Friday, 7 March 2014

Catuan diteruskan hingga 31 Mac

Catuan diteruskan hingga 31 Mac
Pelatih Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) dari Kem Semenyih turut beri bantuan semasa agihan bekalan air oleh Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Syabas di Desa Petaling, semalam.


SHAH ALAM – Hujan di sebahagian kawasan di negeri ini beberapa hari lalu tidak membantu mengurangkan beban penduduk yang terjejas dan pelan catuan air melibatkan dua zon diteruskan hingga 31 Mac ini.

Penolong Pengurus Besar Jabatan Komunikasi Korporat dan Hal Ehwal Awam, Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas), Priscilla Alfred berkata, keadaan masih sama dan Syabas akan terus berusaha memastikan bantuan bekalan sampai ke kawasan terlibat mengikut jadual yang ditetapkan.

“Catuan dengan kaedah dua hari berturut-turut dibuat untuk mengurangkan beban penduduk dan juga operasi pelaksanaan. Ini kerana air hanya dapat disalurkan secara berperingkat selepas pembukaan injap dan seperti yang dinyatakan dalam notis.

“Ada beberapa kawasan yang berada jauh dari sistem bekalan dan juga di kawasan tinggi akan mengambil masa lebih lama untuk dapat air berbanding kawasan yang dekat. Syabas membuat jangkaan bahawa kesemua kawasan yang terlibat akan mendapat air di sekitar jam 4 petang,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Beliau menasihatkan pengguna mengurangkan penggunaan air sebanyak 15 peratus atau sekitar 30 hingga 35 liter seorang buat masa ini.

“Rekod menunjukkan bahawa penggunaan air sehari untuk seorang di Selangor adalah 214 liter. Jika dibandingkan dengan negara Singapura, penggunaan air di sana hanya 160 liter seorang sehari.

"Jadi kita minta kurangkan penggunaan dan utamakan perkara penting seperti memasak, minum, mandi dan kita percaya akan dapat tangani isu air dihadapi sekarang,” katanya.

Pelan catuan yang bermula sejak 2 Mac lalu melibatkan enam daerah iaitu Gombak, Kuala Lumpur, Petaling, Klang/Shah Alam, Kuala Selangor dan Hulu Selangor.

Sebanyak 358,342 akaun atau 431,617 isi rumah iaitu melibatkan 2.2 juta rakyat terlibat catuan setiap dua hari berturut-turut sehingga 31 Mac ini.

Catuan selama dua hari berturut-turut itu terpaksa dilakukan berikutan kesukaran Syabas melaksanakannya jika tempoh sehari sahaja kerana penyaluran air melalui tangki utama memakan masa yang lama.

Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) sebelum ini mengeluarkan kenyataan, langkah catuan itu dilakukan berikutan penyusutan paras air di empangan Sungai Selangor dan Klang Gates dalam masa sama memutuskan untuk mengurangkan pelepasan air dari Empangan Klang Gates sebanyak 30 juta liter sehari.

Sinar Harian 

No comments:

Post a Comment