Friday, 7 March 2014

Samakan Ultraman dengan Allah punca tindakan KDN

Samakan Ultraman dengan Allah punca tindakan KDN

KUALA LUMPUR:  Terjemahan komik Ultraman The Ultra Power yang menyamakan watak adiwira itu dengan nama Allah dipercayai menjadi alasan tindakan Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengharamkan komik tersebut.


Sejak berita pengharaman itu disiarkan oleh Bernama pada petang Khamis, foto halaman komik berkenaan mula tersebar melalui beberapa blog dan di jaringan media sosial.

Terjemahan perkataan 'god' kepada "Allah" itu berbunyi: "Dalam 2009 filem Mega Monster Battle:. Ultra Galaxy Legend The Movie, dia dianggap sebagai, dan dihormati sebagai, "Allah" atau Elder semua wira Ultra."

Ayat berkenaan diterjemahkan daripada ayat asal yang berbunyi: "In the 2009 film Mega Monster Battle: Ultra Galaxy Legend The Movie, he is considered to be, and respected as, the "God" or Elder of all Ultra heroes."

Cubaan Astro AWANI menterjemahkan teks asal berkenaan dengan menggunakan sistem terjemahan dalam talian Google Translate juga mendapatkan hasil terjemahan yang sama seperti yang terkandung dalam foto halaman komik yang tersebar di blog dan media sosial itu.

Ultraman 1




Komik berkenaan diterbitkan oleh Resign Publications dan dicetak oleh  Network Printers.

Laporan Bernama pada Khamis menyebut KDN mewartakan Perintah Larangan Penerbitan terhadap buku 'Ultraman The Ultra Power', yang didapati mengandungi unsur-unsur mungkin memudaratkan ketenteraman awam.

Warta larangan itu berkuat kuasa pada 18 Februari lepas mengikut Seksyen 7(1) Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984.

"Adalah menjadi satu kesalahan mengikut subseksyen 2 Seksyen 8 Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 sekiranya mana-mana orang mencetak, mengimport, menghasilkan, menghasilkan semula, menerbit, menjual, mengeluar, mengeliling, menawarkan untuk menjual, mengedar atau ada dalam miliknya bagi apa-apa jua maksud seperti itu apa-apa hasil penerbitan larangan," menurut kenyataan itu.

Mereka yang disabitkan melakukan kesalahan itu boleh dikenakan penjara tidak melebihi tiga tahun atau denda tidak melebihi RM20,000 atau kedua-duanya.

Ultraman KDN


Laporan Bernama itu bagaimana pun tidak menyebut dengan terperinci alasan tindakan KDN. Laporan pengharaman yang tidak jelas itu kemudiannya cepat menjadi bahan jenaka di media sosial.



Pensyarah kanan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Dr. Zaharuddin Abd Rahman dalam komentarnya di Facebook berkata, beliau bersetuju dengan pengharaman itu walaupun tindakan itu mungkin tidak popular dan dilucukan oleh orang ramai.

Ultraman 2

Beberapa komen lain di jaringan media sosial Twitter juga berkongsi pandangan yang sama yang bersetuju sekiranya pengharaman ini ada kaitan dengan tindakan menyamakan watak adiwira itu dengan Allah.



Sumber: ASTRO Awani  

No comments:

Post a Comment