira boleh melihat seperti kanak-kanak lain malah dia boleh menulis dan bertutur dalam bahasa Mandarin.
"Namun walaupun Shaqira sudah melakukan rawatan kemoterapi tapi ketumbuhan masih ada," katanya.
Setelah mengetahui risiko yang bakal dialami, dia dan isteri, Nurul Aishah Abdullah, 37, mengambil keputusan untuk membawa Shaqira menjalani pembedahan.
“Doktor beritahu Shaqira tidak akan mengalami kebutaan kekal jika melakukan pembedahan itu.
“Tapi kesan lain dialami seperti fizikalnya yang tidak mampu berdiri sendiri dan berjalan seperti dahulu,” katanya.
Abdul Razak juga bersyukur kerana banyak bantuan diterima dari seluruh negara selepas pelancaran tabung khas bagi mengumpul dana menampung kos pembedahan anaknya pada 28 Februari oleh Ahli Parlimen Hulu Selangor, P Kamalanathan.
"Bantuan diterima daripada pelbagai bangsa yang tidak dikenali termasuk panggilan telefon daripada individu dari Sarawak dan badan bukan kerajaan (NGO) dari Pulau Pinang.
“Sehingga pagi tadi (semalam), kutipan dana terkumpul sebanyak RM33,964. Kalau kutipan dah cukup saya akan menghubungi doktor untuk jalani pembedahan segera. Doktor kata kalau boleh jangan lewat sebelum saluran optik menjadi parut,” katanya.
Menurutnya, apabila mengetahui ada bantuan yang terkumpul, Shaqira kelihatan gembira dan lebih aktif.
"Saya harap Shaqira dapat melihat semula kerana tak sabar lihat gelagat dia yang gembar menulis, melukis dan membaca.
Dalam pada itu, Kamalanathan melahirkan simpati terhadap nasib Shaqira dan masalah yang dihadapi ibu bapanya.
Beliau berharap tabung khas yang dilancarkan dapat membantu keluarga tersebut mengumpulkan dana yang diperlukan.
“Saya lihat rakyat Malaysia mempunyai semangat keprihatinan yang tinggi kerana walaupun tidak kenal tapi apabila menyedari ada orang memerlukan kita sama-sama bantu,” katanya ketika melawat adik Shaqira dan meraikan ulang tahunnya yang ketujuh.
Beliau juga melihat keikhlasan dalam diri bapa kanak-kanak itu apabila mengatakan mahu menyumbangkan baki wang yang terkumpul kepada kanak-kanak lain yang memerlukan jika melebihi kos yang diperlukan untuk rawatan Shaqira Insyirah.
Orang ramai yang ingin membantu boleh menghulurkan sumbangan melalui akaun Maybank bapa Shaqira, Abdul Razak Abdul Rahim iaitu 106061555792 atau menghubungi talian 013-6927289.
Sinar Harian
No comments:
Post a Comment